Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri Israel, Palestin hadiri mesyuarat pelan damai anjuran EU

Jan 22, 2024 | 2:24 PM
PELAN DAMAI: Menteri Luar Israel, Encik Israel Katz (kiri), dan Menteri Luar Palestin Palestin, Encik Riyad al-Maliki, dijangka mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Kesatuan Eropah (EU).
PELAN DAMAI: Menteri Luar Israel, Encik Israel Katz (kiri), dan Menteri Luar Palestin Palestin, Encik Riyad al-Maliki, dijangka mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Kesatuan Eropah (EU). - Foto REUTERS

BRUSSELS: Menteri-menteri luar Israel dan Palestin akan bertemu rakan sejawatan mereka dari Kesatuan Eropah (EU) pada 22 Januari.

Ini ketika EU mempertimbangkan langkah-langkah yang berpotensi ke arah mencapai keamanan menyeluruh antara kedua-dua pihak meskipun perang di Gaza masih berlanjutan.

Menteri Luar Israel, Encik Israel Katz, dan Menteri Luar Palestin, Encik Riyad al-Maliki akan mengambil bahagian secara berasingan dalam mesyuarat tetap menteri luar EU di Brussels yang sebahagian besarnya ditumpukan kepada isu Timur Tengah tetapi juga mengambil kira perang di Ukraine.

Menteri-menteri luar dari Arab Saudi, Mesir dan Jordan serta setiausaha agung Liga Negara-negara Arab juga akan hadir kerana perhimpunan itu memberi tumpuan kepada akibat serangan ke atas Israel oleh kumpulan militan Hamas dan tindak balas tentera Israel.

Perang meletus apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh sekitar 1,200 orang dan menahan 240 yang lain sebagai tebusan.

Tindak balas Israel menerusi pengeboman dan serangan darat telah membunuh lebih 25,000 rakyat Palestin.

Menjelang pertemuan itu, perkhidmatan diplomatik EU menghantar kertas perbincangan kepada 27 negara anggotanya, mencadangkan pelan menuju keamanan dalam konflik Israel-Palestin yang lebih luas.

Di tengah-tengah rancangan itu adalah seruan untuk “sidang persediaan keamanan” yang akan dianjurkan oleh EU, Mesir, Jordan, Arab Saudi dan Liga Arab, dengan Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga dijemput untuk menjadi penyelenggara perhimpunan.

Persidangan itu akan diteruskan, meskipun Israel atau Palestin enggan mengambil bahagian.

Tetapi kedua-dua pihak akan dirujuk pada setiap langkah rundingan kerana perwakilan berusaha untuk merangka pelan damai, cadang dokumen itu.

Dokumen dalaman itu – yang dilihat oleh pelbagai pertubuhan berita termasuk Reuters – menjelaskan bahawa satu matlamat utama rancangan damai adalah penubuhan negara Palestin yang merdeka, “hidup berdampingan dengan Israel dalam keadaan aman dan selamat”.

Pegawai EU mengakui bahawa pegawai dan diplomat Israel pada masa ini tidak menunjukkan minat dalam apa yang dipanggil penyelesaian dua negara, tetapi menegaskan ia adalah satu-satunya pilihan untuk keamanan jangka panjang.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 20 Januari selepas panggilan telefon dengan Presiden Amerika, Encik Joe Biden, berkata bahawa “Israel mesti mengekalkan kawalan keselamatan ke atas Gaza untuk memastikan Gaza tidak lagi menimbulkan ancaman kepada Israel.

Pendirian Israel itu bercanggah dengan tuntutan kedaulatan Palestin.

Kertas EU juga mencadangkan peserta persidangan damai harus menyatakan “akibat” untuk kedua-dua pihak, bergantung kepada sama ada mereka menerima atau menolak rancangan yang diluluskan oleh perhimpunan itu kelak.

Ia tidak menyatakan apa akibat yang dimaksudkan itu.

Blok itu merupakan penyedia utama bantuan ekonomi kepada rakyat Palestin dan mempunyai perjanjian kerjasama yang luas dengan Israel yang merangkumi kawasan perdagangan bebas.

Beberapa pegawai secara persendirian mencadangkan pengaturan terakhir itu boleh digunakan untuk mempengaruhi Israel.

Tetapi sama ada negara anggota EU akan meluluskan idea sedemikian adalah sangat terbuka untuk dipersoalkan, dengan Jerman, Austria, Republik Czech dan Hungary semuanya sekutu setia Israel. – Reuters​.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg