Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

PANDANGAN

Memenuhi pelbagai tuntutan Kerajaan Perpaduan Anwar

JAMES CHAI

Jan 05, 2023 | 05:30 AM



PADA sidang media pertamanya sebagai perdana menteri Malaysia pada akhir November, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan salah satu keutamaannya ialah meluluskan usul yakin di Parlimen.



Ini bukan sahaja menunjukkan kekuatan kerajaan pimpinannya, tetapi juga langkah yang perlu untuk memberi jaminan kepada pengundi dan pelabur asing bahawa politik Malaysia kini akan lebih stabil.



Pada 19 Disember lalu, usul yakin itu berakhir secara antiklimaks.



Datuk Anwar disokong sebagai perdana menteri melalui undian suara dan bukan undian, menyebabkan sukar memastikan sama ada majoriti dua pertiga dicapai.



Namun, usul sebelumnya untuk memilih Speaker dan Timbalan Speaker mendapat sokongan 146 hingga 148 Ahli Parlimen (masing-masing hampir dan genap dua pertiga).



Di sebalik tahap sokongan besar ini adalah memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani gabungan utama Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).



Walau tahap kebolehkuatkuasaan masih dipertikai, kesannya adalah untuk mewujudkan rangka kerja menyeluruh bagi undang-undang antilompat (AHL) beroperasi.



Asasnya, kedua-dua MOU dan AHL mengutamakan kepentingan parti politik berbanding ahli parlimen (AP) individu. Dengan MOU itu, penggunaan akuan berkanun (SD) yang "dilelong dan dijual" sebagai tanda sokongan dalam kerajaan terdahulu kelihatan kurang berkesan.



Melangkaui MOU itu, terdapat juga sebab hubungan dan strategik yang menyatukan kerajaan Datuk Anwar.



Dari segi kepentingan strategik, PH, BN dan GPS sedar mereka saling melengkapi dalam gabungan kerajaan. PH telah membuktikan dirinya sebagai kuasa besar di kawasan bandar, tetapi ia kekal lemah dalam sekitaran luar bandar, Melayu konservatif, dan Malaysia Timur.



BN memahami bahawa memenangi semula undi bandar masih menjadi angan-angan, jadi adalah lebih baik untuk mengukuhkan pegangan luar bandar sambil bergantung kepada PH untuk membantu BN di mana ia lemah.



GPS pula sedar bahawa ia mempunyai lebih banyak penjajaran ideologi dengan PH berbanding PN. Di Malaysia Timur, perjuangan Islam PN terbukti sebagai liabiliti pilihan raya.



Ada kemungkinan ketiga-tiga gabungan itu boleh bekerjasama dalam pilihan raya negeri dan umum akan datang, kerana mereka tidak bersaing bagi pengaruh politik yang sama.



Dua faktor lain menyokong kelestarian kerajaan Datuk Anwar. Satu, kebangkitan PN dalam pilihan raya baru-baru ini dilihat sebagai ancaman lebih besar daripada perselisihan masa lalu antara PH, BN dan GPS.



Kedua, hakikat bahawa PH, BN, dan GPS bukanlah parti baru, tetapi gabungan matang yang diuji melalui masa, membolehkan mereka berunding dengan kuasa tawar-menawar yang sama. BN dan GPS memperoleh bahagian terbesar jawatan Kabinet adalah bukti ini.



Selain aspek strategik kerajaan perpaduan, aspek perhubungan akan terus memainkan peranan.



Pada permulaan rundingan gabungan untuk membentuk kerajaan, PH mempunyai kelebihan memandangkan persahabatan antara Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan Datuk Anwar.



Datuk Ahmad Zahid menganggap Datuk Anwar sebagai mentornya. Ini membolehkan PH membentangkan dan bertindak sebahagiannya atas cadangan mereka (iaitu, membenarkan BN memegang jawatan Menteri Besar di Perak dan Pahang), mengetepikan PN.



Walaupun Umno mengalami kekalahan terburuk dalam pilihan raya, PH melayan Umno dengan cara gentleman - sesuai dengan kedudukannya sebagai parti Melayu tertua dan terbesar di negara itu.



Sebaliknya, pengalaman Umno berurusan dengan PN adalah tidak ikhlas. Mesyuarat BN-PN ditangguhkan beberapa kali, dan BN menuduh PN "mencuri" AP-nya di belakangnya. Tidak seperti PH, PN tidak menyediakan cadangan bertulis untuk BN.



Oleh itu, memang difahami BN akhirnya memilih rakan kongsi yang lebih menghormati mereka.



Daripada semua faktor ini, asas undang-undang yang memegang kerajaan itu nampaknya adalah yang paling kukuh, kerana AP yang menentang kemungkinan perlu berhati-hati dan mematuhi arahan parti untuk mengelak kehilangan kerusi mereka.



Sebaliknya, aspek hubungan kelihatan paling berisiko. Jika Datuk Ahmad Zahid disabitkan di mahkamah atas tuduhan rasuah atau dilucutkan jawatan sebagai presiden Umno, ini mungkin menjejas sokongan BN kepada Datuk Anwar.



Mengekalkan satu pasukan yang pernah menjadi pesaing bukanlah mudah. Tetapi kelulusan undi percaya dengan majoriti dua pertiga (tidak langsung) adalah petanda bahawa walaupun sukar, ia tidak mustahil.



  • Penulis ialah Zamil Pelawat di Iseas-Institut Yusof Ishak dan penulis ruangan MalaysiaKini dan akhbar harian Cina, Sin Chew. Rencana ini kali pertama disiarkan di laman Fulcrum, Iseas.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >