TOKYO: Menteri Pertanian Jepun Taku Eto telah meletak jawatan pada 21 Mei selepas kenyataan yang dibuatnya minggu ini mengenai beras mencetuskan kritikan pengundi dan penggubal undang-undang.
Tindakan beliau telah menimbulkan cabaran baru kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Encik Shigeru Ishiba.
Encik Ishiba berkata beliau masih belum memutuskan pengganti Encik Eto.
Namun, penyiar awam NHK dan media lain melaporkan bahawa Encik Ishiba akan melantik mantan Menteri Alam Sekitar Encik Shinjiro Koizumi untuk menggantikannya.
Encik Eto telah menerima kritikan hebat sejak laporan media mendedahkan komen yang dibuatnya dalam majlis kutipan dana politik parti pada hujung minggu bahawa beliau “tidak pernah perlu membeli beras” dan berterima kasih kepada hadiah daripada penyokong.
Komen itu membawa kepada kritikan bertalu-talu daripada pengundi yang sedia marah tentang harga makanan asas yang tinggi dalam sejarah.
Harga beras menjulang kerana hasil tuaian yang rendah dan tidak dapat memenuhi permintaan yang tinggi daripada industri pelancongan yang pesat.
“Saya membuat kenyataan yang amat tidak wajar pada masa rakyat mengalami kenaikan harga beras,” kata Encik Eto kepada pemberita selepas menyerahkan peletakan jawatannya di pejabat perdana menteri.
Kenaikan dua kali ganda harga beras sejak setahun lalu telah menjadi kebimbangan utama bagi pengundi Jepun, yang sudah lama terbiasa dengan deflasi bertahun-tahun dan menderita akibat gaji yang disesuaikan dengan inflasi yang rendah.
Namun, kerajaan Jepun telah mengambil langkah sejak Mac untuk mengawal harga dengan mengeluarkan beras daripada simpanan kecemasannya tetapi setakat ini tidak menampakkan hasil.
Encik Ishiba pada mulanya enggan memecatnya tetapi parti pembangkang telah sepakat mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap menteri pertanian itu.
“Saya memikul tanggungjawab penuh atas membuat pelantikan itu,” kata Encik Ishiba kepada pemberita selepas menerima peletakan jawatan Encik Eto.
Tinjauan pendapat Kyodo News pada Ahad menunjukkan sokongan terhadap Encik Ishiba pada rekod rendah 27.4 peratus dengan hampir sembilan daripada 10 pengundi tidak berpuas hati dengan tindak balas kerajaan terhadap kenaikan harga beras. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg