WASHINGTON: Diplomat tertinggi China, Encik Wang Yi, akan ke Amerika Syarikat hujung minggu ini, kata pegawai kanan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden pada Isnin.
Ia adalah lawatan yang dinanti-nantikan, dilakukan di tengah-tengah ketegangan yang sedang memuncak di Timur Tengah, dengan pegawai Amerika berharap Beijing dapat membantu meredakannya.
Kunjungan Encik Wang ke Washington dijadualkan dari 26 hingga 28 Oktober.
Beliau dijangka bertemu Setiausaha Negara, Encik Antony Blinken, dan Penasihat Keselamatan Negara Amerika, Encik Jake Sullivan, kata pegawai Amerika.
Mereka bagaimanapun enggan menyatakan sama ada Encik Wang akan bertemu Encik Biden.
Kunjungan itu akan disifatkan sebagai pelibatan secara peribadi peringkat tertinggi menjelang pertemuan yang dijangka antara Encik Biden dengan Presiden China, Encik Xi Jinping, di San Francisco, pada November.
Ia juga lawatan timbal balik yang lama ditunggu-tunggu, selepas beberapa pegawai tinggi Amerika, termasuk Encik Blinken, melawat Beijing pada musim panas lalu.
Keutamaan utama Washington adalah bagi memastikan persaingan sengit antara dua ekonomi terbesar dunia itu dan perselisihan pendapat mereka mengenai pelbagai isu, daripada perdagangan hingga Taiwan dan Laut China Selatan, tidak berubah menjadi konflik.
“Kami terus percaya diplomasi secara bersemuka secara langsung adalah cara terbaik untuk membangkitkan isu mencabar, menangani salah tanggapan dan salah komunikasi, selain meneroka kerja dengan China apabila kepentingan kami bersilang,” kata seorang pegawai yang memberi taklimat kepada media mengenai lawatan itu dengan syarat identitinya tidak didedah.
Lawatan itu dibuat ketika serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober dan tindak balas Israel mendominasi tajuk berita sejagat, walaupun perang Russia di Ukraine masih berterusan.
Washington menghantar bantuan ketenteraan ke Israel dan Ukraine.
Pada pihaknya, Beijing semakin rapat dengan Russia sejak perang Ukraine bermula dan telah menggesa gencatan senjata antara Israel dengan Hamas.
Perang Israel-Hamas dan perang di Ukraine, kedua-duanya akan dibincangkan, kata seorang lagi pegawai.
Beliau menambah bahawa Amerika akan “mendorong China supaya mengambil pendekatan lebih membina bagi kedua-duanya”.
Washington menaruh harapan tentang keupayaan China untuk mempengaruhi Iran.
Encik Blinken, semasa lawatan singkatnya minggu lalu ke Timur Tengah, membuat panggilan telefon kepada Encik Wang, memintanya menggunakan pengaruh Beijing di rantau itu untuk memastikan konflik tersebut tidak meluas.
China secara konsisten menggesa agar sekatan dan gencatan senjata dilaksana.
Beijing turut menyuarakan kritikannya yang tajam terhadap Israel.
Pertikaian wilayah di Laut China Selatan dan Timur juga akan menjadi agenda semasa lawatan Encik Wang, ujar pegawai Amerika.
Mereka berkata Washington amat bimbang mengenai “tindakan China yang tidak stabil dan berbahaya” di Laut China Selatan.
Filipina, sekutu Amerika, pada Isnin lalu menuduh kapal pengawal pantai China “sengaja” berlanggar dengan kapalnya dalam misi bekalan semula.
Ia kejadian paling serius di perairan sekitar beting Second Thomas yang dipertikai.
Menjalin semula hubungan ketenteraan dengan China kekal menjadi keutamaan Amerika, kata pegawai itu, sambil menambah bahawa ia bermakna komunikasi berterusan pada semua peringkat, dan kekurangan jelas ketiadaan Menteri Pertahanan China dalam lawatan itu kelak tidak akan menjadi halangan.
Menteri Pertahanan China, Encik Li Shangfu, tidak kelihatan di khalayak ramai hampir dua bulan, di tengah-tengah siasatan rasuah. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg