RIYADH: Konflik antara Arab Saudi dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran semakin memuncak selepas bangunan pencakar langit tertinggi di Riyadh diserang buat kali kedua dalam tempoh beberapa hari, menyebabkan 11 orang cedera, manakala tentera Saudi dilaporkan menyerang bandar pelabuhan Hodeida di Yaman.

Tiga saksi memberitahu AFP bahawa serangan di Riyadh pada 24 November itu menyasarkan Menara Dana Pelaburan Awam (PIF), bangunan setinggi 80 tingkat yang menempatkan ibu pejabat dana kekayaan negara Arab Saudi di Daerah Kewangan Raja Abdullah (KAFD).

Pihak berkuasa pertahanan awam Arab Saudi berkata mangsa yang cedera terdiri daripada empat warga Mesir, tiga warga Nepal, dua warga India dan dua warga Saudi.

Sekurang-kurangnya dua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat melecur teruk.

Jurucakap pakatan tentera pimpinan Arab Saudi, Turki al-Malki, mengecam serangan tersebut dan menyifatkannya sebagai tindakan pengganas.

“Salah sebuah menara di pusat kewangan itu menjadi sasaran serangan pengganas yang pengecut. Pihak berkuasa berkaitan sedang memeriksa lokasi serangan,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Pihak berkuasa Saudi tidak menamakan bangunan yang diserang, namun menyiarkan gambar Menara PIF, yang turut mengalami kerosakan dalam serangan Houthi minggu lalu.

Houthi belum mengaku bertanggungjawab terhadap serangan terbaru itu, meskipun kumpulan tersebut sebelum ini berulang kali mengancam daerah kewangan Riyadh.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Awal November, kumpulan itu turut mengaku bertanggungjawab terhadap serangan yang merosakkan menara milik syarikat minyak negara Arab Saudi, Saudi Aramco.

Pegawai Houthi berkata serangan mereka terhadap Arab Saudi merupakan tindak balas terhadap serangan udara kerajaan itu di Yaman.

Dalam perkembangan terbaru, media Houthi melaporkan pada 25 November bahawa tentera Arab Saudi melancarkan serangan terhadap bandar pelabuhan Hodeida di Yaman, sedang kumpulan tersebut mengancam untuk menyerang pelabuhan Saudi di Laut Merah.

Pakatan tentera pimpinan Arab Saudi turut mengeluarkan arahan menerusi media sosial supaya penduduk awam di Hodeida berpindah demi keselamatan mereka.

Saluran media Houthi, Almasirah, melaporkan bahawa pelabuhan Hodeida menjadi sasaran serangan, selain lapangan terbang antarabangsa di kawasan berkenaan.

Belum ada laporan mengenai korban jiwa atau kecederaan akibat serangan tersebut.

Hodeida merupakan antara bandar utama yang dikuasai Houthi, yang kini berdepan pakatan tentera pimpinan Arab Saudi yang menyokong pemerintah Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Pertukaran serangan itu meningkatkan kebimbangan bahawa konflik tersebut akan terus merebak, terutama selepas Houthi mengancam kemudahan pelabuhan Arab Saudi di Laut Merah.

Serangan terhadap Menara PIF mempunyai makna simbolik yang besar kerana dana kekayaan negara bernilai sekitar AS$900 bilion ($1.1 trilion) itu menjadi penggerak utama rancangan Putera Mahkota Mohammed bin Salman untuk mempelbagaikan ekonomi Arab Saudi dan mengurangkan kebergantungannya pada minyak.

Menara setinggi 385 meter itu merupakan mercu tanda utama daerah kewangan Riyadh, yang turut menempatkan ibu pejabat bursa saham Saudi serta syarikat multinasional seperti Goldman Sachs.

PIF menguruskan pelaburan di seluruh dunia, termasuk pegangan saham dalam syarikat Amerika seperti Uber dan SpaceX, selain pelaburan besar dalam sektor kecerdasan buatan (AI), pembuatan, sukan dan hiburan di Arab Saudi.

Bagaimanapun, konflik yang semakin sengit telah mengganggu kegiatan ekonomi dan perniagaan negara itu.

Ramai kakitangan di daerah kewangan Riyadh bekerja dari rumah sejak beberapa minggu lalu berikutan kebimbangan mengenai keselamatan.

Beberapa acara antarabangsa turut dibatalkan, termasuk persidangan kewangan Inisiatif Pelaburan Masa Depan (FII), yang digelar ‘Davos di gurun’.

Serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh pada Oktober turut memaksa operasi penerbangan digantung selama dua minggu.

Pertempuran antara Houthi dengan pasukan pemerintah Yaman yang disokong Arab Saudi turut memburukkan krisis kemanusiaan di negara miskin itu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 2,200 orang terkorban dalam konflik tersebut sejak beberapa bulan lalu, manakala hampir 350,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.

Konflik di Yaman bermula pada 2014 selepas Houthi menawan ibu kota Sanaa, sehingga mencetuskan perang saudara.

Pakatan tentera pimpinan Arab Saudi campur tangan pada awal 2015 bagi menyokong pemerintah Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Gencatan senjata yang dicapai pada 2022 berjaya meredakan pertempuran buat sementara waktu, namun mula goyah pada Julai menyusuli konflik lebih meluas melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran.

Britain pada 24 November mengenakan sekatan terhadap Houthi dan empat pegawai kanannya atas tindakan yang disifatkan London sebagai usaha sengaja menggugat kestabilan.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, turut mengecam serangan terhadap Arab Saudi dalam perbualan telefon dengan Menteri Ehwal Luar Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud.

“Setiausaha Negara mengecam serangan pengganas Houthi yang disokong Iran terhadap infrastruktur awam dan tenaga Arab Saudi,” kata Jabatan Negara Amerika dalam satu kenyataan. – Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti