BAITULMAKDIS: Menteri Luar Israel, Encik Gideon Saar, pada 21 Disember menyeru masyarakat Yahudi di negara Barat berpindah ke Israel ekoran peningkatan sentimen anti-Yahudi, seminggu selepas 15 orang ditembak mati di sebuah acara agama itu di Sydney.
“Orang Yahudi berhak untuk hidup dengan selamat di mana-mana sahaja. Tetapi kita melihat dan memahami sepenuhnya apa yang sedang berlaku dan kita mempunyai pengalaman sejarah tertentu.
“Hari ini, orang Yahudi diburu di seluruh dunia,” kata Encik Saar di majlis sambutan hari terakhir perayaan Yahudi, Hanukkah.
“Hari ini saya menyeru orang Yahudi di England, di Perancis, di Australia, di Canada, di Belgium datang ke Israel. Pulanglah,” kata Encik Saar pada majlis yang diadakan bersama pemimpin masyarakat dan pertubuhan Yahudi di seluruh dunia.
Sejak perang di Gaza, yang dicetuskan oleh serangan Hamas yang belum pernah terjadi sebelumnya ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, para pemimpin Israel telah berulang kali mengecam lonjakan anti-Yahudi di negara Barat dan menuduh pemerintah mereka gagal membendungnya.
Pihak berkuasa Australia menyatakan serangan pada 14 Disember ke atas acara Hanukkah di Pantai Bondi, Sydney, diinspirasikan oleh ideologi IS.
Pada 16 Disember, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menggesa pemerintah Barat agar melindungi warga Yahudi mereka dengan lebih baik.
“Saya mendesak agar pemerintah Barat melakukan apa yang perlu untuk memerangi (sentimen) anti-Yahudi dan menyediakan keselamatan (untuk melindungi) masyarakat Yahudi di seluruh dunia,” kata Encik Netanyahu dalam ucapan video.
Pada Oktober, Encik Saar menuduh pihak berkuasa Britain gagal mengambil tindakan untuk membendung “gelombang anti-Yahudi” susulan serangan ke atas rumah ibadat Manchester, yang menyebabkan dua orang terbunuh dan empat cedera. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg