Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Muhyiddin ikrar adakan pilihan raya setelah Covid-19 berakhir

Mar 02, 2021 | 05:30 AM



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin semalam berikrar pilihan raya akan diadakan apabila pandemik koronavirus berakhir, dalam satu ucapan yang diadakan sempena ulang tahun pertama pentadbiran Perikatan Nasional, di mana beliau mendakwa telah dapat menangkis krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda negara itu.



Ini setelah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ahmad Shah memperkenankan minggu lepas bahawa perintah darurat selama tujuh bulan yang diumum pada Januari tidak menghalang Tan Sri Muhyiddin daripada mengadakan sesi Parlimen, di mana majoriti tipis sebelum ini berada dalam keraguan.



Tan Sri Muhyiddin menegaskan Ordinan Darurat yang diisytiharkan di negara itu bukan bertujuan menjamin kedudukan beliau sebagai perdana menteri, sebaliknya ia semata-mata untuk mengatasi masalah pandemik Covid-19.



Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong sudah memasyhurkan tiga ordinan, iaitu Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 sejak darurat berkuat kuasa pada 11 Januari lalu dan dijangka akan berakhir pada 1 Ogos.



"Ini adalah pertama kali di dalam sejarah di mana darurat mempunyai tempoh tamat," jelas beliau.



"Apabila pandemik ini berakhir, saya akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen."



Mengulas lanjut, Tan Sri Muhyiddin berkata yang di-Pertuan Agong juga melantik satu Jawatankuasa Khas Bebas yang turut dianggotai Ahli Parlimen pembangkang untuk meneliti keadaan darurat di negara itu dan membuat perakuan sama ada darurat boleh ditamatkan lebih awal atau sebaliknya.



"Sehingga waktu itu, saya dan rakan dalam Kabinet akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin," ujar beliau.



Menurut Tan Sri Muhyiddin, kadar kematian Covid-19 di Malaysia adalah yang terendah di dunia, iaitu 0.4 peratus dan lebih daripada 90 peratus telah pulih sebagai bukti keberkesanan tindak balas koronavirus di bawah pentadbirannya.



"Keadaan ekonomi negara juga bertambah baik. Pada April 2020, ekonomi menguncup 28.7 peratus tetapi pada Disember, ekonomi hanya menguncup 1.7 peratus," katanya dalam ucapan Setahun Malaysia Prihatin.



Beliau menambah kadar pengangguran berkurangan daripada 5.3 peratus pada Mei tahun lepas kepada 4.8 peratus pada penghujung 2020.



Tan Sri Muhyiddin juga berkata inisiatif berpandukan sains dan data membolehkan ekonomi dibuka semula secara berperingkat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama kali dilaksana pada 18 Mac tahun lalu, di mana badan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia mengunjurkan perkembangan ekonomi sebanyak 7 peratus untuk Malaysia pada tahun ini.



Beliau turut menyatakan kepentingan hubungan luar dalam usaha melawan Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.



Perdana Menteri Malaysia itu juga berkata krisis kesihatan, kemanusiaan dan ekonomi yang disebabkan wabak Covid-19 tidak hanya memerlukan kerjasama setempat, malah bantuan antarabangsa terutama dalam menolong masyarakat.



"Diplomat asing banyak menyalurkan maklumat dan kemas kini yang tepat kepada masyarakat antarabangsa di negara ini, termasuk mengenai pemeriksaan kesihatan, operasi perniagaan dan pengendalian sempadan," kata beliau, sambil mengucapkan terima kasih kepada mereka. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >