VILNIUS: Pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) berkata bahawa Ukraine sepatutnya boleh menyertai pakatan ketenteraan itu pada suatu ketika di masa depan tetapi mereka tidak memberi sebarang bentuk undangan kepada Kyiv, menimbulkan kemarahan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky.
Pemimpin itu bertemu di sidang puncak di ibu kota Lithuania, Vilnius, sedang tentera Ukraine bergelut untuk meraih kemenangan dalam serangan balas terhadap tentera Russia yang menduduki sebahagian negara itu.
Pemimpin itu berkata dalam satu deklarasi: “Masa depan Ukraine adalah dalam Nato”. Namun mereka tidak memberikan garis masa bagi proses itu.
“Kami akan mengundang Ukraine untuk menyertai pakatan (Nato) apabila sekutu bersetuju dan kesemua syarat dipenuhi,” kata deklarasi itu tanpa menyatakan butiran syarat yang perlu dipenuhi Ukraine.
Nato telah menggugurkan syarat untuk dipenuhi Ukraine mengenai apa yang dipanggil Pelan Tindakan Keahlian (MAP) dan sekali gus melupuskan halangan dalam laluan Kyiv ke dalam perikatan tersebut.
Tetapi, sebelum deklarasi dikeluarkan, Encik Zelensky telah menyerang pemimpin Nato.
“Ia tidak pernah berlaku sebelum ini dan tidak masuk akal apabila jangka masa tidak ditetapkan bukan saja pada undangan mahupun untuk keahlian Ukraine,” kata Encik Zelensky sebelum tiba di Vilnius sebagai tetamu khas.
Bercakap dalam perhimpunan di Vilnius pada Selasa, beliau menyuarakan kekecewaan kerana Ukraine tidak diundang untuk menyertai pakatan tentera itu.
“Nato akan menjadikan Ukraine lebih selamat, Ukraine akan menjadikan Nato lebih kuat,” katanya kepada ribuan orang yang mengibarkan bendera Ukraine.
“Saya datang ke sini hari ini dengan kepercayaan kepada keputusan, dengan kepercayaan kepada rakan dan dengan kepercayaan kepada Nato yang kuat...”
“Saya ingin kepercayaan ini menjadi satu kepastian – kepastian dalam keputusan yang kami semua berhak dan yang diharapkan oleh setiap askar kami, setiap rakyat kami, setiap ibu kami, setiap anak kami. Dan adakah ini keinginan yang terlalu besar?“ tanya beliau.
Pendirian Nato menonjolkan perpecahan dalam kalangan 31 anggotanya mengenai memberi tarikh atau undangan langsung untuk Ukraine menyertai sama.
Kyiv telah mendesak kemasukan segera, terikat bersama jaminan keselamatan, sejak sebelum Russia melancarkan pencerobohannya pada Februari 2022.
Anggota perikatan di Eropah Timur telah menyokong gesaan Kyiv, dengan alasan bahawa membawa Ukraine di bawah payung keselamatan Nato adalah cara terbaik untuk menghalang Russia daripada menyerangnya lagi.
Negara seperti Amerika Syarikat dan Jerman pula dilihat lebih berhati-hati terhadap sebarang langkah yang mereka khuatiri boleh menjerumuskan Nato ke dalam konflik secara langsung dengan Russia. – Reuters.
Deklarasi Nato berkata: “Kami menegaskan kembali perpaduan kami yang tidak berbelah bahagi dengan pemerintah dan rakyat Ukraine dalam mempertahankan negara mereka, tanah mereka dan nilai bersama kami.”
Dalam bahasa yang agak kasar terhadap Moscow, ia berkata: “Persekutuan Russia adalah ancaman paling ketara dan langsung kepada keselamatan sekutu dan kepada keamanan dan kestabilan di kawasan Euro-Atlantik.”
Dalam pada itu, Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, berkata Paris akan mula membekalkan peluru berpandu jarak jauh, berikutan pengumuman serupa oleh Britain.
Ini akan membolehkan tentera Ukraine menyerang tentera Russia dan barisan hadapannya mempunyai bekalan yang cukup untuk mara ke depan.
Jerman mengumumkan bantuan baru bernilai 700 juta euro ($1.03 bilion), termasuk dua pelancar peluru berpandu pertahanan udara Patriot, dan lebih banyak kereta kebal dan kenderaan tempur. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg