Naib Presiden Indonesia, Encik Gibran Rakabuming Raka, secara rasmi meletakkan jawatan pada 12 November selepas menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), sehari selepas beliau dilaporkan menyerahkan surat tersebut kepada Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto.

Peletakan jawatan itu menamatkan lonjakan politiknya yang penuh kontroversi, yang dicemari oleh isu kesahihan kelayakan pendidikannya serta keputusan Mahkamah Perlembagaan yang ketika itu dipengerusikan oleh bapa saudaranya, yang membolehkannya bertanding sebagai calon naib presiden meskipun tidak memenuhi syarat had umur minimum.

Dalam satu kenyataan pada 12 November, Encik Prabowo berkata yang beliau menerima peletakan jawatan itu dengan ‘berat hari’ dan beliau menghormati keputusan itu, yang pada pandangannya disifatkan sebagai berjiwa besar dan berwibawa.

“Walaupun Gibran yakin beliau menamatkan pengajiannya menerusi proses yang betul, kita harus mengakui bahawa sistem pendidikan di luar negara berbeza daripada sistem di Indonesia. Sebaliknya, berdasarkan keputusan undang-undang sedia ada, terdapat percanggahan atau kekurangan dalam memenuhi syarat yang ditetapkan dalam rangka kerja perlembagaan kita,” kata Encik Prabowo.

Anak sulung kepada mantan Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, itu turut berdepan tekanan awam dan politik supaya berundur, dengan 120 anggota Parlimen daripada kesemua pecahan parti politik di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) menandatangani petisyen rasmi bagi menyatakan pendirian menentangnya pada 11 November.

Sidang pleno DPR yang pada asalnya dijadualkan membahaskan usul tersebut pada 12 November sebagai langkah perlembagaan pertama ke arah pemecatan, dibatalkan menyusuli peletakan jawatan itu.

Sekutu Encik Jokowi yang juga mantan Menteri Koperasi Indonesia, Encik Budi Arie Setiadi yang ditemui Berita Harian menyifatkan keputusan Encik Gibran Rakabuming Raka untuk meletak jawatan sebagai langkah yang lebih baik berbanding melalui proses pendakwaan perlembagaan.

Speaker MPR, Encik Ahmad Muzani, memberitahu wartawan bahawa kepimpinan MPR segera bersidang selepas pertemuan dengan Encik Gibran dan bersetuju mengadakan mesyuarat pada 13 November bersama kesemua ketua pecahan parti politik serta Dewan Perwakilan Daerah (DPD).

Mesyuarat itu bertujuan membincangkan langkah seterusnya bagi melantik naib presiden baharu memandangkan jawatan tersebut kini kosong berkuat kuasa sejak Encik Gibran menyerahkan surat peletakan jawatannya, kata Encik Muzani.

Menurutnya, MPR mempunyai tempoh maksimum 60 hari untuk mengisi kekosongan jawatan berkenaan.

“Mesyuarat itu juga akan membincangkan persetujuan berhubung surat rasmi kepimpinan MPR kepada Presiden bagi memohon pencalonan dua calon naib presiden, serta menubuhkan pasukan bagi mengesahkan dokumen calon yang dicalonkan oleh Presiden,” kata Encik Muzani.

Encik Prabowo mempunyai tempoh maksimum 14 hari untuk mencalonkan dua individu selepas MPR menghantar surat permohonan pencalonan tersebut.

Menurut Encik Muzani, Encik Gibran menyatakan dalam surat peletakan jawatannya bahawa keputusan untuk berundur dibuat atas “kehendak sendiri”.

Membacakan surat Encik Gibran kepada pemberita, Encik Muzani berkata: “Saya membuat keputusan ini dengan penuh kesedaran, demi kepentingan bangsa dan negara serta bagi memastikan kelancaran pentadbiran pemerintah. Saya percaya kepentingan bangsa dan rakyat Indonesia mesti diutamakan melebihi kepentingan peribadi saya.”

Beliau turut menyatakan bahawa peletakan jawatan Encik Gibran mewujudkan satu muktamad perlembagaan baharu bagi parlimen mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Encik Gibran merupakan naib presiden pertama yang meletakkan jawatan sejak Perlembagaan 1945 dipinda sebanyak empat kali menyusuli reformasi demokrasi pada 1998, dengan pindaan terakhir dilakukan pada 2002.

Naib Presiden pertama Indonesia, Allahyarham Encik Mohammad Hatta, turut meletakkan jawatan pada 1956 menyusuli keretakan hubungan yang semakin meruncing dengan Presiden ketika itu, Allahyarham Encik Sukarno.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti