Rakyat Indonesia berbeza tarikh mula Ramadan
Umat Islam digesa hormati perbezaan tersebut kerana ia perkara biasa dalam ijtihad ulama
Di negara majmuk seperti Indonesia, perbezaan pandangan merupakan perkara biasa.
Ia termasuk dalam menentukan tarikh permulaan bulan puasa Ramadan.
Tahun 2026 ini tidak terkecuali.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, pemerintah bersama organisasi Islam terbesar Nahdlatul Ulama (NU) dan organisasi kedua terbesar Muhammadiyah menetapkan tarikh berbeza berdasarkan dua kaedah penentuan anak bulan.
Muhammadiyah menetapkan Ramadan bermula pada 18 Februari menggunakan kaedah hisab, iaitu pengiraan astronomi yang menunjukkan anak bulan baharu dapat dilihat pada petang 17 Februari dengan rujukan kedudukan bulan di Alaska dalam kalendar Hijrah sejagat bersatu.
“Kami memulakan solat tarawih pada malam 17 Februari dan masjid dipenuhi jemaah, malah kami terpaksa menyediakan tikar tambahan di luar masjid untuk menampung jemaah,” kata pentadbir Masjid Al Muharram, Encik Ananto Isworo, kepada Berita Harian.
Masjid masyarakat dua tingkat di Kampung Brajan, Bantul, Yogyakarta, yang boleh menampung kira-kira 200 anggota jemaah itu mengikut amalan Muhammadiyah dan memulakan tarawih pada 17 Februari selaras dengan keputusan berpuasa pada 18 Februari.
“Kami telah memaklumkan kepada masyarakat setempat sejak beberapa bulan sebelum Ramadan melalui tadarus Al-Quran dan khutbah tentang sebab serta pengiraan saintifik yang digunakan untuk menentukan permulaan Ramadan,” katanya.
Berbeza dengan Muhammadiyah, pemerintah Indonesia dan NU mengesahkan kedudukan anak bulan melalui rukyah, iaitu cerapan secara langsung di puluhan lokasi merentasi tiga zon waktu negara itu.
Ahli pasukan hisab rukyah kementerian, Encik Cecep Nurwendaya, berkata penentuan awal bulan Hijrah di Indonesia, khususnya Ramadan, Syawal dan Zulhijah, dibuat dengan menggabungkan hisab dan rukyah.
Penentuan itu memerlukan berlakunya ijtimak serta kedudukan anak bulan yang memenuhi kriteria kebolehnampakan.
“Kaedah penentuan awal bulan Hijrah di Indonesia menggunakan rukyah dan hisab, di mana ‘ijtimak’ mesti berlaku dan kedudukan anak bulan diperhatikan selepas matahari terbenam.
“Pada 17 Februari 2026, secara astronomi anak bulan masih berada di bawah ufuk,” katanya dalam mesyuarat isbat.
Menteri Agama, Encik Nasaruddin Umar, berkata berdasarkan laporan pasukan cerapan, ketinggian anak bulan di seluruh Indonesia masih di bawah ufuk dan tidak memenuhi kriteria kebolehnampakan yang ditetapkan Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Agama Brunei-Indonesia-Malaysia-Singapura (Mabims) – iaitu ketinggian minimum 3 darjah dan sudut pemanjangan 6.4 darjah.
Mesyuarat isbat kemudian bersetuju 1 Ramadan 1447 Hijrah jatuh pada Khamis, 19 Februari 2026.
“Keputusan dibuat berdasarkan hasil hisab dan rukyah yang dijalankan pasukan kementerian serta organisasi Islam dan disahkan pemerhati di 96 lokasi,” katanya.
Isbat di Indonesia ialah sidang rasmi pemerintah bagi menetapkan permulaan bulan Hijrah seperti Ramadan, Syawal dan Zulhijah.
Sidang isbat dianjurkan oleh Kementerian Agama Republik Indonesia dengan penglibatan pelbagai pihak, termasuk pakar falak atau ahli astronomi, Majlis Ulama Indonesia (MUI), organisasi Islam seperti NU, Muhammadiyah, wakil kedutaan negara Islam serta agensi pemerintah berkaitan.
Pengerusi MUI, Encik Anwar Iskandar, mengajak umat Islam agar menghormati perbezaan tersebut kerana ia perkara biasa dalam ijtihad ulama.
“Jika betul, mendapat dua pahala, jika tersilap mendapat satu pahala. Ini menunjukkan ruang perbezaan sentiasa ada. Yang penting ialah memelihara persaudaraan umat.
“Perbezaan bukan masalah dan kita saling menghormati pendirian masing-masing,” tambahnya.

