Topic followed successfully
Go to BHkuMenteri disiasat langgar aturan PKP makan di kafe
Menteri disiasat langgar aturan PKP makan di kafe
Menteri disiasat langgar aturan PKP makan di kafe
JELI (Kelantan): Polis Malaysia telah membuka kertas siasatan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berikutan tular gambar beliau makan di sebuah kafe di Jeli Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Jeli, Timbalan Superintenden Ahmad Arifin, berkata Ahli Perlimen Jeli itu dan beberapa individu lain disiasat di bawah undang-undang pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.
Menurutnya, polis menerima satu laporan semalam mengenai gambar itu tular di media sosial.
"Bertindak atas laporan polis, kita membuka siasatan terhadap empat individu berkenaan, termasuk Datuk Seri Mustapa dan pemilik kedai makan berkenaan, kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Kita akan memanggil kesemua individu dalam gambar dalam masa terdekat untuk diambil keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.
"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar SOP, termasuk pemimpin kerajaan," katanya ketika dihubungi.
Gambar itu asalnya dimuat naik pemilik kedai makan itu di Facebook, sambil meluahkan rasa gembira atas kunjungan Datuk Mustapa ke kedainya.
Gambar itu menjadi tular dan ramai mempersoal tindakan Datuk Mustapa melanggar SOP kerana makan dalam kedai dilarang dalam tempoh PKP.
Datuk Mustapa malam kelmarin memohon maaf atas pelanggaran SOP itu.
Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata dalam satu kenyataan bahawa beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Datuk Mustapa mengaku berada dan dihidangkan makanan di Alfath Café di Kampung Kalai, semasa di situ. - BHM.

