M’sia, Indonesia, Brunei sambut Aidilfitri pada 21 Mac
Umat Islam di negara-negara serantau, termasuk Malaysia, Indonesia dan Brunei, akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Sabtu, 21 Mac.
Ini diumumkan pihak berkuasa negara masing-masing pada 19 Mac.
Di Malaysia, pengumuman 1 Syawal itu dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, melalui siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), menurut laporan Berita Harian Malaysia.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Sabtu, 21 Mac 2026,” katanya.
Di Indonesia pula, laman berita Kompas melaporkan bahawa Menteri Agama Nasaruddin Umar menyampaikan pengisytiharan tanggal 1 Syawal yang jatuh pada Sabtu, 21 Mac dalam satu sidang rasmi yang diadakan.
Beliau berkata hasil pemantauan hilal menjadi dasar utama dalam penetapan 1 Syawal 1447 Hijriah.
“Disepakati bahawa 1 Syawal 1447 Hijriah jatuh pada hari Sabtu, 21 Maret 2026,” ujar Encik Nasaruddin.
Pengumuman sambutan Aidilfitri di Brunei Darussalam – yang juga jatuh pada 21 Mac – pula dibuat dengan perkenan Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah, dan disiarkan di Radio Televisyen Brunei (RTB).
Umat Islam di Singapura juga bakal menyambut 1 Syawal pada Sabtu, 21 Mac, seperti yang diumumkan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir pada 19 Mac.
Dr Nazirudin telah berkata anak bulan Syawal berada terlalu rendah di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi dan tidak mungkin dapat dilihat.
Ini berdasarkan syarat kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims), tambahnya.
“Ini bererti esok adalah hari pencukup bulan Ramadan sebanyak 30 hari bagi kita di Singapura, dan awal bulan Syawal bagi tahun 1447H jatuh pada lusa, Sabtu bersamaan 21 Mac 2026,” kata Dr Nazirudin.

