JAKARTA: Tidak mungkin berlaku gandingan antara Prabowo Subianto dan Ganjar Pranowo untuk pilihan raya presiden 2024 - sesuatu yang dianggap spekulasi semata-mata.
Kesemua itu berakhir di titik noktah apabila pengerusi Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P), Cik Megawati Sukarnoputri, menepisnya bulat-bulat pada Ahad.
Encik Ganjar, bekas Gabenor Jawa Tengah dan pendahulu semasa dalam pelbagai pilihan raya, telah dicalonkan sebagai calon presiden PDI-P.
Encik Prabowo, Menteri Pertahanan dan ketua Partai Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), semakin mengekori sebagai calon presiden.
Mengulas mengenai spekulasi bahawa Encik Prabowo akan bertanding jawatan presiden dengan Encik Ganjar sebagai pasangannya, Cik Megawati menyatakan beliau mendengar isu itu pertama kali menerusi media massa.
“Di media tiba-tiba dibilang begini, Ya, sudah ada persetujuan bahwa nanti Pak Prabowo jadi presidennya, Pak Ganjar jadi wakil presidennya’,” kata Cik Megawati ketika berucap di majlis Rapat Kerja Nasional IV PDI-P.
“Saya, sebagai pengerusi, tidak tahu tentang pengaturan sedemikian, jadi kita harus mengelak daripada mempercayainya,” tambahnya
Beliau menjelaskan bahawa kedua-dua Encik Ganjar dan Encik Prabowo akan bertanding dalam pilihan raya bersama pasangan masing-masing.
PDI-P secara konsisten menegaskan Encik Ganjar tidak akan bertanding sebagai pasangan calon lebih-lebih lagi selepas dipilih secara rasmi sebagai calon presiden parti itu pada 21 April lalu.
Cik Megawati, kekal sebagai tokoh berpengaruh dalam politik Indonesia dan beberapa pendapat mengatakan beliau masih dilihat sebagai bersikap pragmatik, besar kemungkinan akan memilih calon terbaik untuk melanjutkan siri kemenangan PDI-P dalam Pilihan Raya Presiden dan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
Malah seperti yang didakwa sesetengah pihak, menjangkaui pengaruh presiden.
Presiden Joko Widodo, atau lebih dikenali sebagai Jokowi, yang juga eksekutif PDI-P, menyokong idea menggandingkan Encik Ganjar dengan Encik Prabowo bagi memastikan kemenangan secara terang-terangan menentang calon pesaing Encik Anies Baswedan, yang dianggap sebagai tokoh pembangkang kepada pemerintah semasa.
Selepas kongres nasional selama tiga hari itu, PDI-P membuat kesimpulan pada Ahad dengan mengesyorkan pengerusi “mengumumkan pasangan Encik Ganjar pada masa yang sesuai.”
Dalam pada itu, Encik Ganjar menggambarkan dirinya sebagai penyokong tegar Presiden Jokowi, yang komited untuk meneruskan program pembangunan semasa di negara terbesar Asia Tenggara itu, termasuk projek mega bagi membangunkan ibu negara baru di Kalimantan Timur.
Kedua-dua Encik Ganjar dan Encik Prabowo mempunyai kurang daripada tiga minggu lagi untuk memilih pasangan mereka sebelum tarikh akhir pendaftaran dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum pada 19 Oktober.
Dalam tinjauan pendapat umum baru-baru ini mengenai persaingan tiga penjuru antara Encik Ganjar, Encik Prabowo dan Encik Anies, kelihatan Encik Ganjar dan Encik Prabowo kekal dalam persaingan teratas.
Tinjauan awal pada Ogos oleh Saiful Mujani Research and Consulting (SMRC) , misalnya, mendapati Encik Ganjar kini mempunyai populariti meningkat sebanyak 5.1 peratusan mata - daripada 30.8 peratus pada Julai kepada 35.9 peratus.
Manakala populariti Encik Prabowo menurun sebanyak 4.2 peratus - daripada 37.8 peratus kepada 33.6 peratus. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg