SHAH ALAM: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Encik Fahmi Fadzil, menyangkal laporan media tempatan mengenai jangkaan kenaikan harga barangan pengguna pada Ogos.
Menteri Komunikasi dan Digital itu berkata kadar inflasi negara menunjukkan trend menurun, sambil menambah bahawa beberapa petunjuk ekonomi 2023 menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding 2022.
“Saya melihat laporan daripada beberapa media hari ini yang menyatakan harga barang akan meningkat sebanyak 20 peratus bulan depan (Ogos). Bagaimana mereka meramalkan itu, siapa yang mereka rujuk? Adakah mereka Nujum Pak Belalang yang tahu harga akan naik pada Ogos?” tanya Encik Fahmi.
Beliau berkata demikian di majlis pelancaran bilik gerakan utama PKR dan jentera pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga, pada Ahad.
Encik Fahmi menjelaskan bahawa usaha yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan berjaya menurunkan kadar inflasi yang dikaitkan dengan kenaikan harga barang daripada 3.3 peratus pada April kepada 2.8 peratus pada Mei.
“Kedua, suku pertama tahun ini menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan sebanyak 5.6 peratus dan kadar ini adalah lebih rancak berbanding kadar di China, Singapura dan Indonesia,” tambah beliau.
Menurutnya, dalam tempoh tiga bulan pertama 2023, berikutan kestabilan politik, Malaysia mencatatkan sekitar RM71 bilion ($20.8 bilion) pelaburan asing, lebih tinggi daripada RM44 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2022 dan pelaburan itu dijangka meningkat termasuk pelaburan besar daripada kerajaan Arab Saudi.
Justeru, katanya, jentera PH dan Barisan Nasional (BN) harus bekerja keras untuk menyampaikan kepada rakyat usaha dan pencapaian kerajaan dalam membangunkan ekonomi negara. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg