SYDNEY: Australia melaksanakan langkah tegas pertama di dunia untuk mengehadkan penggunaan media sosial dalam kalangan remaja bawah 16 tahun, apabila syarikat-syarikat gergasi teknologi mula mengunci ratusan ribu akaun menjelang tarikh kuat kuasa undang-undang pada 10 Disember.
Pesuruhjaya eKeselamatan Australia, Cik Julie Inman Grant, berkata pada mulanya beliau bimbang dengan pendekatan “keras” yang memaksa semua pengguna bawah 16 tahun disekat terus daripada platform. Namun, selepas melihat kegagalan peraturan kecil yang diperkenalkan sebelum ini, beliau kini menyokong tindakan tersebut.
“Kita sudah sampai ke titik genting,” katanya pada Sidang Kemuncak Siber Dialog Sydney pada 4 Disember. “Data kita adalah mata wang yang menggerakkan syarikat-syarikat ini. Mereka menggunakan ciri reka bentuk yang berbahaya dan sukar dilawan walaupun oleh orang dewasa. Apa peluang yang anak-anak kita ada?”
Australia kini menjadi perhatian dunia, dengan banyak pemerintah menunggu untuk melihat keberkesanan larangan ini.
“Saya selalu menyebutnya sebagai domino pertama sebab itu platform-platform ini begitu kuat melawan,” kata Pesuruhjaya e-Keselamatan Australia, Cik Julie Inman Grant.
Meta pemilik Instagram, Facebook dan Threads telah mula menyekat akaun remaja bawah 16 tahun sejak 4 Disember.
Tangkap layar yang diperoleh Reuters menunjukkan mesej pemberitahuan kepada pengguna bahawa akaun mereka akan dikunci.
Kira-kira 150,000 akaun Facebook dan 350,000 akaun Instagram dijangka terjejas. Threads, yang hanya boleh digunakan melalui akaun Instagram, turut termasuk dalam larangan.
Platform lain seperti TikTok, Snapchat dan YouTube telah menghubungi pengguna bawah umur untuk meminta mereka memuat turun gambar atau data sebelum akaun dipadam atau dibekukan sehingga mereka mencapai umur 16 tahun.
Bagi ibu bapa, langkah ini memberi sedikit kelegaan. “Ini sesuatu yang baik. Tekanan ke atas ibu bapa sangat besar kerana media sosial memberi banyak kesan kepada kesihatan mental,” kata Cik Jennifer Jennison, seorang ibu di Sydney. “Biarlah anak-anak berehat selepas sekolah tanpa gangguan media sosial.”
Cik Inman Grant turut mendedahkan bahawa syarikat teknologi gergasi melobi pemerintah Amerika Syarikat untuk campur tangan, dan Kongres Amerika telah meminta beliau memberi keterangan mengenai undang-undang baru Australia itu.
Meta berkata pihaknya akan mematuhi undang-undang tersebut, tetapi menggesa kerajaan Australia agar memindahkan proses pengesahan umur ke peringkat gedung aplikasi seperti App Store dan Google Play.
“Pendekatan yang lebih berkesan dan menjaga privasi diperlukan,” kata jurucakap Meta.
Meta turut menawarkan cara untuk remaja yang tersilap dikategorikan sebagai bawah 16 tahun untuk membuat rayuan melalui video swafoto atau dokumen pengenalan diri.
Walaupun pemerintah menganggap larangan ini penting demi keselamatan generasi muda, pengkritik bimbang ia akan menolak remaja ke platform gelap yang kurang dikawal selia.
Namun Menteri Komunikasi, Cik Anika Wells, menegaskan bahawa undang-undang ini melindungi Generasi Alpha daripada algoritma yang “memerangkap”.
“Dengan satu undang-undang, kita boleh melindungi generasi baru daripada algoritma pemangsa,” katanya. Beliau menggambarkan media sosial sebagai “titisan dopamine” yang mempengaruhi anak-anak sejak mereka mendapat telefon pintar.
Kerajaan kini memantau aplikasi baru seperti Lemon8 dan Yope sekiranya remaja berpindah ke platform tersebut.
Yope menafikan ia perlu menyertai larangan tersebut kerana platform itu berfungsi sebagai aplikasi pesanan peribadi sepenuhnya. “Yope adalah seperti WhatsApp tiada kandungan umum,” kata Ketua Eksekutifnya, Encik Bahram Ismailau.
Lemon8 pula dilaporkan bersetuju mengecualikan pengguna bawah 16 tahun walaupun tidak disebut dalam undang-undang.
YouTube, yang pada mulanya dikecualikan tetapi akhirnya turut terikat dengan larangan itu, menyifatkan undang-undang berkenaan sebagai “tergesa-gesa”.
Platform itu berhujah bahawa apabila akaun remaja dipadamkan, mereka sebenarnya kehilangan beberapa ciri keselamatan penting yang disediakan untuk melindungi pengguna muda.
Kajian kerajaan Australia mendapati bahawa 96 peratus kanak-kanak berumur 10 hingga 15 tahun sudah menggunakan media sosial, dan sebanyak 70 peratus daripada mereka pernah terdedah kepada kandungan berbahaya termasuk kebencian terhadap wanita, keganasan, gangguan makan dan kandungan berkaitan bunuh diri.
Kajian sama menunjukkan satu daripada tujuh kanak-kanak pernah mengalami cubaan pemangsaan seksual dalam talian, manakala lebih separuh menjadi mangsa buli siber. “Hakikat ini tidak boleh diabaikan lagi,” tegas Cik Inman Grant. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg