Topik diikuti
Pergi ke BHkuMojtaba Khamenei cedera ringan pada permulaan perang
Mojtaba Khamenei cedera ringan pada permulaan perang
Mojtaba Khamenei cedera ringan pada permulaan perang
TEHERAN: Tiada apa-apa yang serius berlaku kepada pemimpin Iran, Encik Mojtaba Khamenei, apabila beliau dibawa ke hospital menyusuli tercetusnya perang dengan Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari, lapor agensi berita separa rasmi Iran, Isna, pada 18 Mei, memetik seorang pegawai Kementerian Kesihatan.
“Luka-luka itu bukanlah jenis yang akan mencacatkan wajah pemimpin agung itu, dan juga tidak akan menyebabkannya cacat atau mengakibatkan amputasi anggota badan,” kata Encik Hossein Kermanpour, ketua pusat perhubungan awam dan maklumat Kementerian Kesihatan Iran.
“Beliau diberi beberapa jahitan pada bahagian yang cedera itu. Salah satu bahagian yang doktor memutuskan untuk menjahitnya dengan segera ialah bahagian kakinya,” tambahnya.
Encik Mojtaba Khamenei tidak muncul secara terbuka sejak permulaan perang tersebut.
Perang itu bermula pada 28 Februari selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iran.
Konflik itu dengan cepat memuncak menjadi salah satu perang serantau paling berbahaya dalam beberapa dekad, mengganggu perkapalan melalui Selat Hormuz, menggegarkan pasaran tenaga global, dan membawa kepada serangan peluru berpandu dan dron di seluruh Timur Tengah.
Encik Mojtaba menjadi pemimpin tertinggi Iran selepas bapanya, bekas pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei, terbunuh dalam serangan di Teheran pada hari pertama perang itu meletus.
Dalam kenyataan pertamanya sejak menggantikan bapanya yang terbunuh dalam serangan udara Israel, Encik Mojtaba pada 12 Mac memberi amaran bahawa Iran tidak akan berundur walaupun konflik itu berisiko menggoncang ekonomi global.
Dalam kenyataan yang tidak disampaikan secara langsung oleh beliau, sebaliknya dibacakan oleh seorang penyampai di televisyen negara Iran, beliau berkata:
“Yang rakyat jelata mahu ialah meneruskan pertahanan yang berkesan dan mendatangkan penyesalan (kepada pihak musuh). Penutupan Selat Hormuz mesti terus dijadikan alat tekanan terhadap musuh.”
Sejak serangan Israel pada awal perang yang membunuh sebahagian besar keluarganya, termasuk bapanya, Ayatollah Ali Khamenei, dan isterinya pada 28 Februari lalu, tiada imej atau rakaman video pemimpin baharu itu didedahkan kepada umum.
“Saya memberi jaminan kepada semua bahawa kami tidak akan mengabaikan tuntutan untuk membalas darah para syahid,” kata Encik Mojtaba.
Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan paling penting bagi perdagangan minyak dunia, dengan sekitar seperlima atau 20 peratus bekalan minyak global melalui selat tersebut setiap hari.
Gencatan senjata yang rapuh berkuat kuasa pada 8 April, walaupun ketegangan masih tinggi. – Agensi berita.
