JAKARTA: Menteri Kewangan Indonesia yang baharu, Encik Suahasil Nazara, berikrar memperkukuh kewibawaan Kementerian Kewangan dan memastikan belanjawan negara digunakan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, mengekalkan kestabilan serta memberi manfaat lebih besar kepada rakyat.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas Encik Suahasil mengangkat sumpah sebagai Menteri Kewangan yang baharu pada 14 September, menggantikan Encik Purbaya Yudhi Sadewa, dalam rombakan Kabinet mengejut oleh Presiden Prabowo Subianto.

Malah, Encik Purbaya masih menjalankan tugas rasmi sebagai Menteri Kewangan beberapa jam sebelum digantikan.

Menurut laporan Kompas, Encik Purbaya menghadiri mesyuarat kerja bersama anggota Dewan Perwakilan Daerah (DPD) di kompleks Parlimen di Jakarta pada sebelah siang, yang dijadualkan berlangsung sehingga 3 petang.

Tiada petanda ketika mesyuarat itu bahawa beliau bakal meninggalkan Kabinet.

Pada satu ketika, Encik Purbaya menerima panggilan telefon dan meninggalkan mesyuarat buat sementara.

“Helo, tuan. Saya masih di DPD,” beliau kedengaran berkata menerusi telefon bimbitnya.

Tidak lama kemudian, beliau meninggalkan kompleks Parlimen dan tidak kelihatan di Istana Negara apabila Encik Suahasil mengangkat sumpah sebagai penggantinya.

Encik Suahasil sendiri berkata beliau hanya dimaklumkan mengenai pelantikannya pada pagi hari yang sama.

“Saya dimaklumkan pagi tadi dan diminta membuat persiapan untuk pelantikan petang ini,” katanya.

Presiden Prabowo secara rasmi melantik Encik Suahasil menerusi keputusan presiden yang turut memberhentikan Encik Purbaya.

Encik Suahasil akan memegang jawatan itu bagi baki tempoh Kabinet 2024-2029.

Beliau menjadi Menteri Kewangan ketiga di bawah Presiden Prabowo dalam tempoh kurang dua tahun.

Pelantikannya juga dibuat sekitar enam minggu selepas satu lagi perubahan besar dalam kepimpinan ekonomi Indonesia apabila Gabenor Bank Indonesia, Encik Perry Warjiyo, secara mengejut meletak jawatan pada Julai.

Encik Suahasil, 55 tahun, yang menjadi Timbalan Menteri Kewangan sejak 2019, menerima sambutan mesra kakitangan apabila tiba di kementerian selepas upacara mengangkat sumpah.

“Kami akan memastikan belanjawan negara menggalakkan pertumbuhan, menstabilkan ekonomi dan memberi manfaat sebesar-besarnya kepada seluruh rakyat Indonesia,” katanya.

“Kami akan membina Kementerian Kewangan yang berwibawa, dipercayai dan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Indonesia.”

Beliau turut berjanji mengekalkan defisit belanjawan tahunan di bawah had 3 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), sambil terus menyokong program utama Presiden Prabowo.

Pelantikannya dijangka membantu meyakinkan pelabur selepas beberapa bulan timbul kebimbangan mengenai disiplin fiskal dan ketidaktentuan dasar bagi ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.

Encik Purbaya, yang menggantikan Cik Sri Mulyani Indrawati, pada September 2025, dikenali dengan pendekatan agresif untuk merangsang pertumbuhan serta gaya komunikasinya yang lantang.

Beliau pernah menyuruh pengkritiknya supaya “kembali ke sekolah” dan menyifatkan sebahagian daripada mereka sebagai “ahli ekonomi TikTok”.

Encik Purbaya juga berdepan bantahan pemimpin daerah berhubung pemotongan dana yang dipindahkan pemerintah pusat kepada daerah dan berselisih secara terbuka dengan Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung, mengenai rancangan menerbitkan bon Jakarta.

Satu lagi perbezaan pandangan timbul apabila Encik Purbaya berkata beliau akan meminta dana kekayaan negara, Danantara Indonesia, menyumbang dividen 120 trilion rupiah ($8.7 bilion) kepada belanjawan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Danantara, Encik Rosan Roeslani, kemudian berkata beliau tidak mengetahui mengenai permintaan tersebut.

Walaupun ekonomi Indonesia mencatat pertumbuhan tertinggi dalam tiga tahun ketika Encik Purbaya menjadi Menteri Kewangan, pemerintah turut berdepan defisit belanjawan yang besar, sementara Fitch dan Moody’s menurunkan prospek penarafan kredit Indonesia susulan kebimbangan mengenai dasar yang sukar diramal.

Zamil kanan tambahan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Encik Richard Borsuk, berkata pertukaran Menteri Kewangan itu merupakan langkah yang baik.

Menurutnya, pasaran dan agensi penarafan sudah mengenali Encik Suahasil, yang bekerja rapat dengan Cik Sri Mulyani selama bertahun-tahun.

Pakar Asean di firma Aletheia Capital, Encik Angus Mackintosh, berkata pelantikan itu dijangka mewujudkan dasar ekonomi Indonesia yang “lebih stabil dan boleh diramal” serta membantu meyakinkan pasaran bon dan saham.

Encik Suahasil memiliki ijazah kedoktoran dari Universiti Illinois Urbana-Champaign dan pernah terbabit dalam dasar pengagihan kuasa kewangan kepada pemerintah daerah, pengurangan kemiskinan serta percukaian.

Beliau juga mengetuai badan dasar fiskal Kementerian Kewangan antara 2016 dengan 2019. – Agensi berita.

Pakar dasar awam, Encik Achmad Nur Hidayat, bagaimanapun berkata Encik Suahasil perlu melakukan lebih daripada sekadar membawa kestabilan kepada kementerian.

Menurutnya, mutu dasar fiskal tidak boleh dinilai berdasarkan angka defisit semata-mata jika sasaran itu dicapai dengan mengurangkan dana kepada pemerintah daerah, memotong subsidi tanpa pertimbangan atau menambah beban kelas pertengahan.

Cabaran lain termasuk menentukan sama ada mahu meneruskan dasar Encik Purbaya menempatkan dana rizab pemerintah di bank perdagangan milik negara dan bukan di bank pusat.

Kenaikan harga minyak sejagat dan nilai rupiah yang menghampiri paras terendah berbanding dolar Amerika Syarikat juga boleh meningkatkan beban subsidi.

Penganalisis berkata cabaran utama Encik Suahasil kini ialah mengimbangi tuntutan Presiden Prabowo untuk mencapai pertumbuhan ekonomi lebih tinggi dengan keperluan memelihara disiplin fiskal dan mengembalikan keyakinan terhadap dasar ekonomi Indonesia. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti