Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Indonesia rancang aturan larang e-dagang di media sosial

Sep 25, 2023 | 03:32 PM



JAKARTA: Pemerintah Indonesia bersedia untuk memperkenalkan peraturan yang melarang syarikat gergasi teknologi daripada menjalankan aktiviti e-dagang menerusi platform media sosial atas kebimbangan terhadap amalan monopoli, kata Presiden Joko “Jokowi” Widodo.


Draf peraturan ini sedang dimuktamadkan oleh pasukan berbilang kementerian, dengan Kementerian Perdagangan menyelia kerja-kerja melakar draf peraturan baru itu.

“Sekarang ini dalam peringkat akhir untuk dimuktamadkan di Kementerian Perdagangan kerana kementerian lain telah menyelesaikan tugas mereka. Jadi, kita hanya perlu menunggu pelepasan rasmi,” kata Presiden Jokowi semasa lawatan ke Kabupaten Penajam Paser Utara di Kalimantan Timur.

Peraturan tersebut bertujuan untuk melindungi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) Indonesia daripada persaingan tidak adil yang ditimbulkan oleh gergasi teknologi yang beroperasi di negara itu.

“Kami sedar akan kesannya terhadap PKS dan pasaran kami. Dalam beberapa kes, pasaran kami telah terjejas oleh aktiviti perdagangan yang meluas pada platform yang pada mulanya didaftarkan sebagai laman media sosial,” kata beliau yang mengelak daripada menamakan platform tertentu.

Awal bulan ini, Menteri Koperasi dan PKS, Encik Teten Masduki, menyatakan bahawa pemerintah Indonesia berhasrat untuk mengikuti contoh India dan Amerika Syarikat dalam menghalang platform media sosial TikTok daripada menyertai e-dagang dalam negara mereka.

TikTok memiliki sistem pembayaran digital dan infrastruktur logistiknya sendiri. Membenarkan ia beroperasi dalam e-dagang. Ini sekali gus berpotensi menjejas perniagaan tempatan, kata Encik Teten.

“Kedua-dua India dan Amerika Syarikat telah pun melarang TikTok daripada menjalankan kedua-dua media sosial dan perniagaan e-dagang secara serentak.

Di Indonesia, TikTok kini masih mempunyai kebebasan untuk terlibat dalam kedua-dua aktiviti,” tegasnya.

Menteri itu memetik penyelidikan yang membentangkan bahawa TikTok telah menyepadukan ciri membeli-belah dalam talian yang memberi kesan kepada interaksi media sosial.

Walaupun TikTok masih dibenarkan untuk menjalankan wadah dagangan, ia tidak boleh digabungkan dengan aplikasi perkongsian video popularnya, yang mempunyai berpuluh juta pengguna di Indonesia.

“Selain itu, mereka mempunyai sistem pembayaran dan sokongan logistik mereka sendiri. Ini sesuai dengan amalan perniagaan monopoli,” tegas beliau.

Atas alasan yang sama, Encik Teten menggesa wadah dagangan dalam talian di Indonesia supaya mengelak daripada menjual produk mereka sendiri atau syarikat gabungan untuk mengelakkan tingkah laku monopoli.

TikTok yang mempunyai dua juta peniaga di Indonesia, sebelum ini berkata ia tidak bercadang melancarkan perniagaan rentas sempadan di negara itu selepas pegawai menyatakan kebimbangan dorongan e-dagang firma itu boleh membanjiri negara dengan produk China.

Baru-baru ini, New York telah mengharamkan TikTok pada peranti milik pemerintah atas alasan kebimbangan keselamatan – sama seperti langkah sekatan yang telah diambil oleh beberapa bandar dan wilayah lain di Amerika.

TikTok, aplikasi perkongsian video pendek yang digunakan oleh lebih 150 juta rakyat Amerika dan dimiliki oleh gergasi teknologi China, ByteDance, berdepan dengan meningkatnya desakan daripada penggubal undang-undang seluruh Amerika supaya mengharamkan media sosial itu atas kebimbangan mengenai kemungkinan pengaruh pemerintah China. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >