Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Misteri budak terperangkap bersama mayat sorot cabaran menyelamat di Gaza

Feb 2, 2024 | 2:19 PM
Seorang pegawai Bulan Sabit Merah Palestin mendengarkan rakaman audio perbualan dengan budak berusia enam tahun yang terperangkap dalam kereta bersama keluarganya yang sudah meninggal dunia.
Seorang pegawai Bulan Sabit Merah Palestin mendengarkan rakaman audio perbualan dengan budak berusia enam tahun yang terperangkap dalam kereta bersama keluarganya yang sudah meninggal dunia. - Foto REUTERS

RAMALLAH: Seorang budak perempuan Palestin yang terperangkap dalam kereta di Gaza bersama keluarganya yang meninggal dunia memohon penyelamat menyelamatkannya selepas tentera Israel melepaskan tembakan.

Tetapi beberapa hari selepas Bulan Sabit Merah menghantar ambulans ke kawasan itu tidak ada berita tentang nasibnya.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mengeluarkan rakaman audio perbualan telefon Hind Rajab yang berusia enam tahun selama tiga jam dengan pegawai penyelamat pada 29 Januari ketika mereka menunggu pertempuran di kawasan itu reda sebelum menghantar bantuan.

“Hind terus meminta kami untuk segera datang mendapatkannya, menghantar seseorang untuk mendapatkannya. Dia berkata dia takut kerana hari semakin gelap,” kata pegawai penyelamat, Cik Rana al-Faqeh.

Beliau berkata pasukan penyelamat kecemasannya “terasa lumpuh” kerana tidak dapat segera membantu.

Menurutnya, ketika berbual dengan budak perempuan itu, beliau dapat mendengar bunyi tembakan di tempat kejadian.

Walaupun Bulan Sabit Merah memutuskan bahawa ia cukup selamat untuk menghantar ambulans empat jam selepas menerima panggilan, namun mereka terputus hubungan dengan budak perempuan itu tidak lama kemudian.

Yang pertama bercakap dengan Bulan Sabit Merah ialah saudara Rajab berusia 15 tahun, Layan Hamadeh, yang terperangkap dalam kenderaan yang sama berhampiran stesen minyak di Bandar Gaza ketika kereta kebal dan tentera Israel menghampiri.

Dalam rakaman audio, Hamadeh didengar sebagai berkata:

“Mereka menembak kami. Kereta kebal itu berada di sebelah saya.”

Dia kemudian menjerit apabila bunyi tembakan kedengaran dalam rakaman audio itu. Hamadeh dan lima lagi ahli keluarga terbunuh, menurut Bulan Sabit Merah.

Tentera Israel berkata ia tidak menyedari kejadian itu.

Rajab adalah satu-satunya yang terselamat.

Pekerja penyelamat Palestin menghadapi banyak cabaran di tengah-tengah pertempuran yang berterusan akibat sekatan ketat ke atas pergerakan mereka dan komunikasi yang kerap terputus.

“Kisah Hind dan Layan adalah satu daripada ratusan panggilan yang diterima pasukan kami setiap hari. Dalam banyak kes kami tidak dapat membantu kerana kereta kebal Israel ada di mana saja, mengisytiharkan kawasan itu sebagai zon tentera walaupun terdapat orang awam,” kata jurucakap Bulan Sabit Merah, Encik Nebal Farsakh. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg