PEKANBARU: Seorang warga emas menjadi mangsa rompakan dan pembunuhan menantu perempuannya sendiri.

Kejadian itu menimpa Dumaris, 60 tahun, di Kecamatan Rumbai, Pekanbaru, Riau, Indonesia pada akhir April.

Menantunya, seorang wanita dikenali sebagai AFT, 21 tahun, turut merancang jenayah itu bersama tiga rakannya, dikenali sebagai SL, 34 tahun, EW, 39 tahun, dan L, 22 tahun.

Pengarah Siasatan Jenayah Am Polda Riau, Encik Hasyim, berkata AFT telah menikah siri dengan SL sehingga ia mengajak suaminya itu untuk membunuh dan merompak mangsa.

“Mereka merancang dengan teliti termasuk menginap di hotel di Jalan Riau.

Pada hari kejadian, AFT berpura-pura menziarahi Dumaris dan disusuli SL yang menyamar sebagai pemandu ‘ojek’ (pemandu teksi motosikal) dalam talian dan menuntut bayaran berjumlah 300,000 rupiah ($22.20).

“Pelaku yang sudah memegang sebatang kayu bertindak memukul kepala dan dada mangsa beberapa kali selepas dia enggan membayar wang yang diminta.

“Dia turut memusnahkan sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di rumah mangsa.

“SL mengheret tubuh Dumaris ke dapur, manakala tiga rakan subahat lain mencuri barang berharga miliknya,” jelas Hasyim lagi.

Mereka kemudiannya melarikan diri ke Sumatera Utara selepas merompak barang kemas, wang berjumlah $400, pasport dan telefon bimbit.

Tetapi, kesemuanya berjaya diberkas di dua lokasi berbeza dan bakal didakwa. – Agensi berita.