KAHIRAH: Kejatuhan Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, dan kebangkitan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) sebagai kuasa baru di Syria telah mencetuskan kebimbangan besar di Mesir.
Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, yang selama ini berusaha menekan pengaruh politik Islam, kini memandang perubahan di Syria dengan penuh keraguan dan berhati-hati.
Encik Sisi telah berulang kali menekankan perbezaan dirinya dengan Encik Assad, seperti yang dinyatakannya dalam pertemuan dengan wartawan pada 15 Disember dan ketika berucap kepada ribuan penganut Kristian Koptik pada 7 Januari.
Beliau menegaskan bahawa “tangan saya tidak berlumuran darah sesiapa dan saya tidak mencuri wang rakyat,” sambil menjarakkan dirinya daripada diktator Syria yang tersingkir itu.
Namun, pendekatan berhati-hati Mesir terhadap perubahan di Syria bukan sekadar berkisar tentang imej peribadi Encik Sisi.
Kebimbangan itu meliputi ancaman kebangkitan semula politik Islamik, potensi ketidakstabilan serantau dan implikasi strategik terhadap keseimbangan kuasa di Timur Tengah.
Kejatuhan Encik Assad dan kebangkitan HTS dianggap sebagai ancaman langsung kepada usaha Mesir dalam menekan politik Islam, terutama selepas penggulingan Presiden Mohamed Mursi pada 2013.
Tindakan pantas pemerintah Mesir menghalau keluar warga Syria yang terlibat dalam perhimpunan meraikan kejatuhan Encik Assad di Kahirah memberikan isyarat jelas tentang sensitiviti situasi itu.
Walaupun pemerintah Mesir membenarkan warganya untuk berhimpun, penglibatan warga Syria dilihat sebagai ancaman kepada kestabilan dalaman negara.
Warga Syria di Mesir terdiri daripada dua kumpulan utama: mereka yang telah lama menetap di sana dan golongan pelarian akibat perang saudara.
Namun, pemerintah Mesir tetap memandang curiga sebarang aktiviti politik melibatkan mereka.
Langkah itu mencerminkan kebimbangan Mesir terhadap potensi pengaruh domino kejatuhanEncik Assad terhadap rakyat Mesir sendiri.
Presiden Sisi mungkin melihat kejadian ini sebagai ancaman kepada pemerintahannya, terutamanya dengan sejarah Mesir yang pernah melalui kebangkitan rakyat pada 2011.
“Kebangkitan ideologi ini di Syria membimbangkan Mesir, yang takut kepada kemungkinan Islamis kembali, bukan sahaja di sini, malah di negara serantau lain,” kata pakar politik, Encik Ibrahim Rabie.
Sejak Encik Mursi digulingkan, Mesir telah melancarkan kempen besar-besaran untuk menghapuskan pengaruh Ikhwanul Muslimin, termasuk mengisytiharkan kumpulan itu sebagai organisasi pengganas pada akhir 2013.
Kebangkitan HTS di Syria memberi isyarat bahawa ideologi politik Islam masih hidup, yang berpotensi memberi kesan domino di rantau ini.
“Mesir menghormati kehendak rakyat Syria tetapi akan berhati-hati dalam berurusan dengan pentadbiran baru di Syria untuk suatu tempoh,” tambah Encik Rabie.
Meskipun perang 13 tahun di Syria telah berakhir, potensi ketidakstabilan baru tidak dapat dielakkan.
Kejatuhan Encik Assad membuka peluang kepada kumpulan militan seperti ISIS untuk memanfaatkan kekosongan kuasa.
Mesir, yang telah bertahun-tahun berperang menentang ISIS di Semenanjung Sinai, sangat bimbang tentang kemungkinan kebangkitan semula kumpulan itu.
“Mesir bimbang pengganas ISIS akan menyusup kembali ke Sinai dengan bantuan pihak serantau dan antarabangsa,” kata pakar keselamatan, Encik Fouad Allam.
Operasi antipengganasan di Sinai telah menelan kos yang tinggi, dengan Presiden Sisi mendedahkan pada 2023 bahawa kos bulanan mencapai satu bilion paun Mesir ($27 juta).
Kebimbangan ini telah mendorong Mesir untuk memperketatkan kawalan ke atas kemasukan rakyat Syria sejak kejatuhan Encik Assad, termasuk memperkenalkan sekatan ke atas warga Syria dari Amerika, Canada dan Eropah.
Dari sudut geostrategik, kejatuhan Encik Assad dan kemusnahan tentera Syria telah mengganggu keseimbangan kuasa serantau, terutama dalam menghadapi Israel.
Tentera Syria, yang selama ini menjadi elemen penting dalam keseimbangan kuasa serantau, kini musnah akibat perang yang panjang dan serangan udara Israel.
“Kemusnahan tentera Syria adalah bencana dari semua sudut,” kata Encik Hamdi Bekheit, bekas jeneral tentera Mesir.
“Ia akan mengambil masa puluhan tahun dan berbilion dolar untuk membina semula tentera ini, dengan syarat Israel membenarkannya.”
Israel bukan sahaja menyerang infrastruktur tentera Syria tetapi juga telah menduduki kawasan strategik seperti Bukit Hermon dan zon penampan di Bukit Golan yang diduduki.
Dalam peperangan sebelumnya dengan Israel, Mesir sering bergantung kepada sokongan tentera Syria.
Pada 1973, Mesir melancarkan serangan untuk membebaskan Sinai, sementara Syria berusaha menguasai semula Bukit Golan.
Beberapa mantan pegawai tentera Mesir menyuarakan rasa terkejut mereka terhadap kemusnahan tentera Syria dan pendudukan wilayah baru oleh Israel.
“Pendudukan Bukit Hermon adalah bencana terbesar yang menimpa Syria dalam tempoh 50 tahun terakhir,” kata Encik Samir Farag, mantan pegawai Operasi Ketenteraan Mesir semasa perang 1973.
Mesir telah mengambil langkah berhati-hati dalam berurusan dengan pentadbiran baru di Syria.
Menteri Luar Mesir hanya menghubungi rakan sejawatnya dari Syria hampir tiga minggu selepas kejatuhan Assad.
Dalam panggilan itu, Menteri Luar Encik Badr Abdelatty menekankan kepentingan mengekalkan institusi nasional Syria dan memastikan pendekatan inklusif dalam proses politik.
Namun, kebimbangan Mesir terhadap kebangkitan politik Islam politik, ketidakstabilan serantau dan perubahan keseimbangan kuasa menunjukkan bahawa hubungan dengan Syria di bawah pentadbiran baru akan kekal kompleks.
Bagi Mesir, kejatuhan Encik Assad bukan sahaja mengubah landskap politik Syria tetapi juga membawa cabaran besar dari sudut ideologi, keselamatan, dan geostrategik.
Walaupun Mesir mungkin menghormati kehendak rakyat Syria, ia akan terus memandang perubahan ini dengan berhati-hati.
Seperti yang dinyatakan oleh Encik Sisi: “Kestabilan adalah keutamaan, bukan sahaja untuk Mesir tetapi juga untuk seluruh rantau ini.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg