KUALA LUMPUR: Kanak-kanak Malaysia berusia 16 tahun ke bawah tidak akan dibenarkan mendaftar akaun media sosial mulai 2026, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Datuk Fahmi berkata larangan ke atas golongan berusia bawah 16 tahun membuka akaun media sosial itu bagi mengekang jenayah siber rentas usia termasuk melindungi kanak-kanak daripada pemangsa seksual.
“Kita harap menjelang 2026, platform media sosial akan akur dengan keputusan kerajaan untuk melarang kanak-kanak bawah 16 tahun membuka akaun media sosial,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Fahmi berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Kesedaran Penipuan Siber Komuniti India Lembah Pantai, di Kuala Lumpur, pada 23 November.
Selain melalui Akta Keselamatan Dalam Talian dan Akta Komunikasi dan Multimedia, kerajaan juga sedang meneliti pelaksanaan had umur umum seperti yang dilakukan Australia dan negara lain terutama daripada segi mekanisme penguatkuasaan.
“Negara yang berbeza mungkin mengambil pendekatan berbeza, namun kita akan mengkaji kaedah yang paling sesuai untuk memastikan mereka di bawah umur 16 tahun dihalang daripada mempunyai akaun media sosial,” katanya.
Beliau berkata salah satu mekanisme yang sedang dipertimbangkan ialah mewajibkan platform media sosial melaksanakan pengesahan eKYC yang melibatkan dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan kerajaan seperti MyKad (kad pengenalan), pasport dan MyDigital ID.
“Kita menjangkakan platform dapat melaksanakannya menjelang 2026.
“Saya percaya bahawa jika kerajaan, badan kawal selia dan ibu bapa memainkan peranan masing-masing, kita dapat memastikan Internet di Malaysia bukan saja pantas, meluas dan mampu milik, tetapi yang paling penting, selamat, khususnya buat kanak-kanak dan keluarga,” tambahnya.
Untuk rekod, Kabinet Malaysia sebelum ini menaikkan had umur minimum media sosial daripada 13 kepada 16 tahun, yang mewajibkan platform mengesahkan umur pengguna melalui dokumen rasmi seperti MyKad, pasport, atau MyDigital ID menerusi sistem eKYC.
Pada Oktober lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika mengulas insiden pengganasan di sekolah berkata penggunaan media sosial tanpa kawalan menjadi punca utama kebanyakan kes berkenaan.
“Apabila kita lihat secara menyeluruh, hampir kesemuanya berbalik kepada telefon pintar, media sosial, aplikasi (tidak dikawal),” katanya.
Kenyataan itu menyusuli kejadian seorang pelajar Tingkatan Empat didakwa ditikam hingga mati di tandas sekolah oleh rakan sekolahnya berusia 14 tahun di Selangor, dan kes empat pelajar Tingkatan Lima ditahan kerana didakwa terbabit dalam kes rogol beramai-ramai terhadap pelajar Tingkatan Tiga di Melaka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg