TOKYO: Sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, jatuh mendadak susulan pendedahan bahawa beliau mengedarkan baucar hadiah mewah kepada ahli parlimen baru dari Parti Demokratik Liberal (LDP).
Tindakan itu mencetuskan kritikan hebat dan memperbaharui semula perhatian terhadap budaya politik hadiah dan skandal rasuah yang membelenggu parti pemerintah.
Menurut tinjauan akhbar Asahi Shimbun, hanya 26 peratus responden menyokong kabinet Ishiba, merosot jauh daripada 40 peratus pada bulan Februari. Satu lagi tinjauan oleh Yomiuri Shimbun menunjukkan penurunan kepada 31 peratus, daripada 39 peratus bulan lalu — angka terendah sejak Encik Ishiba mula memegang jawatan pada Oktober.
Isu timbul selepas Encik Ishiba memberikan baucar bernilai 100,000 yen ($900) setiap satu kepada 15 ahli parlimen baharu LDP. Enci Ishiba mempertahankan tindakannya sebagai tidak menyalahi undang-undang kerana baucar tersebut dibayar menggunakan wang peribadinya dan bukan berbentuk sumbangan politik.
“Saya mohon maaf kerana telah menimbulkan keresahan dan kebimbangan kepada ramai pihak,” kata Encik Ishiba ketika menjawab soalan di parlimen pada 14 Mac lalu. Beliau menegaskan bahawa baucar itu hanyalah tanda penghargaan kepada keluarga wakil rakyat yang pertama kali dipilih dalam pilihan raya umum tahun lalu.
Pada 17 Mac, beliau sekali lagi memohon maaf dan mengakui terdapat “perbezaan antara tanggapan rakyat dan niat sebenar saya dalam memberikan baucar ini.”
Menurut tinjauan Asahi, 75 peratus rakyat Jepun menganggap tindakan itu bermasalah, manakala hanya 23 peratus tidak melihat sebarang isu. Tinjauan Yomiuri pula menunjukkan 75 peratus responden turut bersetuju baucar itu satu masalah.
Bagaimanapun, tinjauan juga menunjukkan bahawa sebahagian besar rakyat masih belum mahu Encik Ishiba berundur — 60 peratus mahu beliau kekal sebagai perdana menteri, manakala 32 peratus mahukan beliau meletak jawatan.
Sokongan yang semakin menurun ini menimbulkan spekulasi bahawa pihak dalaman LDP sendiri mungkin akan menekan Encik Ishiba untuk berundur sebelum pilihan raya Dewan Perwakilan Tinggi pada Julai nanti.
Pada Oktober lalu, Encik Ishiba mengadakan pilihan raya mengejut tetapi LDP dan rakan gabungannya, parti Komeito, kehilangan majoriti di Dewan Rendah — kekalahan terburuk dalam tempoh 15 tahun.
Kini, LDP terpaksa bergantung kepada sokongan pembangkang untuk meluluskan sebarang undang-undang di parlimen.
“Saya faham bahawa apa yang saya anggap sebagai tanda hormat, telah dianggap berbeza oleh rakyat. Saya akan lebih berhati-hati pada masa akan datang,” kata Encik Ishiba lagi. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg