SYDNEY: Masyarakat Yahudi Australia berkumpul di Pantai Bondi, Sydney, pada 19 Disember untuk mengadakan upacara sembahyang, sementara ratusan perenang dan peluncur mendayung ke laut bagi menghormati 15 mangsa yang terbunuh.
Mangsa terkorban selepas dua lelaki, seorang bapa dan anak, melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang sedang meraikan festival Yahudi.
Pihak berkuasa berkata kejadian tembakan pada 14 Disember – yang paling dahsyat di Australia dalam tempoh hampir 30 tahun – dipercayai dipengaruhi kumpulan ISIS dan polis telah meningkatkan rondaan serta kawalan bagi mencegah sebarang keganasan lanjut.
Pada 18 Disember, polis berkata mereka menahan dua kereta dan tujuh lelaki di barat daya Sydney selepas menerima maklumat “tindakan ganas mungkin sedang dirancang”.
Polis Australia berkata kumpulan tersebut, yang sudah dikenali pihak berkuasa, kemungkinan mempunyai hubungan ideologi ekstremis Islam yang serupa dengan dua suspek penembakan di Pantai Bondi.
“Kami mempunyai beberapa petunjuk Pantai Bondi merupakan salah satu lokasi yang mungkin mereka lawati semalam (18 Disember), namun tiada niat jelas atau terbukti pada tahap ini,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis New South Wales, Encik David Hudson.
Sebilah pisau ditemui, namun tiada senjata api, tambah Encik Hudson.
Kumpulan ISIS menyifatkan serangan beramai-ramai di Pantai Bondi itu sebagai “sumber kebanggaan” dalam satu artikel di saluran Telegram mereka, walaupun tidak mengakui bertanggungjawab secara langsung ke atas serangan tersebut.
Di pantai Bondi pada 19 Disember, nama mangsa dibacakan semasa upacara sembahyang di lokasi serangan ketika para perenang masuk ke laut sebagai tanda perpaduan.
Pemimpin masyarakat menyifatkan sokongan itu sebagai amat mengharukan, terutama ketika kebimbangan mengenai peningkatan kejadian anti-Yahudi sejak perang di Gaza kian tinggi.
“Sejak dua tahun kebelakangan ini, ramai yang mula mempersoalkan sama ada kami (masyarakat Yahudi) masih diterima di Australia, kerana hampir setiap minggu kami menyaksikan orang menuntut kematian kami di jalanan,” kata Rabai Yosef Eichenblatt.
“Jadi, amat menyentuh hati melihat luahan kasih sayang dan sokongan ini.
“Ia benar-benar memberi ketenangan dan kelegaan,” tambahnya.
Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, yang kini menghadapi tekanan daripada pengkritik yang menyifatkan pemerintahan beliau yang berhaluan kiri-tengah itu, tidak cukup menangani anti-Yahudi, telah berikrar akan mengambil tindakan tegas terhadap ucapan kebencian susulan serangan tersebut.
Pemerintah berhaluan kiri-tengah secara amnya menyokong kesaksamaan sosial, program kebajikan dan dasar progresif, sambil mengekalkan ekonomi berasaskan pasaran.
Encik Albanese merancang memperkenalkan undang-undang yang memudahkan pendakwaan terhadap mereka yang menggalakkan ucapan kebencian dan keganasan, serta membatalkan atau menolak visa bagi individu yang terlibat dalam ucapan kebencian.
Ketua Pembangkang, Cik Sussan Ley, mendesak Encik Albanese supaya mengadakan sidang Parlimen lebih awal bagi menangani isu anti-Yahudi.
Menurut Encik Albanese, beliau bersedia mengadakan sidang Parlimen sebelum Februari 2026 namun memberi amaran undang-undang yang dicadangkan itu rumit dan memerlukan masa untuk digubal.
Upacara pengebumian diadakan sepanjang minggu ini, dengan Matilda, 10 tahun, mangsa termuda daripada 15 mangsa, dikebumikan pada 18 Disember.
Mainan lebah berwarna kuning diletakkan di atas kerandanya dan ramai yang hadir memakai pelekat kuning dan lebah serta membawa mainan dan belon bertema lebah untuk menghormati Matilda, yang mempunyai nama tengah ‘Bee’. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg