Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri Indonesia ancam TikTok: Ikut aturan atau keluar

Sep 26, 2023 | 1:41 PM
DIMINTA IKUT PERATURAN: Menteri Pelaburan Indonesia, Encik Bahlil Lahadalia, berkata aplikasi perkongsian video termasuk Tiktok akan ditunjukkan pintu keluar jika ia tidak mengikut peraturan.
DIMINTA IKUT PERATURAN: Menteri Pelaburan Indonesia, Encik Bahlil Lahadalia, berkata aplikasi perkongsian video termasuk Tiktok akan ditunjukkan pintu keluar jika ia tidak mengikut peraturan. - Facebook Bahlil Lahadalia 

JAKARTA: Seorang menteri Indonesia pada Isnin menyampaikan teguran keras kepada syarikat gergasi teknologi TikTok kerana terus menganjurkan kegiatan beli-belah secara langsung di platformnya.

Menteri Pelaburan, Encik Bahlil Lahadalia, berkata aplikasi perkongsian video akan ditunjukkan pintu keluar jika ia tidak mengikut peraturan.

Menurut beliau, lesen TikTok di Indonesia terutamanya meliputi aktiviti media sosial, dan kegagalan untuk mematuhinya boleh mengakibatkan pembatalan lesennya.

“Lesen yang diberikan kepada TikTok bukan bertujuan untuk menjalankan transaksi perdagangan tetapi terutamanya untuk beroperasi sebagai platform media sosial.

“Jika mereka gagal mematuhi syarat ini, saya mungkin terpaksa mengambil keputusan untuk membatalkan lesen mereka,” kata Encik Bahlil kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Jakarta.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa pemerintahnya tidak berhasrat untuk mengadakan rundingan dengan TikTok berhubung perkara tersebut.

“Mengapa kita perlu? Menjadi tanggungjawab mereka untuk mematuhi peraturan negara kita. Jika mereka mempunyai bantahan, mereka bebas meninggalkan negara ini, dan ia tidak akan memberi kesan buruk kepada kita,” tegas Encik Bahlil.

Beliau berkata walaupun TikTok dibenarkan beroperasi di Indonesia sebagai platform media sosial, ia tidak dibenarkan untuk terlibat dalam aktiviti e-dagang.

Menurutnya, pemerintah Indonesia secara aktif menilai semula peraturan e-dagang untuk mencegah pengelakan cukai dalam perdagangan rentas sempadan.

“Barang yang masuk ke Indonesia mesti disimpan di gudang sehingga semua cukai yang dikenakan dijelaskan.

“Selain itu, kami sedang dalam proses merangka peraturan, di bawah seliaan Menteri Perdagangan, yang akan melarang platform media sosial daripada menjalankan transaksi e-dagang,” ujar Encik Bahlil.

Dalam pada itu, Jakarta Globe pada Julai lalu melaporkan bahawa TikTok Indonesia tidak mempunyai rancangan untuk menjual produknya sendiri menerusi aplikasi itu berikutan kebimbangan mengenai apa yang dipanggil ‘Projek S’.

Menurut Financial Times, ‘Project S’ menggunakan pemahaman TikTok tentang barangan yang tular pada aplikasinya. Ini akan membolehkan syarikat induk Chinanya, ByteDance, memperoleh atau membuat item tersebut.

Berita ‘Projek S’ telah mencetuskan kebimbangan di Indonesia yang ekonominya sangat bergantung kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

TikTok Indonesia menafikan mempunyai rancangan sedemikian. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg