BRUSSELS: Menteri Luar Israel mengetepikan perbincangan mengenai huraian dua negara bagi konflik Israel-Palestin dalam pertemuan dengan rakan sejawat dari Kesatuan Eropah (EU) pada 22 Januari.
Encik Israel Katz, sebaliknya memilih untuk menayangkan kepada mereka video aspirasi projek infrastruktur masa depan Israel.
Beliau berada di Brussels untuk mesyuarat melibatkan perbincangan mengenai isu Timur Tengah.
Rundingan itu sebahagian besarnya tertumpu kepada akibat serangan kumpulan bersenjata Palestin Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel dan serangan balas Israel di Gaza.
Dalam mesyuarat itu, para menteri EU lebih berminat untuk menekankan gesaan mereka terhadap isu penubuhan negara Palestin bersama Israel sebagai sebahagian daripada penyelesaian damai jangka panjang yang komprehensif.
Tetapi, pemerintah Israel telah menolaknya bulat-bulat.
Dalam mesyuarat itu, Encik Katz menayangkan video tentang pulau buatan yang dibayangkan di luar pantai Gaza dan rangkaian kereta api yang menghubungkan Timur Tengah dengan India, kata ketua dasar luar EU, EncikJosep Borrell, dan diplomat EU yang lain.
Encik Borrell menjelaskan bahawa beliau tidak terpesona dengan video yang dilihatnya.
“Menteri Israel itu menunjukkan kepada kami beberapa video yang mempunyai sedikit atau tiada kaitan dengan isu yang kami bincangkan,” kata Encik Borrell kepada pemberita, sambil menambah bahawa beliau berpendapat Encik Katz sepatutnya menggunakan masanya dengan lebih baik dengan rakan-rakan EU-nya.
Diplomat berkata tayangan video itu mengejutkan orang lain di dalam bilik mesyuarat.
Menteri-menteri EU juga bertemu secara berasingan dengan rakan sejawatan mereka dari Arab Saudi, Mesir dan Jordan, serta dengan Menteri Luar Palestin, Encik Riyad al-Maliki, ketika mereka membincangkan kedua-dua krisis di Gaza dan Timur Tengah yang lebih luas.
Menjelang pertemuan itu, Encik Borrell menghantar kertas perbincangan kepada 27 negara anggota EU, mencadangkan peta jalan menuju keamanan dalam konflik Israel-Palestin yang lebih luas.
Di tengah-tengah rancangan itu ialah seruan untuk “persidangan persediaan keamanan” yang akan dianjurkan oleh EU, Mesir, Jordan, Arab Saudi dan Liga Negara Arab, dengan Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga dijemput untuk menjadi penyelenggara. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg