Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mesir batalkan undi Parlimen di suku kawasan pilihan raya

Nov 19, 2025 | 4:54 PM
abdel fattah al-sisi
Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, menggesa Pihak Berkuasa Pilihan Raya Kebangsaan supaya “meneliti semua insiden dan rayuan”. - Foto REUTERS

KAHIRAH: Mesir membatalkan pusingan pertama undian parlimen di lebih suku kawasan pilihan raya 18 November akibat berlakunya pelanggaran paling ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pilihan raya dibuka minggu lalu untuk pusingan pertama daripada dua pusingan untuk memilih parlimen terakhir penggal ketiga Presiden Abdel Fattah al-Sisi, yang dibenarkan di bawah perlembagaan semasa.

Di bawah sistem hibrid, kerusi dibahagikan antara calon individu dengan senarai calon tertutup yang telah ditetapkan.

Pihak Berkuasa Pilihan Raya Kebangsaan (NEA) berkata bahawa undi akan dibatalkan di 19 daripada 70 kawasan pilihan raya melibatkan calon individu yang bertanding dalam pusingan pertama, selepas rayuan diterima dan “pelanggaran” didokumenkan.

Dalam sidang akhbar, ketua NEA, Encik Hazem Badawi, menyenaraikan pelanggaran termasuk iklan pilihan raya yang diletakkan di hadapan pusat mengundi, kegagalan memberikan salinan kiraan undi kepada calon atau wakil mereka, dan ketidakpadanan antara kiraan jawatankuasa yang berbeza.

Pada 17 November, Encik Sisi menggesa NEA supaya “meneliti semua insiden dan rayuan” dan membuat apa sahaja keputusan yang diperlukan, termasuk ulangan pilihan raya, bagi melindungi ketelusan dan memastikan Parlimen baru mencerminkan “kehendak tulen rakyat Mesir”.

Encik Badawi juga mengesahkan bahawa senarai kebangsaan telah melepasi ambang yang diperlukan iaitu lima peratus pengundi berdaftar untuk menduduki kerusi di kawasan pada pusingan pertama pilihan raya.

Senarai itu, yang didominasi oleh parti propemerintah, adalah satu-satunya yang layak untuk undian pada 2025, yang secara berkesan menjamin banyak kerusi untuk calon.

Jumlah keluar mengundi dalam pusingan pertama pilihan raya adalah sekitar 23 peratus, kata NEA.

Fasa pusingan kedua dan terakhir dijadualkan berlangsung minggu depan.

Pada 4 Ogos lalu, rakyat Mesir keluar mengundi dalam pilihan raya untuk Senat, dewan atasan Parlimen, dengan lebih 69 juta rakyat layak membuang undi dalam tempoh dua hari.

Mereka berbondong-bondong keluar mengundi di lebih 8,000 stesen di seluruh negara, menurut agensi berita, Mena.

Pihak berkuasa kehakiman sedang mengawasi proses itu bagi memastikan ia berjalan lancar.

Seramai 424 calon bertanding untuk 100 kerusi di bawah sistem pencalonan, termasuk 183 calon bebas dan 241 calon parti. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg