Topik diikuti
Pergi ke BHkuMyanmar berdepan keputusan ICJ berhubung dakwaan genosid Rohingya pada 19 Nov
Keputusan selepas tujuh tahun perbicaraan bakal menentukan sama ada tindakan tentera Myanmar terhadap masyarakat Islam Rohingya melanggar Konvensyen Genosid PBB
Myanmar berdepan keputusan ICJ berhubung dakwaan genosid Rohingya pada 19 Nov
THE HAGUE: Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengumumkan keputusan bersejarah pada 19 November bagi menentukan sama ada tindakan keras tentera Myanmar terhadap masyarakat minoriti Islam Rohingya merupakan jenayah pembunuhan beramai-ramai atau genosid.
Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) itu bakal menamatkan penantian selama tujuh tahun sejak Gambia membawa kes berkenaan pada 2019, dengan mendakwa Myanmar melanggar Konvensyen Genosid PBB 1948.
Walaupun ICJ tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan keputusannya, penghakiman yang mendapati Myanmar melakukan genosid dijangka meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap pemerintah tentera negara itu.
Keputusan tersebut juga boleh membawa makna besar kepada ratusan ribu pelarian Rohingya yang terpaksa meninggalkan tanah air mereka selepas menjadi mangsa keganasan.
Pakar undang-undang antarabangsa turut mengikuti kes itu dengan teliti kerana keputusan ICJ mungkin memberikan gambaran mengenai pendekatan mahkamah dalam kes genosid yang dibawa Afrika Selatan terhadap Israel berhubung operasi ketenteraannya di Gaza.
Myanmar sejak awal menafikan dakwaan melakukan genosid terhadap Rohingya.
Pemerintah negara itu menegaskan bahawa operasi ketenteraannya bertujuan mematahkan pemberontakan kumpulan bersenjata selepas beberapa serangan mengorbankan kira-kira 12 anggota keselamatan.
Bagaimanapun, operasi tentera Myanmar bersama kumpulan bersenjata Buddha menyebabkan ratusan ribu penduduk Rohingya melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh.
Pelarian yang terselamat menceritakan pengalaman mengerikan, termasuk kejadian rogol beramai-ramai, pembunuhan dan hukuman mati secara besar-besaran.
Lebih sejuta penduduk Rohingya masih berlindung di Bangladesh, terutama di kawasan penempatan pelarian terbesar di dunia.
Dalam perbicaraan pada Januari lalu, Menteri Kehakiman Gambia, Encik Dawda Jallow, memberitahu ICJ bahawa masyarakat Rohingya menjadi mangsa keganasan dan kemusnahan yang amat dahsyat.
Menurut beliau, kes tersebut bukan sekadar pertikaian undang-undang antara dua negara, sebaliknya melibatkan penderitaan sebenar masyarakat yang menjadi sasaran keganasan.
“Ini bukan mengenai persoalan rumit undang-undang antarabangsa. Ini mengenai manusia sebenar, kisah sebenar dan sekumpulan manusia yang benar-benar wujud.
“Mereka ialah masyarakat Rohingya di Myanmar. Mereka telah menjadi sasaran untuk dimusnahkan,” katanya.
Gambia membawa kes itu berdasarkan Konvensyen Genosid PBB yang membenarkan mana-mana negara anggota mengambil tindakan sekiranya mengesyaki berlakunya pembunuhan beramai-ramai.
Encik Jallow menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri apabila terdapat dakwaan serius mengenai usaha menghapuskan sesuatu kumpulan berdasarkan identiti mereka.
Menurut beliau, dakwaan pelanggaran konvensyen tersebut mencemarkan hati nurani masyarakat antarabangsa dan tidak boleh dianggap sebagai masalah dalaman Myanmar semata-mata.
“Pelanggaran yang didakwa itu mencemarkan hati nurani kita bersama dan tidak bertanggungjawab jika kita berpura-pura bahawa perkara ini bukan urusan kita,” katanya.
Myanmar bagaimanapun menolak tuduhan tersebut dengan menyifatkannya sebagai tidak mempunyai bukti yang mencukupi.
Menteri di Pejabat Presiden Myanmar, Encik Ko Ko Hlaing, berhujah bahawa dakwaan serius seperti genosid mesti dibuktikan melalui fakta dan bukti yang kukuh.
“Bahasa yang membangkitkan emosi dan gambaran fakta yang kabur tidak boleh menggantikan pembentangan bukti secara teliti,” katanya.
Dalam perbicaraan terdahulu pada 2019, pemimpin awam Myanmar ketika itu, Cik Aung San Suu Kyi, hadir sendiri di ICJ yang berpusat di Istana Keamanan, The Hague, bagi mempertahankan negaranya.
Pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu menegaskan bahawa operasi tentera Myanmar tidak mempunyai niat untuk menghapuskan masyarakat Rohingya.
Beliau turut memberi amaran bahawa kes berkenaan boleh mencetuskan semula ketegangan yang menyebabkan penduduk Rohingya meninggalkan negara itu.
Bagaimanapun, Cik Suu Kyi, 81 tahun, tidak akan menghadiri pengumuman keputusan mahkamah.
Beliau kini berada dalam tahanan rumah di ibu negara Naypyidaw selepas digulingkan melalui rampasan kuasa tentera pada 2021.
ICJ sebelum ini sudah mengeluarkan keputusan sementara pada 2020 yang mengarahkan Myanmar mengambil semua langkah dalam bidang kuasanya bagi mencegah perbuatan yang dilarang di bawah Konvensyen Genosid.
Antara perbuatan tersebut termasuk membunuh anggota sesuatu kumpulan dan sengaja mewujudkan keadaan hidup yang boleh menyebabkan kemusnahan fizikal keseluruhan atau sebahagian kumpulan berkenaan.
Mahkamah turut menolak bantahan Myanmar terhadap bidang kuasanya, sekali gus mengesahkan bahawa ICJ mempunyai kuasa untuk mendengar dan memutuskan dakwaan genosid tersebut.
Selain ICJ, beberapa proses undang-undang antarabangsa lain turut dijalankan berhubung dakwaan kekejaman terhadap masyarakat Rohingya.
Pada 2024, ketua pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), yang juga berpusat di The Hague, memohon waran tangkap terhadap ketua junta Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan.
Satu lagi kes sedang berlangsung di Argentina berdasarkan prinsip bidang kuasa sejagat, yang membolehkan mahkamah sesebuah negara membicarakan jenayah antarabangsa tertentu yang amat serius walaupun berlaku di luar wilayahnya.
Keputusan ICJ pada 19 November kini dinantikan sebagai ujian penting terhadap usaha masyarakat antarabangsa menuntut pertanggungjawaban atas kekejaman terhadap Rohingya.
Bagi lebih sejuta pelarian yang masih berada di Bangladesh, penghakiman itu juga membawa harapan bahawa penderitaan mereka akhirnya mendapat pengiktirafan dan keadilan di peringkat antarabangsa. – Agensi berita