Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenteri Kewangan Indonesia usul levi ke atas kapal melalui Selat Melaka
Menteri Kewangan Indonesia usul levi ke atas kapal melalui Selat Melaka
Menteri Kewangan Indonesia usul levi ke atas kapal melalui Selat Melaka
JAKARTA: Indonesia mencadangkan untuk mengenakan levi ke atas kapal yang melalui Selat Melaka sebagai usaha memanfaatkan kedudukan strategiknya dalam laluan perdagangan dan tenaga sejagat.
Menteri Kewangan Indonesia, Encik Purbaya Yudhi Sadewa, berkata cadangan itu selaras dengan arahan Presiden Prabowo Subianto agar negara itu tidak lagi melihat dirinya sebagai negara pinggiran, sebaliknya sebagai pemain utama dalam ekonomi sejagat.
“Seperti yang diarahkan Presiden, Indonesia bukan negara pinggiran. Kita berada di laluan perdagangan dan tenaga sejagat yang strategik, tetapi kapal melalui Selat Melaka tanpa dikenakan bayaran, saya tidak pasti sama ada itu wajar atau tidak,” katanya dalam satu simposium di Jakarta.
Selat Melaka merupakan antara laluan maritim paling sibuk di dunia, menghubungkan Lautan Hindi dan Pasifik serta digunakan secara meluas untuk perdagangan dan penghantaran tenaga.
Laluan itu dikongsi oleh Indonesia, Malaysia dan Singapura, dan setakat ini tidak dikenakan sebarang levi kepada kapal yang melaluinya.
Menurut Encik Purbaya, idea tersebut diilhamkan daripada cadangan Iran untuk mengenakan bayaran kepada kapal yang melalui Selat Hormuz, laluan penting yang mengendalikan kira-kira satu perempat perdagangan minyak laut dunia.
Beliau berkata pendekatan sama berpotensi menjana nilai ekonomi besar jika dilaksanakan secara bersama oleh ketiga-tiga negara yang berkongsi Selat Melaka.
“Iran kini merancang untuk mengenakan bayaran kepada kapal yang melalui Selat Hormuz. Jika kita bahagikan antara Indonesia, Malaysia dan Singapura, nilainya boleh menjadi besar. Kawasan kita adalah yang paling luas dan panjang,” katanya.
Namun, beliau mengakui pelaksanaan cadangan itu tidak mudah kerana memerlukan persetujuan bersama negara jiran.
“Dasar seperti ini tidak boleh diputuskan secara unilateral kerana melibatkan kepentingan rentas sempadan,” ujarnya.
Pemerintah Indonesia setakat ini melihat cadangan tersebut sebagai idea awal, dengan keperluan penyelarasan serantau serta kesan terhadap aliran perdagangan sejagat akan diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat.
Sementara itu, Singapura menegaskan bahawa laluan perkapalan di Selat Melaka dan Selat Singapura mesti kekal terbuka kepada semua pihak.
Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, berkata hak laluan transit adalah prinsip asas undang-undang antarabangsa.
“Hak laluan transit adalah terjamin untuk semua. Ia bukan keistimewaan yang perlu diberikan atau bayaran yang perlu dikenakan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Singapura tidak akan menyokong sebarang usaha untuk mengenakan tol atau menyekat laluan tersebut.
“Ketiga-tiga negara mempunyai kepentingan strategik untuk memastikan laluan ini kekal terbuka,” tambah Dr Balakrishnan.
Malaysia turut menyuarakan pendirian sama. Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, berkata negara itu komited untuk memastikan kebebasan pelayaran terus terpelihara.
“Kami komited kepada sistem berasaskan peraturan dan menghormati undang-undang antarabangsa,” katanya. – Agensi berita.
