Myanmar lakukan 'penghapusan kaum' ke atas Rohingya: Pegawai PBB

TEKNAF (Bangladesh): Myanmar sedang melakukan "penghapusan kaum" ke atas umat Islam Rohingya, seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan berkata, sedang kisah menakutkan rogol ramai-ramai, penyeksaan dan pembunuhan muncul dari kalangan beribu-ribu orang yang melarikan diri ke Bangladesh.

Sehingga 30,000 anggota kumpulan etnik miskin itu telah meninggalkan rumah mereka di Myanmar untuk melarikan diri daripada keganasan, selepas askar negara itu dihantar ke tempat mereka tinggal awal bulan ini (Nov), kata PBB.

Encik John McKissick, ketua Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa bagi Pelarian (UNHCR) di bandar sempadan Cox Bazar Bangladesh, memberitahu BBC tentera "membunuh lelaki, menembak mereka, menyembelih anak-anak, merogol wanita, membakar dan menjarah rumah, memaksa orang-orang itu untuk menyeberangi sungai" ke Bangladesh.

Dhaka menolak desakan antarabangsa agar ia membuka sempadannya untuk mengelakkan krisis kemanusiaan, dan sebaliknya memberitahu Myanmar ia mesti berusaha lebih untuk mencegah kaum minoriti Rohingya yang tidak bernegara itu daripada masuk.

"Amat sukar bagi pemerintah Bangladesh mengatakan sempadannya dibuka kerana ini akan menggalak lagi pemerintah Myanmar meneruskan kekejaman dan menolak mereka keluar hingga ia mencapai matlamat utamanya melakukan penghapusan etnik minoriti Islam di Myanmar," kata Encik McKissick.

Namun, jurucakap Presiden Myanmar Htin Kyaw menyelar komen itu.

"Saya ingin mempersoal profesionalisme dan etika yang perlu diikuti dan dihormati oleh kakitangan PBB. Beliau harus bercakap berdasarkan fakta konkrit dan benar, beliau tidak sepatutnya membuat tuduhan," kata Encik Zaw Htay.

Ia bukan kali pertama dakwaan itu dibuat terhadap Myanmar.

Pada April 2013, kumpulan hak asasi manusia Human Rights Watch berkata Myanmar menjalankan kempen pembersihan etnik terhadap Rohingya.

Tetapi tuduhan itu ditolak presiden ketika itu, Encik Thein Sein, sebagai "kempen memburuk-burukkan".

Skala penderitaan manusia itu menjadi jelas pada Khamis (24 Nov), apabila pelarian mencerita kisah tentera menyerang kampung mereka dan membunuh kaum lelaki dan merogol wanita.

Encik Mohammad Ayaz, umpamanya, berkata isterinya yang hamil dibunuh.

Memangku anak lelakinya berusia dua tahun, beliau berkata tentera membunuh sekurang-kurangnya 300 orang di pasar kampung dan merogol berpuluh-puluh wanita sebelum membakar sekitar 300 rumah, kedai milik orang Islam dan masjid tempat beliau menjadi imam.

"Mereka menembak mati isteri saya, Jannatun Naim. Beliau berumur 25 tahun dan mengandung tujuh bulan. Saya berlindung dalam longkang dengan anak lelaki saya, yang dipukul dengan hujung senapang," cerita Encik Ayaz.

Beliau menjual jam tangan dan kasutnya untuk membayar bagi perjalanan ke kem untuk pelarian Rohingya yang tidak berdaftar.

Ramai daripada mereka yang mencari perlindungan berkata mereka berjalan berhari-hari dan menggunakan bot usang untuk menyeberang ke Bangladesh, tempat ratusan ribu pelarian Rohingya yang berdaftar tinggal selama beberapa dekad.

Orang Rohingya dibenci penduduk majoriti Myanmar yang melihat mereka sebagai pendatang haram dan memanggil mereka "Bengali", walaupun mereka sudah tinggal di negara itu bergenerasi.

Kebanyakan mereka hidup miskin di negeri barat Rakhine, tetapi dinafikan kewarganegaraan dan disekat dari segi pergerakan dan pekerjaan.

Bangladesh berkata pada Rabu (23 Nov) ia telah memanggil duta Myanmar untuk menyatakan "kebimbangan".

Human Rights Watch berkata minggu ini ia mengenal pasti menggunakan imej satelit lebih 1,000 rumah di kampung-kampung Rohingya di barat laut Myanmar dibakar.

Tentera Myanmar menafikan tuduhan itu. - AFP

Galeri Foto

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:08
Asar
4:33
Maghrib
7:12
Isyak
8:28
3 HR PSI: 28
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.