Topik diikuti
Pergi ke BHkuSerangan Houthi sasar bangunan tertinggi Riyadh, 11 cedera
Serangan kedua terhadap menara dana kekayaan Arab Saudi mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan dan kesan konflik terhadap ekonomi negara itu
Serangan Houthi sasar bangunan tertinggi Riyadh, 11 cedera
RIYADH: Bangunan pencakar langit tertinggi di ibu kota Arab Saudi diserang buat kali kedua dalam tempoh beberapa hari, menyebabkan 11 orang cedera, sedang konflik antara kerajaan itu dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran semakin memuncak.
Tiga saksi mengesahkan bahawa serangan pada 24 November itu menyasarkan Menara Dana Pelaburan Awam (PIF), bangunan setinggi 80 tingkat yang menempatkan ibu pejabat dana kekayaan negara Arab Saudi di Daerah Kewangan Raja Abdullah (KAFD) di Riyadh.
Pihak berkuasa pertahanan awam Arab Saudi berkata mangsa yang cedera terdiri daripada empat warga Mesir, tiga warga Nepal, dua warga India dan dua warga Saudi.
Sumber yang diberi taklimat mengenai kejadian itu memberitahu AFP bahawa sekurang-kurangnya dua mangsa berada dalam keadaan kritikal akibat melecur teruk.
Pihak berkuasa Saudi tidak menamakan bangunan yang diserang, namun menyiarkan gambar Menara PIF, yang turut mengalami kerosakan dalam serangan minggu lalu.
Jurucakap pakatan tentera pimpinan Arab Saudi, Encik Turki al-Malki, mengecam kejadian tersebut dan menyifatkannya sebagai serangan pengganas.
“Salah sebuah menara di pusat kewangan itu menjadi sasaran serangan pengganas yang pengecut. Pihak berkuasa berkaitan sedang memeriksa lokasi serangan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Kumpulan Houthi belum mengeluarkan kenyataan atau mengaku bertanggungjawab terhadap serangan terbaru itu.
Bagaimanapun, kumpulan tersebut sebelum ini berulang kali mengancam untuk menyerang daerah kewangan Riyadh dan mengaku bertanggungjawab terhadap beberapa serangan di kawasan berkenaan.
Awal November, satu serangan turut merosakkan menara milik syarikat minyak negara Arab Saudi, Saudi Aramco.
Pegawai Houthi berkata serangan mereka terhadap Arab Saudi merupakan tindak balas terhadap serangan udara kerajaan itu di Yaman.
Serangan terhadap Menara PIF mempunyai makna simbolik yang besar kerana dana kekayaan negara bernilai sekitar AS$900 bilion ($1.1 bilion) itu menjadi penggerak utama rancangan Putera Mahkota Mohammed bin Salman untuk mempelbagaikan ekonomi Arab Saudi dan mengurangkan kebergantungannya pada minyak.
Menara setinggi 385 meter itu merupakan mercu tanda utama KAFD, sebuah daerah kewangan moden yang mencerminkan transformasi Arab Saudi untuk menjadi pusat kewangan dan pelaburan antarabangsa.
Daerah tersebut turut menempatkan ibu pejabat bursa saham Saudi serta beberapa syarikat multinasional, termasuk Goldman Sachs.
PIF menguruskan pelaburan berprofil tinggi di seluruh dunia, termasuk pegangan saham dalam syarikat Amerika seperti Uber dan SpaceX.
Dana itu juga melabur secara besar-besaran dalam sektor kecerdasan buatan (AI), pembuatan, sukan dan hiburan di Arab Saudi.
Namun, serangan berterusan Houthi telah menjejas kegiatan perniagaan dan menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan di ibu kota negara itu.
Ramai kakitangan di daerah kewangan tersebut bekerja dari rumah sejak beberapa minggu lalu.
Beberapa acara utama turut dibatalkan, termasuk persidangan kewangan Inisiatif Pelaburan Masa Depan (FII), yang digelar ‘Davos di gurun’.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, mengecam serangan terhadap infrastruktur Arab Saudi dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatannya, Putera Faisal bin Farhan Al Saud.
“Setiausaha Negara mengecam serangan pengganas Houthi yang disokong Iran terhadap infrastruktur awam dan tenaga Arab Saudi,” kata Jabatan Negara Amerika dalam satu kenyataan.
Britain pula mengenakan sekatan terhadap kumpulan Houthi dan empat pegawai kanannya atas tindakan yang disifatkan London sebagai usaha sengaja menggugat kestabilan.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Houthi meningkatkan serangan terhadap kemudahan tentera, awam dan tenaga Arab Saudi.
Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh turut menjadi sasaran serangan pada Oktober, sehingga memaksa operasi penerbangan digantung selama dua minggu.
Sebagai tindak balas, pakatan tentera pimpinan Arab Saudi meningkatkan serangan udara terhadap sasaran Houthi di Yaman.
Pertempuran yang semakin sengit antara Houthi dengan pasukan pemerintah Yaman yang disokong Arab Saudi turut memburukkan krisis kemanusiaan di negara miskin itu.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 2,200 orang terkorban dalam konflik tersebut sejak beberapa bulan lalu, manakala hampir 350,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
Konflik di Yaman bermula pada 2014 selepas Houthi menawan ibu kota Sanaa dan menggulingkan pemerintah negara itu.
Pakatan tentera pimpinan Arab Saudi campur tangan pada awal 2015 bagi menyokong pemerintah Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Gencatan senjata yang dicapai pada 2022 berjaya meredakan pertempuran buat sementara waktu, namun mula goyah pada Julai menyusuli konflik lebih meluas melibatkan Amerika, Israel dan Iran.
Keganasan yang kembali memuncak bukan sahaja mengancam keselamatan Arab Saudi dan kestabilan rantau Teluk, malah menambah penderitaan rakyat Yaman yang telah berdepan konflik selama lebih sedekad. – Agensi berita