KAHIRAH: Selepas lebih dua dekad menanti, Muzium Agung Mesir (GEM) yang terletak berhampiran piramid Giza akhirnya berdiri megah dan dirasmikan dalam satu majlis penuh gemilang, menandakan permulaan era baru bagi pelancongan dan warisan budaya Mesir.
Majlis perasmian yang diadakan pada 1 November itu dihadiri oleh lebih 70 pemimpin dunia, termasuk Presiden Jerman, Encik Frank-Walter Steinmeier; Perdana Menteri Belanda, Encik Dick Schoof; Perdana Menteri Hungary, Encik Viktor Orban; Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas; dan Putera Mahkota Oman Theyazin bin Haitham, serta Putera Mahkota Bahrain Salman bin Hamad Al Khalifa.
Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah el-Sisi, dalam ucapannya menggambarkan muzium tersebut sebagai “wadah untuk kemanusiaan dan mercu ilmu pengetahuan,” serta menyeru agar ia menjadi simbol dialog budaya dan perdamaian sejagat.
“Dengan pembukaan muzium ini, Mesir menulis bab baru dalam kisah masa kini dan masa depan tamadun purbanya,” katanya di hadapan ribuan tetamu.
Perasmian GEM diserikan dengan persembahan dramatik yang memukau, menampilkan alunan muzik orkestra, tarian berlatarkan era Firaun, lakonan teater bersejarah, serta pancaran cahaya laser dan bunga api yang menerangi langit Kahirah.
Ratusan dron membentuk imej dewa-dewi Mesir purba seperti Isis, Osiris, dan Tutankhamun di langit malam.
Presiden el-Sisi dan para tetamu menyaksikan tayangan skrin gergasi yang memaparkan keindahan tapak budaya Mesir diiringi lagu dan persembahan artis pop tempatan.
Muzium yang terletak hanya dua kilometer dari Piramid dan Sphinx itu menempatkan lebih 100,000 artifak purba, menjadikannya muzium terbesar di dunia yang dikhususkan kepada satu peradaban.
Antara tarikan utamanya ialah koleksi penuh khazanah makam Firaun Tutankhamun, yang merangkumi 5,992 artifak termasuk topeng emas ikonik, keranda berlapis emas, kereta kuda diraja dan perhiasan istana.
Sebahagian besar khazanah ini dipamerkan kepada umum buat kali pertama sejak penemuan makam Tutankhamun pada tahun 1922.
Selain itu, patung Ramses II setinggi 12 meter yang dahulunya berdiri di Dataran Ramses, kini menghiasi dewan masuk utama muzium sebagai lambang kesinambungan antara masa silam dan masa kini Mesir.
Perdana Menteri Mesir, Encik Mostafa Madbouly, menyifatkan muzium itu sebagai “hadiah Mesir kepada dunia” dan bukti sejarah negara yang menjangkau lebih 7,000 tahun.
“Kita semua pernah bermimpi projek ini akan menjadi kenyataan dan hari ini, impian itu hidup,” katanya dalam sidang media.
Dengan kos pembinaan mencecah AS$3 bilion ($3.91 bilion), projek itu pernah tergendala akibat revolusi 2011 dan rampasan kuasa pada 2013.
Namun kini, pemerintah Mesir menjadikannya tonggak utama dalam usaha merancakkan semula industri pelancongan yang semakin pulih selepas bertahun-tahun ketidakstabilan politik.
Menurut data rasmi, Mesir mencatat 15.7 juta pelancong pada 2024, peningkatan lima peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan hasil pelancongan mencecah AS$15.3 bilion.
Pemerintah menyasarkan untuk menarik 18 juta pelancong pada 2025 dan 30 juta menjelang 2030.
Menteri Pelancongan dan Antikuiti Mesir, Encik Sherif Fathy, berkata muzium itu dijangka menerima sehingga 15,000 pelawat setiap hari, bersamaan kira-kira lima juta setahun.
“GEM bukan sekadar muzium – ia adalah pemacu pertumbuhan baharu sektor pelancongan Mesir,” katanya.
Ketua Jawatankuasa Pemasaran Pelancongan Budaya Mesir Hulu, Encik Mohamed Othman, berkata pembukaan GEM bukan sahaja kejayaan budaya tetapi juga lonjakan ekonomi.
“Buat pertama kali, pengusaha pelancongan membina pakej lawatan seminggu khusus untuk muzium ini. Ia bukti betapa besar kesannya terhadap sektor pelancongan,” ujarnya.
Menurutnya, muzium itu telah mencipta puluhan ribu peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung di Giza, serta menggalakkan pelancong melanjutkan perjalanan ke Luxor dan Aswan – dua wilayah penting dalam sejarah penemuan artifak Mesir.
Menurutnya GEM memberikan Mesir “keunggulan kompetitif yang tidak ternilai dalam pelancongan dunia.”
Katanya, hasil tiket, perkhidmatan dan pelancongan budaya dijangka membawa masuk mata wang asing yang signifikan, setanding dengan peranan ekonomi Terusan Suez.
“Kedudukannya berhampiran Piramid, ditambah dengan lebuh raya, lapangan terbang dan hotel baharu, menjadikan pengalaman pelancong lebih mudah dan selesa,” jelasnya. – Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg