Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenjelang pertemuan Xi-Trump, AS-China rancang saluran khas tangani risiko AI
Menjelang pertemuan Xi-Trump, AS-China rancang saluran khas tangani risiko AI
WASHINGTON: Amerika Syarikat dan China sedang berusaha mewujudkan dialog khusus mengenai kecerdasan buatan (AI), termasuk mekanisme pemberitahuan bagi memaklumkan satu sama lain sekiranya teknologi itu mencetuskan ancaman terhadap keselamatan negara.
Langkah itu muncul ketika AI menjadi antara isu utama menjelang pertemuan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dengan Presiden China, Encik Xi Jinping, di Washington pada 24 September, di tengah-tengah persaingan sengit kedua-dua kuasa dalam teknologi canggih.
Cadangan itu dibincangkan oleh Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, dan Naib Perdana Menteri China, Encik He Lifeng, dalam pertemuan di New York pada 20 September.
Encik Bessent berkata kedua-dua pihak membincangkan kemungkinan mewujudkan satu sistem yang membolehkan Washington dan Beijing saling memberi amaran mengenai insiden AI yang boleh membawa implikasi terhadap keselamatan negara.
“Perkara penting ialah kita mula bercakap,” katanya.
Kedua-dua pihak dijangka mengadakan satu lagi perbincangan mengenai AI, kemungkinan dalam tempoh dua bulan di Shenzhen, China.
Antara risiko yang mungkin dibincangkan ialah sistem AI yang sukar dikawal, penggunaan teknologi oleh pelaku bukan negara, serangan siber dan kemungkinan AI digunakan dalam pembangunan senjata biologi.
Cadangan itu mencerminkan kebimbangan semakin meningkat bahawa persaingan AI antara dua kuasa terbesar dunia boleh membawa risiko keselamatan yang melangkaui sektor teknologi.
Pakar keselamatan Amerika dan China sebelum ini turut mencadangkan beberapa langkah untuk mengurangkan risiko AI dalam bidang ketenteraan.
Ini termasuk memastikan manusia terus mempunyai kawalan terhadap keputusan kritikal serta mewujudkan saluran komunikasi bagi mengelakkan insiden AI daripada mencetuskan konflik lebih besar.
Perbincangan itu berlangsung ketika Washington dan Beijing bersaing untuk menguasai pembangunan AI, termasuk cip canggih, pusat data dan model AI generasi baru.
Amerika turut menuduh beberapa syarikat China menggunakan teknik yang dikenali sebagai “distillation” untuk meniru keupayaan model AI Amerika, dakwaan yang menambahkan ketegangan teknologi antara kedua-dua negara.
Washington juga sebelum ini mengenakan sekatan eksport terhadap cip AI canggih dan peralatan membuat semikonduktor bagi menyekat akses China kepada teknologi yang dianggap mempunyai kegunaan ketenteraan.
Pentadbiran Encik Trump bagaimanapun telah membenarkan secara terhad penjualan beberapa cip Nvidia H200 kepada China.
Penyokong langkah itu berhujah bahawa sekatan terlalu ketat boleh mendorong syarikat China, termasuk Huawei, mempercepat pembangunan cip mereka sendiri, sekali gus mengurangkan kebergantungan Beijing kepada teknologi Amerika.
Encik Trump pula berulang kali menegaskan bahawa Amerika mesti mengekalkan kedudukannya di hadapan China dalam perlumbaan AI.
“Siapa yang memenangi AI, MENANG! Kita kini mendahului China dan semua yang lain, dan saya akan memastikan keadaan itu kekal,” katanya dalam catatan media sosial pada 21 September.
Beliau turut menolak pendekatan yang dianggap boleh memperlahankan pembangunan AI, dengan berhujah teknologi itu berpotensi membawa perubahan lebih besar daripada Revolusi Perindustrian atau Internet.
Pendekatan itu berbeza dengan desakan sesetengah penggubal undang-undang dan pakar keselamatan Amerika yang mahu kawalan lebih ketat terhadap eksport teknologi AI ke China.
Pada masa sama, penganalisis tidak menjangkakan dialog AI antara Washington dengan Beijing akan segera menghasilkan peraturan bersama yang menyeluruh.
Kedua-dua negara mempunyai kepentingan untuk mengurangkan risiko AI yang tidak terkawal, tetapi masing-masing juga keberatan menerima langkah yang boleh menjejaskan kelebihan teknologi dan keselamatan mereka.
Presiden Dewan Perniagaan Amerika di Shanghai, Encik Eric Zheng, berkata industri di kedua-dua negara melihat keperluan untuk sekurang-kurangnya memulakan perbincangan mengenai tadbir urus AI.
Persaingan teknologi itu pula berlaku dalam hubungan Amerika-China yang masih dibayangi pertikaian mengenai perdagangan, Taiwan dan keselamatan.
Menjelang pertemuan Encik Trump dengan Encik Xi, Duta China ke Amerika, Encik Xie Feng, pada 23 September memberi amaran bahawa Beijing mempunyai empat “garis merah” yang tidak boleh dicabar Washington.
Beliau menyenaraikan isu Taiwan, demokrasi dan hak asasi manusia, sistem dan laluan pembangunan China serta hak negara itu untuk membangun sebagai perkara yang menyentuh kepentingan teras Beijing.
“Kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan China tidak boleh dicabuli,” katanya dalam tulisan yang diterbitkan akhbar rasmi Parti Komunis China, People’s Daily.
Encik Xie pada masa sama berkata China mahu hubungan dengan Amerika bergerak ke arah kerjasama dan pembangunan secara aman.
China menganggap Taiwan sebagai sebahagian wilayahnya, manakala Amerika, walaupun tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Taipei, merupakan pembekal senjata utama pulau itu.
Pertemuan Encik Trump dan Encik Xi kini dilihat sebagai peluang untuk menstabilkan hubungan dua kuasa itu, meskipun persaingan strategik mereka dijangka berterusan.
Dalam bidang AI, kemajuan awal mungkin lebih tertumpu kepada membina saluran komunikasi dan menetapkan cara kedua-dua pihak bertindak ketika berlaku kecemasan, berbanding mencapai persetujuan luas mengenai bagaimana teknologi itu harus dikawal.
Penganalisis berkata rasa tidak percaya antara Washington dengan Beijing masih menjadi halangan utama kerana kedua-duanya bimbang perkongsian maklumat mengenai AI boleh mendedahkan kelemahan atau menjejaskan kelebihan strategik masing-masing.
Justeru, mekanisme pemberitahuan yang sedang dibincangkan mungkin menjadi langkah awal yang kecil, tetapi penting, untuk memastikan persaingan AI antara Amerika dan China tidak bertukar menjadi krisis keselamatan yang lebih besar. – Agensi berita