SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

S’pura, Indonesia, dan M’sia perkukuh komitmen pastikan Selat Melaka, S’pura kekal selamat dan terbuka

S’pura, Indonesia, dan M’sia perkukuh komitmen pastikan Selat Melaka, S’pura kekal selamat dan terbuka

Apr 17, 2026 | 4:22 PM

S’pura, Indonesia, dan M’sia perkukuh komitmen pastikan Selat Melaka, S’pura kekal selamat dan terbuka

MPA, ANF, Singapura, Indonesia, Malaysia, Selat Melaka, Selat Singapura
Semasa Mesyuarat Jawatankuasa Dana Bantuan Pelayaran (ANF) ke-34, yang diadakan di sini dari 16 hingga 17 April, negara pesisir – Singapura, Indonesia, Malaysia – menegaskan semula komitmen bagi memastikan Selat Melaka dan Selat Singapura kekal terbuka dan selamat selaras dengan undang-undang antarabangsa, selain meneliti kemajuan projek sedia ada serta menetapkan keutamaan bagi tahun mendatang. - Foto LINKEDIN MPA

Singapura, Indonesia, dan Malaysia menegaskan semula komitmen mereka dalam memastikan Selat Melaka dan Selat Singapura (SOMS) kekal terbuka dan selamat, selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Ini dilaksanakan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Dana Bantuan Pengemudian (ANF) ke-34, yang diadakan di sini dari 16 hingga 17 April.

Dalam satu hantaran LinkedIn pada 17 April, Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) menitikberatkan peranan ANF dalam memperkukuh keselamatan pelayaran di SOMS.

“Sebagai antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia, keselamatan di SOMS bergantung kepada prasarana yang kukuh dan kerjasama antarabangsa berterusan.

“ANF memainkan peranan penting dengan menyokong kemudahan bantuan pelayaran yang penting serta memastikan piawaian keselamatan sentiasa seiring dengan keperluan maritim yang semakin berkembang,” kata MPA.

ANF merupakan salah satu daripada tiga tonggak di bawah Mekanisme Kerjasama yang ditubuhkan pada 2007 oleh tiga negara pesisir iaitu Indonesia, Malaysia, dan Singapura.

Ia dilaksanakan dengan sokongan Pertubuhan Maritim Antarabangsa bagi membolehkan kerjasama dengan negara pengguna serta pihak berkepentingan lain dalam memastikan pelayaran yang selamat dan terbuka di SOMS.

Dalam konteks lebih luas, Singapura merupakan salah sebuah negara yang menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos).

Unclos menyediakan rangka kerja undang-undang menyeluruh yang menjamin kebebasan pelayaran, menetapkan sempadan maritim yang jelas dan memastikan akses saksama kepada sumber marin.

Isu sedemikian menjadi semakin relevan menyusuli ketegangan di Timur Tengah, termasuk gangguan perkapalan berterusan di Selat Hormuz.

Selat Hormuz merupakan satu laluan perkapalan strategik bagi sekitar 20 peratus bekalan tenaga sejagat.

Selat itu kini terjejas akibat tindakan Iran sejak operasi ketenteraan Amerika Syarikat-Israel bermula dan menjadi tumpuan sekatan laut Washington.

Dalam usaha memberi tekanan pada Teheran, Washington telah melaksanakan sekatan laut terhadap Iran.

Komand Pusat Amerika (Centcom) pada 14 April, mendakwa tiada sebarang kapal berjaya melepasi sekatan laut Amerika terhadap Iran.

Berucap di Parlimen pada 7 April, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, menegaskan bahawa Singapura tidak akan, atas dasar prinsip, terlibat dalam rundingan dengan Iran untuk melalui Selat Hormuz.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Fadli Fawzi, tentang sama ada pemerintah sedang mendekati pihak berkuasa Iran untuk menjamin transit melalui Selat Hormuz untuk kapal berbendera Singapura – langkah serupa yang dilakukan negara lain seperti Malaysia – dan sama ada ia bersedia untuk membayar tol.

Dr Balakrishnan merujuk kepada Artikel 44 Unclos yang menetapkan kewajipan secara langsung dan jelas ke atas negara yang bersempadan dengan selat antarabangsa, yang menyatakan “negara-negara yang bersempadan dengan selat tidak boleh menghalang laluan transit” dan “tidak boleh ada penggantungan terhadap laluan transit”.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg