Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Naib Presiden Filipina dipecat: Senat hanya akan bertindak pada 2 Jun

Feb 6, 2025 | 1:27 PM
Penunjuk perasaan yang menuntut pemecatan Naib Presiden Sara Duterte mengadakan tunjuk perasaan di luar Dewan Perwakilan Kongres (HOR) di Quezon City, Metro Manila, Filipina, pada 5 Februari 2025.
Pada hari yang sama, HOR telah meluluskan pemecatan Duterte melalui aduan yang dikemukakan oleh 215 ahli perundangan, sekali gus membawa kepada arahan untuk menghantar artikel pemecatan ke Senat Filipina.
Penunjuk perasaan yang menuntut pemecatan Naib Presiden Sara Duterte mengadakan tunjuk perasaan di luar Dewan Perwakilan Kongres (HOR) di Quezon City, Metro Manila, Filipina, pada 5 Februari 2025. Pada hari yang sama, HOR telah meluluskan pemecatan Duterte melalui aduan yang dikemukakan oleh 215 ahli perundangan, sekali gus membawa kepada arahan untuk menghantar artikel pemecatan ke Senat Filipina. - Foto EPA-EFE

MANILA: Senat Filipina hanya boleh mengambil tindakan ke atas pemecatan Naib Presiden Sara Duterte pada 2 Jun selepas pilihan raya pertengahan penggal, menurut Presiden Senat Francis Escudero dalam satu taklimat pada 6 Februari.

Encik Escudero menjelaskan bahawa senator yang akan bertindak sebagai juri perlu mengangkat sumpah semasa Kongres bersidang sebelum mereka boleh mengadakan perbicaraan sebagai mahkamah pemecatan.

“Secara sah, ia tidak boleh dilakukan sebelum tempoh itu,” kata Encik Escudero.

Pada 5 Februari, Dewan Perwakilan Filipina telah meluluskan pemecatan Cik Duterte, yang merupakan anak kepada bekas presiden Rodrigo Duterte. Keputusan ini dibuat setelah 215 daripada 306 ahli dewan menyokong usul pemecatan.

Pemecatan ini berpunca daripada dakwaan penyalahgunaan dana awam semasa Cik Duterte berkhidmat sebagai naib presiden dan menteri pendidikan. Beliau juga dituduh mengumpul kekayaan yang tidak dapat dijelaskan serta mengancam nyawa Presiden Ferdinand Marcos Jr; Wanita Pertama Louise Araneta-Marcos, dan Speaker Dewan Perwakilan Martin Romualdez.

“Kami tidak boleh berdiam diri apabila seorang pemimpin bertindak di luar batas dan menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara,” kata seorang ahli parlimen pro-Marcos yang menyokong pemecatan Cik Duterte.

Pemecatan Cik Duterte menandakan peningkatan ketegangan antara beliau dan Presiden Marcos. Walaupun mereka bersekutu semasa pilihan raya 2022, hubungan mereka mula renggang pada tahun 2024 selepas siasatan dijalankan terhadap dakwaan penyelewengan dana oleh Cik Duterte.

Pemecatan ini boleh menamatkan kerjaya politik Cik Duterte, menurut penganalisis politik. Jika 16 daripada 23 senator bersetuju dengan keputusan Dewan Perwakilan, Cik Duterte akan disingkirkan daripada jawatan naib presiden. Namun, sekiranya senat menolak pemecatan ini, beliau akan kekal dalam jawatannya.

Menurut Dr Aries Arugay dari Iseas-Institut Yusof Ishak, keputusan ini lebih daripada sekadar pemecatan, tetapi juga usaha untuk menghalang Cik Duterte daripada bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2028.

“Tujuan sebenar bukan hanya untuk menamatkan tempoh Sara Duterte sebagai naib presiden, tetapi untuk menyekat kemaraan beliau ke jawatan presiden pada masa depan,” kata Dr Arugay.

Selain itu, Dr Carmel Abao dari Universiti Ateneo de Manila berpendapat bahawa pemecatan ini tidak mungkin diteruskan tanpa restu Presiden Marcos, meskipun beliau secara terbuka menyatakan bahawa beliau tidak menyokongnya.

“Kongres jarang bertindak sendirian, terutama ketika pilihan raya semakin hampir. Ahli politik cenderung mahu mengekalkan hubungan baik dengan presiden untuk mendapatkan dana kempen,” jelas Dr Abao.

Walaupun kedudukannya kini terancam, Cik Duterte masih mempunyai peluang untuk mengubah situasi. Menurut Dr Jean Encinas-Franco dari Universiti Filipina, Cik Duterte boleh memanfaatkan simpati rakyat untuk meningkatkan semula sokongan terhadapnya.

“Jika beliau memainkan peranan sebagai mangsa, rakyat mungkin akan bersimpati dan melihatnya sebagai individu yang sedang diserang oleh musuh politiknya,” kata Dr Franco.

Beliau juga menegaskan bahawa pemecatan ini boleh memberikan kesan sebaliknya dan mengukuhkan lagi kedudukan Cik Duterte dalam politik Filipina.

“Pemecatan ini boleh menjadi senjata makan tuan. Jika rakyat melihatnya sebagai satu serangan politik semata-mata, Duterte mungkin akhirnya mendapat lebih banyak sokongan,” tambahnya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg