Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Tinjauan: Ramai kurang senang keretakan hubungan Jokowi-Megawati

Nov 24, 2023 | 03:51 PM



Tinjauan terbaru menunjukkan sentimen tidak menguntungkan sikap Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, terhadap partinya, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), meskipun beliau mendapat penilaian tinggi daripada kaca mata awam.

Tinjauan pendapat terkini dari syarikat penyelidikan dan perunding, Saiful Mujani Research and Consulting (SMRC), menunjukkan 47 peratus daripada responden menganggap keengganan Encik Jokowi untuk menyokong calon presiden dari PDI-P, Encik Ganjar Pranowo, sebagai tidak wajar.

Ini dilihat sebagai langkah ‘tidak mengenang budi’ selepas segala yang telah diberikan oleh PDI-P kepada Encik Jokowi semasa beliau bertanding sehingga menang untuk menjawat jawatan datuk bandar Surakarta pada 2005; gabenor Jakarta pada 2012 dan akhirnya presiden Indonesia selama dua penggal sejak 2014.

Pengasas SMRC, Encik Saiful Mujani berkata orang ramai sedia maklum bahawa Encik Jokowi memulakan kerjaya politiknya dengan PDI-P daripada tangga rendah sebelum dipilih sebagai datuk bandar kepada jawatan awam tertinggi sebagai presiden.

“Jokowi bermula sebagai kader PDI-P,” kata Encik Saiful.

Hubungan antara PDI-P di bawah pengerusinya, Cik Megawati Sukarnoputri, dengan Encik Jokowi dilaporkan kian merosot sejak awal pertengahan 2022 berikutan perbezaan pendapat mereka tentang siapa yang akan dicalonkan sebagai calon presiden dalam pilihan raya mendatang pada 14 Februari 2024.

Cik Megawati dilaporkan berpendapat bahawa Encik Jokowi campur tangan dalam hal ehwal parti politik kerana “itu bukan urusan eksekutif untuk dikendalikan”, kata ahli politik PDI-P.

Tinjauan yang dijalankan dari 29 Oktober hingga 5 November 2023 itu melibatkan 2,400 responden dan menunjukkan hanya 30 peratus menganggap sikap Encik Jokowi wajar, manakala 23 peratus berkecuali, kata Encik Saiful dalam sidang media bagi membentangkan dapatan tinjauan.

Tinjauan terbaru mengenai penilaian terhadap Encik Jokowi memperlihatkan 70 hingga 80 peratus masih menganggap Encik Jokowi menjalankan tugasnya dengan baik sedang beliau hanya mempunyai beberapa bulan lagi memegang jawatan Presiden yang akan berakhir pada Oktober 2024.

Encik Jokowi kelihatan keberatan untuk menunjukkan sokongannya kepada calon presiden, Encik Ganjar Pranowo, bekas gabenor Jawa Tengah dan rakan kader PDI-P, dan sebaliknya menunjukkan sokongan yang lebih jelas kepada calon presiden yang juga kini Menteri Pertahanan Indonesia, Encik Prabowo Subianto.

Encik Prabowo telah memilih anak sulung Encik Jokowi, Encik Gibran Rakabuming Raka, sebagai calon wakil naib presidennya.

Encik Gibran dibenarkan bertanding dalam persaingan naib presiden selepas bapa saudaranya melalui perkahwinan, Ketua Hakim Negara ketika itu, mengetuai panel hakim yang memutuskan bahawa seorang warganegara bawah 40 boleh bertanding sebagai calon presiden atau naib presiden jika orang itu telah berkhidmat atau sedang berkhidmat sebagai pegawai awam yang dipilih.

Aturan sebelum ini menetapkan bahawa bahawa calon harus berumur 40 tahun ke atas.

Encik Gibran kini berusia 36 tahun.

Tinjauan SMRC juga menunjukkan majoriti responden tidak bersetuju dengan Encik Gibran untuk bertanding sebagai calon naib presiden dengan tiket parti lain walaupun menjadi Datuk Bandar di bawah platform PDI-P.

Sejumlah 40 peratus responden menganggap sikapnya sebagai tidak wajar manakala 10 peratus berkata ia adalah sangat tidak sesuai dan 27 peratus berkata ia sesuai dengan baki 23 peratus lagi berkecuali.

Encik Gibran tidak muncul pada debat umum di Surabaya pada Jumaat untuk tiga pasangan calon presiden-naib presiden anjuran pertubuhan Islam kedua terbesar Indonesia, Muhammadiyah.

Debat itu membentangkan visi dan misi mereka di hadapan panel Muhammadiyah dan orang ramai.

Jurucakap pasangan Prabowo-Gibran, Encik Nusron Wahid, berkata Encik Gibran dijadual menghadiri majlis bersama kesatuan guru Nahdlatul Ulama di Mojokerto, Jawa Timur, manakala Encik Prabowo menghadiri debat umum Muhammadiyah.

“Prabowo dan Gibran membahagikan tugas untuk menghadiri dua acara berasingan itu,” kata Encik Nusron.

Bekas Gabenor Jakarta, Encik Anies Baswedan, dan pasangannya Encik Muhaimin Iskandar hadir pada debat Muhammadiyah pada Rabu, manakala Encik Ganjar dan calon naib presidennya menghadiri debat itu pada Khamis.

“Kami berharap dialog ini boleh menjadi saluran untuk orang ramai mengetahui apa yang ditawarkan oleh setiap pasangan untuk memimpin Indonesia,” kata Pengerusi Muhammadiyah, Encik Haedar Nashir.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >