Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Junta Myanmar akhiri perintah darurat, pilihanraya menyusul

Jul 31, 2025 | 3:37 PM
Pemimpin junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing, turut mengumumkan pembentukan sebuah Pemerintah Kesatuan yang terdiri daripada 30 anggota.
Pemimpin junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing, turut mengumumkan pembentukan sebuah Pemerintah Kesatuan yang terdiri daripada 30 anggota. - Foto REUTERS

YANGON: Junta tentera Myanmar mengumumkan penubuhan suruhanjaya pilihan raya baru yang dianggotai 11 orang dan diketuai oleh Ketua Tentera, Jeneral Min Aung Hlaing, bagi mengendalikan proses pilihan raya nasional di negara itu, demikian menurut laporan media pemerintah pada 31 Julai.

Meskipun tarikh rasmi pilihan raya masih belum diumumkan, Jeneral Min Aung Hlaing telah menyatakan pada 30 Julai bahawa pilihan raya bakal diadakan pada Disember 2025, menjadikannya pilihan raya pertama sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 yang mencetuskan perang saudara dan ketidakstabilan meluas di seluruh negara.

Menurut stesen televisyen MRTV, Jeneral Min Aung Hlaing akan terus memegang kuasa sebagai Presiden sementara, selain kekal sebagai Panglima Angkatan Tentera, sekaligus mengekalkan kawalan penuh terhadap jentera pemerintahan ketika proses pemilihan berlangsung.

Dalam satu perkembangan berkaitan, junta pada 31 Julai mengumumkan penamatan perintah darurat yang telah berkuat kuasa selama lebih empat tahun sejak rampasan kuasa. Langkah ini dilihat sebagai prasyarat perlembagaan untuk membolehkan pilihan raya diadakan, sebagaimana ditetapkan dalam Perlembagaan Myanmar 2008.

“Jika permulaan bab kedua ini ditulis dengan baik, indah dan ikhlas dengan tangan kita sendiri dan berjaya dilaksanakan, saya percaya kita akan mampu mengatasi lebih banyak cabaran,” kata Jenaral Min Aung Hlaing dalam satu majlis rasmi di ibu negara Naypyitaw.

Junta turut mengumumkan pembentukan Pemerintah Kesatuan baru yang terdiri daripada 30 anggota, dengan pelantikan pembantu rapat Jenerak Min Aung Hlaing, Encik Nyo Saw, sebagai Perdana Menteri. Langkah ini dilakukan di tengah-tengah kemerosotan ekonomi Myanmar dan penentangan yang semakin meningkat daripada kumpulan bersenjata pro-demokrasi.

Pada mesyuarat terakhir Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara pada Januari lalu, junta telah melanjutkan perintah darurat hingga 31 Julai atas alasan “perlunya kestabilan untuk memastikan pilihan raya yang bebas dan adil”.

Namun, negara-negara Barat termasuk Amerika Syarikat menolak sebarang pilihan raya yang dianjurkan oleh junta sebagai tidak sah dan tidak demokratik.

Awal minggu ini, tentera menggubal satu undang-undang baru kononnya untuk melindungi proses pilihan raya daripada sabotaj, dengan hukuman termasuk hukuman mati bagi sesiapa yang mengganggu pilihan raya.

Jeneral Min Aung Hlaing sebelum ini mendakwa bahawa pilihan raya 2020 yang dimenangi oleh pemimpin pro-demokrasi Cik Aung San Suu Kyi telah dicemari campur tangan luar dan penipuan, dan itulah alasan utama rampasan kuasa oleh tentera.

Dalam surat kepada bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada awal Julai, Jenerakl Min Aung Hlaing turut menyamakan situasi di Myanmar dengan dakwaan penipuan pilihan raya yang pernah dibuat oleh Encik Trump pada tahun 2020. Beliau menyatakan bahawa kedua-duanya adalah “mangsa undi yang dicurangi”.

Selain isu rampasan kuasa dan konflik bersenjata, junta Myanmar turut dikritik kerana melindungi pusat-pusat penipuan siber yang dijalankan oleh sindiket jenayah kripto yang mengeksploitasi buruh paksa.

Pada Mei lalu, Washington telah menjatuhkan sekatan terhadap sebuah militia yang mempunyai kaitan dengan junta kerana terlibat dalam penipuan dalam talian berskala besar yang menyebabkan kerugian berbilion dolar kepada rakyat Amerika.

Penganalisis politik melihat tindakan terbaru Min Aung Hlaing sebagai usaha untuk memulihkan legitimasi antarabangsa rejimnya melalui proses pilihan raya, walaupun ramai pemerhati antarabangsa kekal skeptikal terhadap ketelusan dan kebebasan proses tersebut.

Sementara konflik masih berlanjutan di banyak wilayah, ramai rakyat Myanmar dan komuniti antarabangsa menunggu untuk melihat sama ada “bab kedua” yang dimaksudkan Jeneral Min Aung Hlaing benar-benar akan membawa perubahan atau sekadar memperkukuh lagi cengkaman kuasa junta tentera. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg