Muhammadiyah tetapkan Aidilfitri pada 20 Mac

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muhammadiyah tetapkan Aidilfitri pada 20 Mac

Pemerintah Indonesia tunggu keputusan rasmi sidang isbat
Mar 19, 2026 | 12:43 PM

Muhammadiyah tetapkan Aidilfitri pada 20 Mac

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Aidilfitri Indonesia 2026, 1 Syawal 1447H, Muhammadiyah, Sidang Isbat, Kementerian Agama Indonesia, Hisab vs Rukyat, Tarikh Raya Indonesia.
Orang ramai membeli pakaian menjelang sambutan Aidilfitri di Pasar Tanah Abang di Jakarta, Indonesia, pada 16 Mac 2026. Umat Islam di seluruh dunia sedang membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri yang menandakan berakhirnya bulan suci Ramadan. - Foto EPA

JAKARTA: Perbezaan penetapan Hari Raya Aidilfitri kembali mencetuskan perhatian di Indonesia apabila Muhammadiyah mengumumkan lebih awal bahawa 1 Syawal 1447 Hijrah jatuh pada Jumaat, 20 Mac, sementara pemerintah masih menunggu keputusan rasmi melalui sidang isbat, iaitu mesyuarat penentuan awal bulan Hijrah yang dibuat berdasarkan gabungan pengiraan astronomi dan cerapan anak bulan.

Keputusan Muhammadiyah itu sekali lagi menonjolkan perbezaan pendekatan antara organisasi Islam utama di negara tersebut, khususnya dengan Nahdlatul Ulama (NU) dan pihak pemerintah.

Pimpinan Pusat Muhammadiyah menetapkan tarikh Aidilfitri berdasarkan kaedah Hisab Hakiki Wujudul Hilal, iaitu pengiraan astronomi yang tidak memerlukan cerapan anak bulan.

Berdasarkan maklumat rasmi organisasi itu, ijtimak berlaku pada 19 Mac, diikuti keadaan yang memenuhi syarat astronomi untuk menetapkan awal Syawal pada keesokan hari.

Pendekatan ini membolehkan Muhammadiyah menetapkan kalendar ibadah lebih awal berbanding pihak lain.

Berbeza dengan Muhammadiyah, pemerintah Indonesia melalui Kementerian Agama (Kemenag) menggabungkan kaedah hisab dan rukyatul hilal sebelum membuat keputusan rasmi.

Sidang isbat dijadual berlangsung pada malam 19 Mac, dengan keputusan akan diumumkan kepada umum selepas mengambil kira laporan cerapan di seluruh negara.

Ketua Biro Perhubungan Awam Kemenag, Encik Thobib Al Asyhar, berkata terdapat dua kemungkinan tarikh Aidilfitri.

“Ada dua kemungkinan, sama ada 20 Mac atau 21 Mac melalui kaedah istikmal,” katanya.

Pendekatan ini selari dengan amalan NU yang memberi penekanan kepada cerapan hilal sebagai penentu utama.

Perbezaan kaedah ini membuka kemungkinan umat Islam di Indonesia menyambut Aidilfitri pada hari yang berbeza.

Situasi ini bukan kali pertama berlaku, namun ia terus menjadi perbincangan setiap tahun kerana melibatkan dua organisasi Islam terbesar serta keputusan rasmi negara.

Dalam beberapa kes sebelum ini, perbezaan sehari dalam sambutan Aidilfitri telah berlaku apabila hilal tidak memenuhi kriteria cerapan.

Pihak pemerintah mengingatkan bahawa perbezaan tersebut tidak seharusnya mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.

“Jika hasilnya berbeza, harapannya umat tetap menjaga toleransi dan kerukunan,” kata Encik Thobib.

Beliau turut menegaskan bahawa sambutan keagamaan perlu dilaksanakan dengan semangat saling menghormati.

“Kesemarakan perayaan hendaklah tetap menjunjung nilai kemuliaan agama, termasuk saling memahami,” katanya.

Pengarah Urusan Agama Islam dan Pembangunan Syariah di Kemenag, Encik Arsad Hidayat menjelaskan bahawa sidang isbat bukan sekadar proses teknikal, tetapi juga ruang perbincangan yang menghimpunkan pelbagai pihak.

“Sidang isbat merupakan ruang musyawarah yang mempertemukan data hisab dan laporan rukyat dari seluruh Indonesia,” katanya.

Menurut beliau, keputusan yang dicapai diharapkan menjadi panduan bersama kepada umat Islam di negara itu.

Pemerintah menegaskan bahawa perbezaan pendekatan dalam menentukan awal bulan Hijrah adalah sebahagian daripada tradisi ilmu Islam.

“Perbezaan ini adalah dinamika yang telah lama wujud dalam praktik keilmuan,” kata Encik Arsad.

Beliau menambah bahawa pemerintah menghormati kaedah yang digunakan oleh organisasi seperti Muhammadiyah.

Namun, masyarakat tetap digalakkan menjadikan keputusan sidang isbat sebagai rujukan utama.

Dengan pengumuman awal oleh Muhammadiyah, tumpuan kini terarah kepada keputusan sidang isbat yang akan menentukan sama ada Aidilfitri disambut serentak atau berbeza.

Sekiranya hilal tidak memenuhi kriteria cerapan, kemungkinan Aidilfitri disambut pada 21 Mac akan menjadi kenyataan bagi sebahagian umat Islam di Indonesia.

Namun, jika selari dengan pengiraan Muhammadiyah, sambutan dijangka berlangsung serentak pada 20 Mac.

Walaupun perbezaan tarikh sering berlaku, pihak berkuasa menegaskan bahawa ia tidak seharusnya menjadi punca perpecahan.

Sebaliknya, ia dilihat sebagai ujian kepada kematangan masyarakat dalam menghormati kepelbagaian pendekatan dalam agama.

“Jika ada perbezaan, kedepankan sikap saling menghormati dan menjaga persatuan,” kata Encik Arsad. –Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg