RANAU (Sabah) - Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada Sabah bagi kerja-kerja pembersihan dan baik pulih kemudahan di Gunung Kinabalu yang musnah dalam kejadian gempa bumi.
Menurut beliau, peruntukan itu bagi memastikan aktiviti pendakian dapat disambung semula selain jaminan keselamatan untuk pendaki, lapor laman web Utusan Malaysia tadi.
Najib mengumumkan perkara itu ketika berucap dalam majlis penyampaian sumbangan kepada waris dan mangsa-mangsa malim gunung yang terkorban dalam gempa bumi Jumaat lalu di sini.
Dalam majlis sama, Sarawak turut menyampaikan sumbangan RM1 juta kepada Sabah susulan bencana itu.
Najib turut mengesyorkan beberapa perkara termasuk membekalkan kemudahan walkie-talkie kepada malim gunung sepanjang pendakian bagi memudahkan komunikasi jika berlaku kecemasan.
Syor lain ialah meluaskan kawasan mendarat bagi helikopter di Gunung Kinabalu untuk memudahkan sebarang bentuk operasi. - UTUSAN ONLINE