PBB beri amaran kebimbangan pembersihan etnik di Gaza, Tebing Barat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB beri amaran kebimbangan pembersihan etnik di Gaza, Tebing Barat

Feb 19, 2026 | 5:05 PM

PBB beri amaran kebimbangan pembersihan etnik di Gaza, Tebing Barat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Rakyat Palestin berkumpul untuk berbuka puasa secara besar-besaran yang dianjurkan oleh Yayasan IHH Turkiye di tengah runtuhan bangunan yang musnah di Gaza City pada 18 Februari 2026. Tanglung kecil Ramadan dan lampu hiasan dipasang di jalan-jalan yang dipenuhi bangunan runtuh serta timbunan puing, membawa sedikit keceriaan dan kelegaan ketika bulan suci Islam bermula buat pertama kali sejak gencatan senjata pada Oktober lalu.
Rakyat Palestin berkumpul untuk berbuka puasa secara besar-besaran yang dianjurkan oleh Yayasan IHH Turkiye di tengah runtuhan bangunan yang musnah di Gaza City pada 18 Februari 2026. Tanglung kecil Ramadan dan lampu hiasan dipasang di jalan-jalan yang dipenuhi bangunan runtuh serta timbunan puing, membawa sedikit keceriaan dan kelegaan ketika bulan suci Islam bermula buat pertama kali sejak gencatan senjata pada Oktober lalu. - Foto AFP

GENEVA: Peningkatan serangan Israel serta pemindahan paksa rakyat Palestin menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya pembersihan etnik di Semenanjung Jaluran dan Tebing Barat, menurut Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 19 Februari.

Dalam laporan terbaharu yang merangkumi tempoh 1 November 2024 hingga 31 Oktober 2025, pejabat itu menyatakan kesan kumulatif operasi ketenteraan Israel di Gaza serta sekatan berterusan telah mewujudkan keadaan hidup yang “semakin tidak serasi dengan kelangsungan kewujudan rakyat Palestin sebagai satu kumpulan di Gaza”.

“Serangan yang dipertingkatkan, pemusnahan sistematik seluruh kawasan kejiranan dan penafian bantuan kemanusiaan dilihat bertujuan mengubah komposisi demografi Gaza secara kekal,” menurut laporan tersebut.

“Keadaan ini, bersama pemindahan paksa yang kelihatan bertujuan untuk pengusiran kekal, menimbulkan kebimbangan terhadap pembersihan etnik di Gaza dan Tebing Barat.”

Laporan itu turut menyorot keadaan di Tebing Barat yang diduduki serta Baitulmakdis Timur yang dianeksasi. Menurut PBB, penggunaan kekerasan yang menyalahi undang-undang secara sistematik oleh pasukan keselamatan Israel, penahanan sewenang-wenangnya yang meluas serta perobohan rumah rakyat Palestin secara besar-besaran dilakukan untuk “mendiskriminasi, menindas, mengawal dan menguasai rakyat Palestin”.

“Pelanggaran ini mengubah karakter, status dan komposisi demografi Tebing Barat yang diduduki, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius terhadap pembersihan etnik,” menurut laporan itu lagi.

Di Gaza, laporan berkenaan mengutuk pembunuhan dan kecederaan terhadap “jumlah orang awam yang belum pernah berlaku sebelum ini”, selain penyebaran kebuluran serta kemusnahan baki infrastruktur awam.

Sepanjang 12 bulan yang dikaji, sekurang-kurangnya 463 rakyat Palestin, termasuk 157 kanak-kanak, dilaporkan mati akibat kebuluran di Gaza. “Rakyat Palestin berdepan pilihan tidak berperikemanusiaan sama ada mati kelaparan atau mempertaruhkan nyawa ketika cuba mendapatkan makanan,” menurut laporan tersebut.

Pejabat hak asasi itu menyatakan situasi kebuluran dan kekurangan zat makanan adalah “hasil langsung tindakan kerajaan Israel”, dengan kematian akibat kelaparan dianggap boleh dijangka dan telah berulang kali diberi amaran sebelum ini.

Pada masa sama, laporan itu turut menyatakan bahawa Hamas dan kumpulan bersenjata Palestin lain terus menahan tebusan Israel dan warga asing yang ditawan pada 7 Oktober 2023 sebagai “alat tawar-menawar”, sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia.

Pejabat hak asasi PBB menegaskan layanan terhadap tebusan berkenaan juga boleh dikategorikan sebagai jenayah perang. “Pasukan Israel, Hamas dan kumpulan bersenjata Palestin lain telah melakukan pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa di Gaza, serta pelanggaran dan penyalahgunaan hak asasi manusia yang berat, termasuk jenayah kekejaman,” menurut kesimpulan laporan tersebut.

Sementara itu, Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Encik Volker Turk, sebelum ini memberi amaran bahawa dunia sedang menyaksikan “langkah pantas untuk mengubah secara kekal demografi wilayah Palestin yang diduduki”.

Pada 17 Februari, Menteri Kewangan Israel berhaluan kanan, Encik Bezalel Smotrich, menyatakan hasrat untuk menggalakkan “penghijrahan” dari wilayah Palestin. Sehari kemudian, Timbalan Setiausaha Agung PBB, Cik Rosemary DiCarlo, memberitahu Majlis Keselamatan bahawa langkah Israel memperketat kawalan di kawasan Tebing Barat yang ditadbir Penguasa Palestin bersamaan dengan “pengilhakan de facto secara beransur-ansur”.

Laporan 19 Februari itu merumuskan bahawa amalan Israel menunjukkan usaha yang semakin tersusun dan dipercepatkan untuk mengukuhkan pengilhakan sebahagian besar wilayah Palestin yang diduduki serta menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.

Encik Turk menegaskan bahawa budaya kebal daripada hukuman memperburuk keadaan. “Kebal daripada hukuman bukan sesuatu yang abstrak – ia membunuh. Akauntabiliti adalah syarat utama bagi keamanan yang adil dan berkekalan di Palestin dan Israel,” katanya dalam satu kenyataan - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg