Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Naib Presiden Sara Duterte dedah ketegangan politik dengan Marcos Jr

Sep 23, 2024 | 12:01 PM
Naib Presiden, Cik Sara Duterte, dan Presiden Ferdinand Marcos Jr semasa upacara perasmian di Muzium Negara di Manila, Filipina, pada 30 Jun 2022.
Naib Presiden, Cik Sara Duterte, dan Presiden Ferdinand Marcos Jr semasa upacara perasmian di Muzium Negara di Manila, Filipina, pada 30 Jun 2022. - Foto REUTERS

MANILA: Naib Presiden Filipina, Cik Sara Duterte, membuat kenyataan mengejutkan bahawa beliau dan Presiden Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr. bukanlah rakan, meskipun mereka pernah menjadi rakan sepasukan dalam Pilihan Raya 2022.

Pengakuan itu mencetuskan spekulasi mengenai ketegangan politik yang semakin mendalam dalam kepimpinan tertinggi negara, sekali gus menimbulkan persoalan tentang dinamik politik di Filipina menjelang pilihan raya akan datang.

Kenyataan Cik Duterte dibuat ketika beliau ditanya oleh, Cebu Daliy News, sama ada beliau dan Encik Marcos pernah berbincang mengenai isu politik yang menyerang dirinya.

“Tidak, kami tidak berbincang. Kami bukan rakan sejak awal. Kami hanya bertemu kerana kami menjadi pasangan calon.

“Sebelum kami menjadi rakan sepasukan, kami sudah tidak pernah berbincang,” kata Cik Duterte dalam satu wawancara ringkas selepas menghadiri sidang Jawatankuasa Pemerintah dan Kebertanggungjawapan Awam.

Pengakuan Cik Duterte bahawa hubungannya dengan Presiden Marcos Jr. bersifat “kerja semata-mata” menimbulkan persoalan mengenai kestabilan politik dalaman pentadbiran Filipina.

Walaupun mereka berpasangan dalam Pilihan Raya 2022 yang membawa kemenangan besar, nampaknya tidak ada kesatuan ideologi atau persahabatan peribadi yang terjalin antara kedua-dua pemimpin tertinggi itu.

Cik Duterte juga menjelaskan bahawa beliau lebih rapat dengan Senator, Cik Imee Marcos, kakak kepada Presiden, yang telah mengenalinya sejak 2012.

“Kami hanya bercakap semasa kempen dan ketika bekerja. Rakan saya sebenarnya ialah Senator Imee Marcos. Kali terakhir saya bercakap dengan Presiden Marcos adalah ketika saya menyerahkan peletakan jawatan saya sebagai Setiausaha Pendidikan,” kata Cik Duterte.

Kenyataan Cik Duterte itu juga muncul ketika beliau berdepan isu serius dengan Dewan Perwakilan, yang diketuai oleh Speaker, Encik Ferdinand Martin Romualdez, mantan pengurus kempen beliau dan sepupu kepada Presiden Marcos.

Dalam hal ini, Cik Duterte menegaskan bahawa beliau tidak pernah meminta bantuan, sama ada daripada Encik Marcos atau mana-mana ahli politik, termasuk Encik Romualdez, meskipun beliau kini menjadi sasaran kritikan politik.

“Saya tidak pernah meminta bantuan walaupun kepada bapa saya ketika beliau menjadi Presiden.

“Saya juga tidak akan meminta bantuan Presiden Marcos untuk menyelesaikan isu saya dengan Dewan Perwakilan,” tegas Cik Duterte.

Cik Duterte kini dilaporkan terperangkap dalam krisis politik yang semakin memuncak, terutama berkenaan peruntukan bajet Pejabat Naib Presiden (OVP) yang dipersoalkan oleh Anggota Parlimen.

Wakil Daerah Kedua Manila, Encik Rolando Valeriano, telah mempersoalkan status program bantuan OVP yang didakwa terhad kepada Wilayah Ibu Kota Negara (NCR) antara 2023 dengan 2025.

Malah, terdapat keraguan sama ada penerima bantuan yang dilaporkan dalam bajet adalah individu sebenar atau “penerima hantu”.

Cik Duterte menyelar tuduhan tersebut sebagai serangan politik terancang yang bertujuan menjejas peluangnya dalam Pilihan Raya Presiden 2028.

“Apa yang kita saksikan sekarang bukanlah siasatan biasa. Ia adalah serangan politik yang dibiayai dan terancang. Jelas bahawa tujuannya adalah untuk menghalang saya daripada bertanding dalam Pilihan Raya 2028,” kata Cik Duterte.

Dinasti politik Marcos dan Duterte, kini bersiap sedia menghadapi pertembungan pilihan raya yang boleh menjejas kestabilan di negara Asia Tenggara itu bagi tahun-tahun akan datang.

Ia disahkan susulan peletakan jawatan Naib Presiden, Cik Sara Duterte, sebagai Menteri Pendidikan dalam Kabinet, Presiden Ferdinand Marcos Jr, diikuti pengumuman bapanya, bekas Presiden, Encik Rodrigo Duterte, dan dua abangnya akan bertanding untuk Senat pada 2025.

Keruntuhan pakatan itu bagaimanapun sudah lama dijangkakan.

Namun, cabaran oleh Cik Duterte boleh menjejas harapan Encik Marcos Jr untuk mengukuhkan kuasa bagi membentuk pengganti yang berpotensi pada 2028. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg