Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri Luar Iran umum pengayaan uranium dihentikan di semua lokasi

Nov 17, 2025 | 10:37 AM
Gambar edaran yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Tenaga Atom Iran (AEOI) menunjukkan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi (dua dari kanan), bersama Ketua AEOI, Mohammad Eslami (tengah), ketika melakukan lawatan ke Pertubuhan Tenaga Atom di Tehran, Iran, 10 November 2025.
Gambar edaran yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Tenaga Atom Iran (AEOI) menunjukkan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi (dua dari kanan), bersama Ketua AEOI, Mohammad Eslami (tengah), ketika melakukan lawatan ke Pertubuhan Tenaga Atom di Tehran, Iran, 10 November 2025. - Foto EPA

TEHRAN: Iran mengesahkan bahawa negara itu kini tidak lagi menjalankan sebarang aktiviti pengayaan uranium di mana-mana lokasi, satu langkah yang dilihat sebagai isyarat kepada Barat bahawa Tehran masih bersedia untuk kembali ke meja rundingan berhubung program nuklearnya.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, sebagai jawapan kepada soalan wartawan Associated Press (AP) yang melawat Tehran, sekali gus menjadi kenyataan paling jelas daripada pemerintah Iran sejak kemudahan nuklearnya dibom oleh Israel dan Amerika Syarikat pada Jun lalu dalam perang selama 12 hari.

“Tiada pengayaan nuklear yang tidak diisytiharkan berlaku di Iran. Semua kemudahan kami berada di bawah pemantauan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA),” kata Encik Araghchi. “Tiada aktiviti pengayaan pada waktu ini kerana kemudahan kami telah diserang.”

Menjawab soalan mengenai apakah syarat yang diperlukan untuk Iran meneruskan rundingan dengan Amerika Syarikat dan kuasa dunia lain, Encik Araghchi menegaskan bahawa pendirian Tehran tidak berubah.

“Hak Iran untuk pengayaan uranium bagi tujuan aman adalah hak yang tidak boleh dinafikan. Kami tidak akan sesekali melepaskan hak ini,” katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika laporan The Washington Post dan The New York Times mendakwa Iran sedang membina kemudahan pengayaan baru berhampiran Natanz- lokasi yang telah mengalami kerosakan besar akibat serangan udara Israel-Amerika.

Ketua Pertubuhan Tenaga Atom Iran, Encik Mohammad Eslami, yang turut hadir pada sidang itu, berkata Iran telah berulang kali menerima ancaman jika cuba memasuki tapak yang dibom.
“Setiap hari kami diberi amaran bahawa jika kami menyentuh apa-apa, kami akan diserang lagi,” katanya.

Imej satelit yang dianalisis AP menunjukkan tiada kerja pemulihan besar dilaksanakan di tapak Fordo, Isfahan atau Natanz selepas serangan Israel-Amerika pada Jun lalu.

Sebelum ini, Iran pernah memperkayakan uranium sehingga 60 peratus, hanya satu langkah teknikal sebelum mencapai tahap gred senjata, jauh lebih tinggi daripada had 3.67 peratus yang dibenarkan dalam perjanjian nuklear 2015 menerusi Pelan Tindakan Komprehensif Bersama ( (JCPOA).

Program nuklear Iran sebelum ini berada dalam kerangka JCPOA sehinggalah bekas Presiden Amerika Encik Donald Trump menarik Amerika keluar daripada perjanjian tersebut pada 2018, yang mendorong Tehran menghentikan kerjasama dengan IAEA.

Walaupun Eropah cuba mengekalkan perjanjian itu pada awalnya, negara-negara Eropah akhirnya mengambil tindakan “snapback” sekatan ke atas Iran pada September lalu. Melalui mekanisme ‘snapback’ ia membolehkan sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikenakan semula secara automatik jika Iran gagal mematuhi syarat perjanjian.

Lembaga Gabenor IAEA dijangka bermesyuarat minggu ini dan boleh mengundi resolusi baharu yang mengecam Iran kerana gagal memberikan kerjasama penuh.

Di sebalik tekanan tersebut, Encik Araghchi menuduh Amerika Syarikat tidak menunjukkan kesediaan untuk berunding secara adil. “Apa yang kami lihat daripada Amerika setakat ini hanyalah usaha untuk memaksa tuntutan yang berlebihan dan tidak realistik. Dalam keadaan sebegini, tiada ruang untuk dialog,” tegasnya.

Namun begitu, beliau masih membuka pintu kepada rundingan jika Washington mengubah pendekatannya.

Sidang tiga hari itu dianjurkan oleh Institut Pengajian Politik dan Antarabangsa, sebuah badan yang rapat dengan Kementerian Luar Iran. Bertemakan “Undang-undang Antarabangsa Diserang: Pencerobohan dan Pertahanan Diri”, ia menampilkan pembentangan daripada sarjana politik Iran yang menekankan naratif Tehran mengenai perang 12 hari antara Iran dan Israel pada Jun lalu.

Seorang pakar hubungan antarabangsa, Profesor Mohammad Kazem Sajjadpour, menulis dalam kertas kerjanya: “Tindak balas pertahanan Iran adalah luar biasa, penuh inspirasi dan bersejarah. Bagaimana mungkin kita menyamakan tindakan kotor Israel dengan tindak balas suci rakyat Iran?”

Koridor pameran sidang itu turut dihiasi imej kanak-kanak Palestin yang terbunuh dalam perang tersebut satu simbol visual yang cuba menggambarkan legitimasi tindakan balas Iran.

Walaupun pemimpin Iran menegaskan kekuatan moral dan ketahanan negara, hakikatnya selepas serangan Jun itu, sistem pertahanan udara Iran mengalami kerosakan besar. Pemerhati antarabangsa berpendapat keadaan ini membuka ruang kepada potensi serangan susulan, terutama ketika ketegangan nuklear memuncak.

Pada masa sama, Iran berdepan tekanan dalaman ekonomi yang bergolak, inflasi tinggi, dan ketidakpuasan sosial mengenai dasar hijab serta subsidi petrol, yang sebelum ini mencetuskan protes besar seluruh negara. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg