Rakyat Singapura dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke Iran berikutan demonstrasi awam yang tercetus di negara itu, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam nasihat perjalanan yang dikeluarkan pada 13 Januari.
“Rakyat Singapura yang berada di Iran dinasihatkan agar terus berwaspada, memantau keadaan dengan teliti dan mempertimbangkan untuk meninggalkan negara itu secepat mungkin jika keadaan mengizinkan,” menurut MFA dalam kenyataan di laman webnya. MFA turut menasihatkan mereka supaya mengelakkan demonstrasi serta kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.
MFA memaklumkan bahawa keupayaannya untuk memberikan bantuan konsular dalam situasi kecemasan adalah terhad kerana Singapura tidak mempunyai perwakilan diplomatik di Iran. Sehubungan itu, rakyat Singapura amat digalakkan untuk mendaftar secara dalam talian dengan MFA di https://eregister.mfa.gov.sg supaya kementerian berkenaan dapat menghubungi mereka sekiranya perlu.
Mereka yang memerlukan bantuan konsular ketika berada di Iran boleh menghubungi Pejabat Bertugas MFA di talian +65-6379-8800 atau +65-6379-8855.
Menurut pegawai Iran, lebih 2,000 orang telah terkorban sejak rusuhan bermula dua minggu lalu. Demonstrasi tersebut tercetus susulan keadaan ekonomi yang semakin meruncing.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg