TEHERAN: Sekurang-kurangnya 648 orang terbunuh dalam tindakan keras pihak berkuasa Iran terhadap gelombang protes yang melanda negara itu, menurut kumpulan hak asasi manusia, ketika pemerintah Teheran berusaha merampas semula kawalan jalanan melalui penganjuran perhimpunan besar-besaran di seluruh negara.
Pertubuhan bukan pemerintah berpangkalan di Norway, Hak Asasi Iran (IHR), berkata angka korban itu merangkumi sembilan kanak-kanak, dengan ribuan lagi cedera. Namun, IHR memberi amaran bahawa jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi.
“Menurut beberapa anggaran, jumlah korban mungkin melebihi 6,000 orang,” kata pertubuhan itu, sambil menegaskan sekatan Internet yang berlarutan menjadikan pengesahan bebas hampir mustahil.
IHR menganggarkan kira-kira 10,000 orang telah ditahan, dan menyifatkan keadaan itu sebagai krisis kemanusiaan yang serius. “Komuniti antarabangsa mempunyai tanggungjawab untuk melindungi penunjuk perasaan awam daripada pembunuhan beramai-ramai oleh Republik Islam,” kata pengarah IHR, Encik Mahmood Amiry-Moghaddam.
Pihak berkuasa Iran pada 12 Januari menyeru rakyat turun ke jalan raya bagi menyertai perhimpunan menyokong Republik Islam. Ribuan dilaporkan hadir, satu perkembangan yang disambut Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, sebagai tanda bahawa protes telah ditewaskan.
“Perhimpunan besar ini, penuh dengan semangat dan tekad, telah menggagalkan rancangan musuh asing yang cuba dilaksanakan melalui ejen domestik,” kata Encik Khamenei dalam kenyataan yang disiarkan televisyen negara, sambil menyifatkan perhimpunan itu sebagai “amaran” kepada Amerika Syarikat.
Gelombang protes yang berlarutan lebih dua minggu itu pada awalnya tercetus akibat tekanan ekonomi dan krisis mata wang, namun kini berkembang menjadi antara cabaran terbesar terhadap sistem teokratik Iran sejak Revolusi Islam 1979.
Di Tehran, televisyen negara menyiarkan imej orang ramai mengibarkan bendera nasional dan membaca doa bagi mangsa yang disifatkan pemerintah sebagai “rusuhan”. Di Dataran Enghelab, Speaker Parlimen Encik Mohammad Bagher Ghalibaf berkata Iran kini berdepan “perang empat penjuru”. “Kita sedang menghadapi perang ekonomi, perang psikologi, perang ketenteraan dengan Amerika Syarikat dan Israel, serta hari ini perang menentang pengganas,” katanya, merujuk kepada protes yang melanda negara itu.
Diiringi laungan “Mati kepada Israel, Mati kepada Amerika”, beliau memberi amaran bahawa tentera Iran akan mengajar Encik Trump “satu pengajaran yang tidak akan dilupakan” sekiranya Iran diserang.
Bagi mengawal penyebaran protes, pemerintah Iran telah mematikan perkhidmatan internet dan telefon di seluruh negara sejak minggu lalu. Kumpulan pemantau internet NetBlocks melaporkan bahawa Iran telah mengalami gangguan internet hampir menyeluruh selama empat hari, satu langkah yang menurut kumpulan hak asasi bertujuan menutup skala sebenar keganasan terhadap penunjuk perasaan.
Walaupun sekatan komunikasi dikenakan, sebahagian rakyat Iran masih menggunakan perkhidmatan Internet satelit Starlink, milik syarikat SpaceX yang diasaskan Elon Musk. Pemantau NetBlocks, Alp Toker, berkata akses Starlink di Iran “tidak menyeluruh tetapi masih wujud”. “Ia terputus-putus, tetapi masih ada,” katanya.
Starlink pernah memainkan peranan penting dalam konflik di Ukraine, Myanmar dan Sudan. Namun, kos peralatan yang tinggi serta larangan rasmi oleh pemerintah
Parlimen Iran selepas konflik singkat dengan Israel pada Jun lalu meluluskan undang-undang yang mengharamkan penggunaan Starlink, dengan hukuman berat terhadap mereka yang menggunakannya.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebelum ini berulang kali memberi amaran bahawa Washington tidak akan berdiam diri jika Teheran terus menggunakan kekerasan terhadap rakyatnya. Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, berkata pada 12 Januari bahawa semua pilihan, termasuk tindakan ketenteraan, masih dipertimbangkan. “Pilihan ketenteraan, termasuk serangan udara, masih di atas meja, tetapi diplomasi sentiasa menjadi pilihan pertama presiden,” katanya.
Walaupun retorik awam semakin keras, Encik Trump pada 11 Januari berkata kepimpinan Iran telah menghubunginya untuk “berunding”. Cik Leavitt mengakui mesej awam Teheran berbeza daripada komunikasi tertutup yang diterima Washington. Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, berkata negaranya “tidak mencari perang tetapi bersedia sepenuhnya untuk perang”, sambil menyeru rundingan yang “adil”.
Jurucakap Kementerian Luar Iran mengesahkan saluran komunikasi wujud antara Amerika ke Asia Barat, Encik Steve Witkoff, meskipun kedua-dua negara tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi.
Putera Mahkota Iran yang hidup dalam buangan, Encik Reza Pahlavi, menuduh pemerintah Teheran cuba memperdaya dunia. “Pemerintah ini cuba meyakinkan dunia bahawa mereka sekali lagi bersedia untuk berunding,” katanya kepada CBS News. “Garis merah itu telah dilangkaui.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg