S’pura sambut 1 Syawal pada 21 Mac
Mufti menyatakan demikian dalam kenyataan Muis pada 19 Mac
Singapura menyambut 1 Syawal pada Sabtu, 21 Mac.
Menyatakan demikian dalam kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 19 Mac, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, berkata anak bulan Syawal berada terlalu rendah di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi dan tidak mungkin dapat dilihat.
Ini berdasarkan syarat kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims), tambahnya.
“Ini bererti esok adalah hari pencukup bulan Ramadan sebanyak 30 hari bagi kita di Singapura, dan awal bulan Syawal bagi tahun 1447H jatuh pada lusa, Sabtu bersamaan 21 Mac 2026,” kata Dr Nazirudin.
Jawatankuasa Falak Muis pada 19 Mac menjelaskan bahawa di rantau ini, negara seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei lazimnya mengamalkan kedua-dua pendekatan.
Namun, bagi Singapura yang tidak pernah merekodkan kejayaan melihat anak bulan, ia memilih kaedah hisab berdasarkan ketepatan sains dan perkiraan, sesuai dengan konteks geografinya, kata jawatankuasa itu.
Kaedah itu telah diamalkan berdekad lamanya, dan bertujuan membantu umat Islam Singapura melaksanakan ibadah, khususnya menyambut Ramadan dan Syawal, dengan teratur dan selesa, tambahnya.
Dalam ucapannya juga, Dr Nazirudin menggesa umat Islam agar memaanfatkan akhir bulan Ramadan dengan menggandakan amal kebajikan dan doa, dan beliau turut berdoa agar Allah swt menerima segala amalan semua.
“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada sekalian Muslimin Muslimat Singapura: ‘Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri’.
“Semoga kita menyambut kedatangan bulan Syawal dengan penuh kesyukuran serta memperkukuhkan lagi persaudaraan dan keihsanan sesama kita,” kata Dr Nazirudin.

