KATHMANDU: Selama sembilan hari, Encik Kabir Maharjan terperangkap dalam kegelapan sebuah terowong, terbaring dalam air berlumpur dan sesekali hilang kesedaran selepas banjir dahsyat melanda Lembah Trishuli di Nepal.

Beliau bertahan dengan meminum air berlumpur yang mengelilinginya, sementara rakannya, penyelia mekanikal Encik Sanjay Sah, membaca doa Hindu untuk menguatkan semangat.

Apabila akhirnya diselamatkan dan sedar di hospital, Encik Maharjan begitu keliru sehingga tidak mengenali isterinya.

“Di mana saya?” tanyanya kepada Cik Hira Shova Maharjan.

Kisah luar biasa dua pekerja projek hidroelektrik itu memberi harapan bahawa mangsa lain mungkin masih hidup dalam terowong selepas bencana 26 Ogos.

Seramai 121 pekerja masih dipercayai terperangkap dalam beberapa terowong sehingga 7 September.

Bencana bermula selepas glasier runtuh di Gunung Langtang Lirung, kira-kira 40 kilometer dari projek Upper Trishuli 3A, mencetuskan tanah runtuh serta gelombang air dan lumpur yang memusnahkan kampung dan menenggelamkan 12 projek hidroelektrik.

Hampir 900 pekerja berada di rangkaian projek itu ketika bencana berlaku.

Lebih 1,300 orang terkorban di Nepal dan wilayah Tibet di China, manakala ribuan lagi masih hilang.

Pada 7.30 pagi hari kejadian, Encik Maharjan menelefon isterinya sebelum memulakan syif.

“Saya perlu masuk ke dalam terowong. Tiada rangkaian telefon di dalam,” katanya.

Kira-kira sejam kemudian, glasier runtuh.

Di Kathmandu, pegawai elektrik yang memantau bekalan tenaga daripada projek-projek tersebut melihat satu demi satu stesen hilang daripada skrin kawalan.

Pada 9.15 pagi, arahan terakhir dihantar kepada pekerja Trishuli 3A: “Pindah keluar!”

Tetapi sudah terlambat bagi sebahagian pekerja.

Rakaman menunjukkan sekitar 30 pekerja yang cuba melarikan diri dihanyutkan gelombang jauh lebih tinggi daripada mereka.

Encik Sah pula bergegas dari satu tingkat ke tingkat lain untuk memberi amaran kepada rakan sekerjanya.

Encik Maharjan dan Encik Sah akhirnya berlindung dalam sebuah terowong kabel yang bercerun ke atas dan kurang terdedah kepada air banjir.

Mereka berada hanya sekitar 160 meter dari pintu keluar.

Ruang udara yang menyelamatkan mereka kemudian menjadi penjara selama sembilan hari.

Di luar, keluarga Encik Maharjan semakin hilang harapan.

Apabila pegawai menunjukkan gambar kawasan pintu masuk projek yang sudah berubah menjadi tebing sungai, Cik Hira Shova mula percaya suaminya mungkin tidak terselamat.

“Jauh di dalam hati, rasa putus asa yang amat sangat mula menyelubungi saya,” katanya.

Namun, beliau cuba kekal tabah di hadapan dua anak lelaki mereka yang berusia 15 dan 10 tahun.

Operasi menyelamat pula berdepan cabaran besar.

Lebih 7,500 rumah musnah di sepanjang lembah, memaksa pasukan penyelamat menentukan lokasi yang perlu diberi keutamaan.

Trishuli 3A menjadi antara lokasi utama kerana struktur bawah tanahnya yang mempunyai beberapa tingkat turbin dan ruang pengudaraan dipercayai mungkin mempunyai ruang udara yang membolehkan mangsa bertahan.

Jentera berat bagaimanapun tidak dapat digunakan dengan segera kerana tanah terlalu lembut dan dipenuhi lumpur.

“Semua yang diletakkan di situ akan tenggelam,” kata ahli geologi Penguasa Pengurusan Bencana Nepal, Encik Prakash Pokhrel.

Kerja menggali secara besar-besaran hanya bermula tiga hari selepas bencana.

Keempat-empat laluan terowong tersumbat dengan lumpur, batu, kayu dan serpihan, sebahagiannya tertimbus di bawah runtuhan sedalam antara 15 dengan 30 meter.

Pasukan penyelamat menggunakan gerudi, letupan terkawal dan jentera berat untuk membuka laluan sedikit demi sedikit.

Hujan lebat berulang kali mengganggu usaha mereka, memenuhi semula lubang yang sudah digali dengan air dan lumpur.

Hampir enam hari diperlukan hanya untuk sampai ke pintu masuk terowong yang tertimbus.

Pada awal pagi hari ke-10, pasukan penyelamat akhirnya mendengar bunyi dari dalam.

Mereka berulang kali mematikan enjin jentera untuk mendengar dengan lebih jelas.

“Kami memanggil, ‘Di mana kamu? Adakah kamu di sana?’” kata ketua pasukan penyelamat, Encik Ganga Baral.

Kemudian, pancaran lampu menampakkan sesuatu yang tidak mereka jangka – satu tangan.

Pasukan penyelamat masih perlu menembusi antara lima dengan 10 meter laluan yang dipenuhi lumpur.

Sekitar 7 pagi, askar berjaya membuka satu lubang kecil.

Dari dalam kedengaran satu perkataan: “hunuhuncha” – yang secara kasar bermaksud, “kami di sini”.

Kedua-duanya terlalu lemah untuk berdiri ketika dikeluarkan.

Encik Sah, dengan wajah diselaputi lumpur, dibawa keluar di belakang seorang anggota penyelamat, manakala Encik Maharjan yang mengalami kecederaan lebih serius diusung menggunakan pengusung.

“Mummy, Papa dah balik!” jerit anak-anak Encik Maharjan apabila menerima berita itu.

Sehari kemudian, seorang warga China, Encik Lu Haitao, turut ditemui hidup dalam terowong projek Upper Trishuli-1.

Bagi Cik Hira Shova, keadaan suaminya yang masih keliru dan mengalami luka serius tidak mengatasi kegembiraan melihatnya kembali hidup.

“Dia seperti diberikan kehidupan kedua,” katanya. – REUTERS