Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Myanmar tetapkan 25 Januari bagi pusingan akhir pilihan raya

Dec 26, 2025 | 2:26 PM
Than Naing Soe (kiri), calon Parti Demokratik Kebangsaan Shan (SNDP) yang juga dikenali sebagai Parti Harimau Putih, mengedarkan risalah kempen pada hari terakhir tempoh berkempen di Yangon, Myanmar, pada 26 Disember 2025. Pemerintah tentera Myanmar melalui Majlis Pentadbiran Negara (SAC) merancang mengadakan pilihan raya nasional pertama sejak rampasan kuasa Februari 2021 menerusi pilihan raya umum berperingkat, dengan fasa pertama dijadualkan pada 28 Disember 2025 dan fasa kedua pada 11 Januari 2026. Lebih 50 parti politik telah mendaftar untuk menyertai pilihan raya itu, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan (UEC), manakala parti pembangkang pro-demokrasi utama, Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD), telah dibubarkan sejak Mac 2023.
Than Naing Soe (kiri), calon Parti Demokratik Kebangsaan Shan (SNDP) yang juga dikenali sebagai Parti Harimau Putih, mengedarkan risalah kempen pada hari terakhir tempoh berkempen di Yangon, Myanmar, pada 26 Disember 2025. Pemerintah tentera Myanmar melalui Majlis Pentadbiran Negara (SAC) merancang mengadakan pilihan raya nasional pertama sejak rampasan kuasa Februari 2021 menerusi pilihan raya umum berperingkat, dengan fasa pertama dijadualkan pada 28 Disember 2025 dan fasa kedua pada 11 Januari 2026. Lebih 50 parti politik telah mendaftar untuk menyertai pilihan raya itu, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan (UEC), manakala parti pembangkang pro-demokrasi utama, Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD), telah dibubarkan sejak Mac 2023. - Foto EPA

YANGON:  Pemerintah tentera Myanmar mengumumkan bahawa pusingan ketiga dan terakhir pilihan raya yang dikendalikan secara ketat akan diadakan pada 25 Januari, hanya beberapa hari sebelum fasa pertama pengundian bermula.

Pengumuman itu dibuat pada 25 Disember menerusi kenyataan rasmi, ketika junta meneruskan rancangan pilihan raya yang secara meluas ditolak oleh pemerhati demokrasi sebagai usaha mengabsahkan kekuasaan tentera selepas rampasan kuasa 2021.

Pilihan raya itu berlangsung ketika Myanmar terus bergelut dengan perang saudara yang berlarutan, dengan sebahagian besar wilayah negara kini berada di luar kawalan pemerintah pusat dan dikuasai kumpulan penentang bersenjata.

Pemimpin demokrasi Cik Aung San Suu Kyi masih dipenjarakan sejak rampasan kuasa tersebut, manakala partinya, Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD), yang mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya 2020, telah dibubarkan oleh pihak berkuasa tentera.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum ini mengkritik keras junta Myanmar atas tindakan menindas penentangan politik menjelang pilihan raya, termasuk penahanan, sekatan kebebasan bersuara dan pembubaran parti pembangkang. Menurut pemerhati antarabangsa, suasana politik semasa tidak memungkinkan satu proses pilihan raya yang bebas dan adil.

Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan yang dilantik oleh junta memaklumkan bahawa pusingan ketiga pengundian akan melibatkan 63 daripada keseluruhan 330 kawasan pentadbiran atau bandar kecil di seluruh Myanmar. “Pusingan terakhir pengundian akan diadakan pada 25 Januari di 63 bandar kecil,” menurut kenyataan suruhanjaya itu.

Pusingan pertama pengundian dijadual berlangsung pada 28 Disember ini, diikuti pusingan kedua pada 11 Januari. Secara keseluruhan, dua pusingan awal itu akan melibatkan 202 kawasan. Bagaimanapun, tarikh pengiraan undi dan pengumuman keputusan pilihan raya masih belum diumumkan.

Ketua junta, Jeneral Min Aung Hlaing, sebelum ini mengakui bahawa pilihan raya tersebut tidak dapat diadakan di seluruh negara berikutan konflik bersenjata yang berterusan. Sejak rampasan kuasa pada 2021, tentera Myanmar berdepan penentangan yang semakin kuat daripada gabungan kumpulan etnik bersenjata dan pasukan penentang pro-demokrasi.

Myanmar pernah diperintah oleh tentera hampir sepanjang tempoh pasca kemerdekaannya, sebelum satu dekad pemerintahan awam membuka ruang kepada harapan pembaharuan demokrasi. Namun, harapan itu berkecai apabila Min Aung Hlaing merampas kuasa selepas parti-parti yang disokong tentera mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya 2020. Pihak tentera mendakwa berlaku penipuan undi secara meluas, tuduhan yang dinafikan oleh pemerhati pilihan raya antarabangsa.

Tindakan keras pasukan keselamatan terhadap protes besar-besaran selepas rampasan kuasa mendorong ramai aktivis untuk mengangkat senjata, sekali gus memperluaskan konflik bersenjata di seluruh negara. Sejak itu, keganasan telah meragut ribuan nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Junta turut menggubal undang-undang baru yang mengenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun terhadap mana-mana pihak yang memprotes atau mengkritik pilihan raya. Min Aung Hlaing mempertahankan langkah itu dan menggambarkan pilihan raya sebagai jalan ke arah pemulihan demokrasi dan keamanan. “Pilihan raya ini adalah langkah penting untuk mengembalikan kestabilan dan membuka ruang kepada perdamaian,” katanya dalam kenyataan sebelum ini.

Namun, penganalisis dan pemantau pilihan raya berpendapat proses tersebut didominasi parti-parti yang selari dengan tentera, dengan pembangkang sebenar diketepikan sepenuhnya. Seorang penganalisis politik serantau berkata, “Peralihan junta daripada medan pertempuran ke peti undi bertujuan membentuk pentadbiran yang stabil, tetapi realitinya peluang untuk mendapat legitimasi rakyat amat tipis.”

Walaupun junta menegaskan pilihan raya itu mendapat sokongan rakyat, keraguan terus menyelubungi proses tersebut, khususnya ketika konflik bersenjata masih berleluasa dan tokoh-tokoh pembangkang utama kekal dipenjarakan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg