Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Nahas udara China: Tiada harapan mangsa terselamat

Mar 23, 2022 | 05:30 AM



WUZHOU: Beberapa pasukan penyelamat China semalam sibuk mengumpulkan serpihan bangkai pesawat China Eastern Airlines yang terhempas di kawasan pergunungan bersama 132 orang di dalamnya.



Hampir tidak ada harapan langsung untuk menemui mangsa terselamat setelah pesawat Boeing 737-800 itu menjunam di kawasan hutan wilayah Guangxi.



Media pemerintah menyifatkan keadaan itu sebagai suram, dan mengatakan bahawa kemungkinan semua orang dalam pesawat itu terkorban tidak dapat diketepikan, lapor agensi berita Reuters.



Banyak persoalan ditimbulkan tentang punca nahas itu, yang menyaksikan pesawat berkenaan melayang 20,000 kaki (6,096 meter) ke bawah dalam masa tidak sampai satu minit sebelum terhempas di selatan China tengah hari kelmarin.



Syarikat penerbangan itu mengakui beberapa penumpang penerbangan dari bandar Kunming ke hab selatan di Guangzhou itu terkorban, tetapi belum ada pengesahan rasmi tentang angka korban.



President Xi Jinping segera mengarahkan siasatan penuh dilakukan terhadap nahas tersebut sedang kerja mencari dan menyelamat dijalankan menggunakan dron.



Semalam, tanda hangus daripada nahas itu dan kebakaran yang berlaku dapat dilihat, kata pekerja penyelamat kepada agensi berita AFP.



Seorang pekerja penyelamat membuat spekulasi bahawa penumpang dan barang-barang mereka "terbakar sepenuhnya" disebabkan api yang kuat.



Seorang penduduk kampung di situ yang hanya mau dikenali sebagai Ou mengatakan beliau terdengar bunyi semacam letupan dan disusuli kebakaran yang menjilat kawasan bukit-bukau di situ.



Media negara menunjukkan pasukan penyelamat berpakaian seragam naik turun tanah yang terbongkar, berulang-alik sekitar kawasan pohon-pohon yang terbakar, termasuk serpihan badan pesawat yang terpapar logo berwarna biru dan merah.



Sebuah dompet robek dan kamera hangus adalah antara barang yang ditemui yang dirakamkan melalui video oleh media rasmi China.



Tetapi beberapa wartawan AFP dihalang di pos pemeriksaan di situ oleh sekumpulan orang yang mengenalkan diri mereka sebagai anggota Parti Komunis, yang berkata mereka "menerima arahan daripada pihak atasan".



Penerbangan MU5735 itu meninggalkan Kunming sejurus selepas 1 petang dan tidak dapat dihubungi lagi apabila ia berada di ruang angkasa bandar Wuzhou di Guangxi, menurut penguasa penerbangan China.



Kementerian Ehwal Luar China mengatakan mereka yakin semua penumpang dalam pesawat itu adalah warga China.



Di lapangan terbang Guangzhou, kakitangan awam membantu anggota keluarga mangsa, yang termasuk sembilan kru pesawat tersebut.



Media rasmi China melaporkan Naib Perdana Menteri, Encik Liu He, seorang pegawai berpengaruh dan rapat dengan Presiden Xi yang biasanya berurusan tentang ekonomi, telah dihantar ke kawasan nahas itu.



Beliau dipercayai akan menyelia kerja siasatan di situ.



Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional Amerika Syarikat mengatakan ia telah menamakan seorang penyiasat kanannya sebagai wakil mereka untuk kerja penyiasatan di situ.



Para pegawai syarikat Boeing, General Electric dan Pentadbiran Penerbangan Federal bertindak sebagai penasihat teknikal.



Nahas pesawat komersial China paling buruk melibatkan pesawat China Northwest Airlines yang terhempas pada 1994 mengakibatkan kesemua 160 penumpang dan anak kapal terbunuh. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >