Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrabowo ganti Menteri Kewangan Purbaya dalam rombakan Kabinet
Prabowo ganti Menteri Kewangan Purbaya dalam rombakan Kabinet
JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, telah menggantikan Menteri Kewangan, Encik Purbaya Yudhi Sadewa, dalam satu rombakan Kabinet yang sekian lama dinantikan.
Beliau menggantikan ahli ekonomi yang lantang berbicara itu dengan timbalannya, Encik Suahasil Nazara, hanya beberapa jam selepas pulang ke Indonesia daripada lawatan rasmi ke India.
Encik Suahasil, seorang mantan tokoh akademik dan birokrat veteran, pernah memimpin Badan Dasar Fiskal (BKF) Kementerian Kewangan dari 2016 hingga 2019 sebelum dilantik sebagai timbalan menteri kewangan, jawatan yang dipegangnya sejak pentadbiran terdahulu.
Pengunduran Encik Purbaya berlaku selepas berbulan-bulan spekulasi berhubung kedudukannya di tengah kebimbangan pelabur terhadap dasar fiskal Indonesia.
Ahli ekonomi tersebut, yang sebelum ini memimpin Lembaga Insurans Simpanan (LPS) Indonesia, mengambil alih jawatan daripada menteri kewangan yang telah lama berkhidmat, Cik Sri Mulyani Indrawati, pada September 2025.
Beliau memulakan tugas dengan janji untuk memacu pertumbuhan ekonomi, sambil menegaskan bahawa sasaran pertumbuhan tahunan 8 peratus yang ditetapkan Encik Prabowo mampu dicapai.
Namun, kadar pertumbuhan kekal pada sekitar 5 peratus sepanjang setahun beliau memegang jawatan, jauh daripada sasaran jangka panjang Encik Prabowo.
Encik Purbaya turut menarik perhatian ramai kerana gaya pertuturannya yang terus terang sehingga sering mencetuskan kontroversi.
Pada April lalu, beliau mencadangkan agar negara yang bersempadan dengan Selat Melaka mempertimbangkan untuk mengenakan bayaran kepada kapal yang menggunakan laluan laut tersibuk di dunia itu.
Kenyataan tersebut menarik perhatian seluruh rantau ini, lalu memaksa pemerintah Indonesia membuat penjelasan bahawa negara itu tidak mempunyai rancangan untuk mengenakan caj sedemikian dan kekal komited terhadap undang-undang laut antarabangsa.
Rombakan tersebut merupakan rombakan Kabinet kali kelima oleh Encik Prabowo sejak beliau memegang jawatan presiden pada Oktober 2024.
