Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin Iran anggap isu AS ‘tidak dapat diselesaikan’ di tengah kebuntuan nuklear

Sep 1, 2025 | 5:30 AM
Iran, AS, isu nuklear
Pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei berkata Teheran tidak akan tunduk pada tekanan untuk mematuhi Washington, di tengah-tengah perselisihan dengan kuasa Barat berhubung program nuklearnya. - Foto EPA

DUBAI: Pemimpin tertinggi Iran berkata keadaan semasa dengan Amerika Syarikat “tidak dapat diselesaikan”, dan Teheran tidak akan tunduk pada tekanan untuk mematuhi Washington, di tengah-tengah perselisihan dengan kuasa Barat berhubung program nuklearnya.

Republik Islam itu menggantung rundingan nuklear dengan Amerika, selepas Amerika dan Israel mengebom tapak nuklearnya semasa perang 12 hari pada Jun lalu.

Ulasan Ayatollah Ali Khamenei, yang disampaikan di sebuah masjid dan diterbitkan di laman web pemerintah, dibuat selepas Iran dan kuasa Eropah bersetuju pada 22 Ogos untuk menyambung semula rundingan dalam perbincangan penuh bagi mengekang langkah pengayaan nuklear Teheran.

“Mereka mahu Iran tunduk kepada Amerika. Negara Iran akan berdiri dengan segala kuasanya menentang mereka yang mempunyai salah jangkaan,” kata Ayatollah Khamenei.

“Orang yang meminta kami untuk tidak mengeluarkan slogan terhadap Amerika... untuk mengadakan rundingan terus dengan Amerika hanya melihat penampilan (luaran)... isu ini tidak dapat diselesaikan,” tambahnya.

Perancis, Britain dan Jerman berkata mereka boleh mengaktifkan semula sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Iran di bawah satu mekanisme jika Teheran tidak kembali ke meja rundingan.

Negara Eropah, bersama-sama Amerika, mendakwa Iran sedang berusaha ke arah membangunkan senjata nuklear.

Iran berkata ia hanya berminat membangunkan kuasa nuklear untuk pembangunannya.

Bagi Ayatollah Khamenei, Iran telah muncul lebih kuat menyusuli Perang 12 hari dengan Israel pada Jun lalu – konfrontasi langsung paling sengit dalam sejarahnya dengan musuh ketat Israel dan Amerika.

“Negara Iran, dengan berdiri teguh bersama angkatan bersenjata, pemerintah dan sistem, memberikan tamparan hebat kepada musuh-musuhnya,” katanya.

Ayatollah Khamenei, yang mempunyai kata putus mengenai hal ehwal negara, juga memberi amaran berkaitan perpecahan dalaman yang beliau dakwa dicetuskan kuasa asing.

“Jalan ke hadapan bagi musuh ialah mewujudkan perselisihan di Iran,” katanya, sambil menyalahkan “ejen Amerika dan Israel” kerana berusaha untuk menyemai perpecahan.

“Hari ini, syukur kepada Tuhan, negara (kita) bersatu. Terdapat perbezaan pendapat, tetapi apabila ia berkaitan dengan mempertahankan sistem, mempertahankan negara, dan menentang musuh, rakyat kita bersatu,” kata Ayatollah Khamenei.

Dari segi sejarah hubungan Teheran-Washington, hubungan dua negara itu terputus selepas revolusi Islam 1979 dan krisis tebusan berikutnya di kedutaan Amerika di Teheran.

Washington sejak itu telah mengenakan siri sekatan berturut-turut ke atas Teheran, yang terkini berhubung program nuklearnya.

Perang Jun lalu meletus sedang Teheran dan Washington sepatutnya mengadakan rundingan pusingan keenam mereka mengenai program nuklear Iran, tetapi rundingan yang bermula beberapa minggu sebelumnya telah tergelincir ekoran konflik tersebut.

Sementara itu, Iran pada 21 Ogos melancarkan latihan ketenteraan solo pertamanya sejak perang Jun dengan Israel, dalam langkah untuk menegaskan semula imej kekuatannya selepas mengalami kerosakan besar dalam perang tersebut.

Dalam latihan itu, tentera laut melepaskan peluru berpandu dan dron ke sasaran perairan terbuka di Lautan Hindi di bawah latihan, Sustainable Power 1404, lapor televisyen negara itu.

“Latihan ini berlaku sekitar sebulan selepas latihan Iran-Russia di bawah nama Casarex 2025, yang berlaku di perairan utara Iran (Laut Caspian). Latihan Sustainable Power... berlaku di perairan selatan Iran,” kata televisyen negara.

Israel menyerang Iran dalam perang udara selama 12 hari, yang disertai oleh Amerika kemudian, menggempur tempat nuklear utama serta membunuh beberapa komander tentera tertinggi dan saintis nuklear Iran.

Israel sebahagian besarnya memusnahkan pertahanan udara Iran semasa perang, dan kebanyakan simpanan senjata balistiknya dipercayai telah rosak akibat serangan Israel.

Sejak itu, Iran berkata ia bersedia untuk menentang sebarang serangan pada masa hadapan.

“Sebarang langkah provokatif baru oleh musuh akan berhadapan dengan tamparan kuat,” kata Kementerian Pertahanan Iran dalam satu kenyataan.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, telah mengancam untuk menyerang Iran sekali lagi jika ia menghidupkan semula kemudahan nuklear, termasuk loji pengayaan uranium.

Teheran menangguhkan rundingan dengan Washington yang mahu mengekang cita-cita nuklear Iran selepas serangan udara Israel dan Amerika.

Iran menafikan sebarang niat untuk membangunkan bom atom.

Iran percaya masa untuk rundingan nuklear yang berkesan dengan Amerika belum tiba, kata diplomat tertingginya pada 20 Ogos, walaupun Teheran tidak akan memutuskan sepenuhnya kerjasama dengan badan pemerhati nuklear PBB. – Reuters, AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg